`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 21, 2024

Apa selepas ‘bisikan syaitan?’

 

hishamuddin-aun

Pada penghujung bulan lalu, Idris Ahmad menolak cakap-cakap mengenai partinya PAS tidak selesa dengan pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) yang baharu sebagai ‘bisikan syaitan’.

Menangkisnya sebagai tidak benar, naib presiden PAS itu berkata cakap-cakap sedemikian hanya bertujuan memecahbelahkan parti komponen dalam PN – Bersatu, PAS dan Gerakan.

“Itu (cakap-cakap sedemikian) dari mana? Musuh ke? Kalau (memetik) sumber, tak boleh. Sumber ni bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa nak pecah belahkan kami.

“Kami (PN) padu, sekarang kami berusaha untuk memastikan terus bersatu padu. Kami tidak ada masalah apa,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat pada 27 Nov.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam temu bual akhbar Sinar Harian sehari sebelum itu mengesahkan Azmin akan dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu. Ini disusuli pengumuman rasmi mengenai pelantikan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN dipengerusikannya pada 9 Dis – berselang dua minggu selepas kenyataan awalnya.

Namun, pelantikan Azmin yang didakwa dibuat tanpa rundingan dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati PAS, lebih-lebih lagi jawatan utama dalam MT PN dikuasai oleh pimpinan Bersatu – Hamzah Zainudin (timbalan pengerusi) Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan), Mas Ermieyati Samsudin (ketua Wanita) manakala Ronald Kiandee dan Radzi Jidin dilantik anggota MT.

Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga ketua Pemuda PAS sebelum itu mencadangkan Takiyuddin Hassan menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung PN berdasarkan pengalaman dan senioriti setiausaha agung PAS itu. Tambahan, Takiyuddin sebelumnya adalah timbalan setiausaha agung PN yang dirasakan patut mendapat kenaikan pangkat.

Sebaliknya, Azmin yang dilantik setiausaha agung Bersatu dalam pelan kompromi Muhyiddin untuk mengelakkan perebutan bagi jawatan timbalan presiden yang mahu diberikannya kepada Hamzah, mendapat ‘bonus’ apabila turut dinamakan setiausaha agung PN.

Lantaran itu, kepemimpinan PAS dilihat tidak senada dalam pelantikan berkenaan dengan percanggahan pendirian Idris dan Afnan Hamimi. Lebih-lebih lagi ini menyusul selepas PAS dikatakan bertelagah dengan Bersatu membabitkan calon perdana menteri bagi gabungan politik itu – Faizal menganjurkan Muhyiddin sebagai calon tepat manakala Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berpandangan calon daripada partinya lebih layak.

Namun, keributan di sebalik isu itu reda seketika apabila Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada 10 Dis berkata partinya menerima pelantikan Azmin di samping menghormati kuasa Muhyiddin dalam melantik pimpinan komponen terbabit.

Andaian bahawa pendirian itu dipersetujui parti bagaimanapun disanggah Hashim – pemimpin tertinggi dalam PAS – sambil Presiden Hadi Awang bersikap membisu terhadap isu itu tetapi lebih berminat membuat kenyataan mengenai isu Batu Puteh yang mendorong siasatan polis kerana boleh menimbulkan kegusaran awam.

Mengapa Hadi membisu terhadap dominasi pimpinan Bersatu dalam PN sambil keanggotaan pimpinan PAS pula makin berkurangan dengan peletakan jawatan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bendahari PN pada 11 Dis lalu?

Pada Jumaat, FMT dalam laporannya memetik Hashim sebagai mengulangi gesaan kepada Muhyiddin supaya menimbang untuk mengagihkan jawatan utama dalam PN secara lebih adil kerana ‘dominasi’ Bersatu bagi jawatan penting boleh menimbulkan perselisihan dalam gabungan pembangkang itu.

Seperti pendirian terdahulunya selepas Muhyiddin menamakan barisan kepemimpinan PN dalam mesyuarat MT 9 Dis lalu, Hashim tidak berganjak bahawa PAS yang memiliki lebih kerusi Parlimen (43 berbanding Bersatu yang hanya tinggal 25) di samping memimpin empat negeri dan memiliki sokongan akar umbi lebih kuat patut diberikan lebih tempat.

Dalam pada itu, satu hantaran Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz di Facebook pada Khamis mungkin dapat menawarkan pencerahan terhadap kekeliruan atau salah tanggapan di pihak PAS.

Menjelaskan bahawa Bersatu tidak pernah meminggirkan PAS atau mana-mana parti komponen PN, beliau berkata Muhyiddin telah berbincang dengan Hadi sebelum mengumumkan pelantikan bagi mengisi jawatan penting dalam PN dan bukan mengambil tindakan secara bersendirian.

Pendekatan tersebut, tambahnya, menunjukkan Muhyiddin selaku pengerusi PN sentiasa mengamalkan rundingan dan amalan demokrasi untuk menjaga kepentingan semua parti dalam gabungan berkenaan.

“Sebelum mesyuarat MT PN (9 Dis), ada perbincangan satu sama satu antara presiden Bersatu dan presiden PAS termasuk agihan jawatan utama kepada PAS dalam PN dan hubungan antara kedua-dua parti,” katanya yang baru dilantik ketua penerangan Bersatu 28 Nov lalu.

Tiada sebab untuk beliau memesongkan fakta melainkan berkongsi apa yang sebenarnya berlaku.

Ia mengembalikan persoalan mengapa Hadi berdiam diri dalam soal ini dan tidak mengambil tindakan membetulkan sebarang kenyataan bercanggah – terutama daripada Hashim – agar Muhyiddin tidak terus diperburukkan.

Mengikut hukum akal pun, rasanya tidak logik untuk Muhyiddin membelakangkan PAS dalam membuat pilihan bagi jawatan penting dalam PN jika kedua-dua parti itu akan terus bekerjasama menghadapi PRU16 nanti.

Barangkali Tuan Ibrahim tahu perkara sebenar, begitu juga Idris, tapi kedua-duanya juga tidak mengeluarkan kenyataan lebih daripada sekadar perlu.

PAS, terutama Hadi, terhutang penjelasan kepada penyokong parti itu termasuk kepada barisan kepemimpinannya sendiri seperti Afnan dan khususnya Hashim atau mereka akan terus terdorong oleh apa yang dikatakan ‘bisikan syaitan’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.