“Mesti ada kaedah mencari penyelesaian adil dan saksama kepada masalah itu.
“Tak kan sampai membunuh angsa emas bertelur, kerana jika Petronas rugi, Sarawak juga rugi,” kata bekas perdana menteri itu kepada FMT.
Katanya, Sarawak tidak sepatutnya mensasarkan “mengambil semua” daripada Petronas. “Tak betul lah. Petronas perlu Sarawak, dan Sarawak perlukan Petronas.”
Pada Selasa, Premier Sarawak Abang Johari Openg mendakwa penyelesaian telah dicapai dengan Putrajaya berkait isu agihan gas, sambil menyerahkan pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.
Muhyiddin berharap penyelesaian mengambil kira kesejahteraan bersama semua rakyat Malaysia.
“Terengganu, Kedah, Johor, semua ada hak. Apabila jadi kerajaan, anda kena adil.”
Beliau mengingatkan tidak meletakkan hal kewangan kerajaan persekutuan dalam tekanan.
“Takkan nak buat (persekutuan) bankrap. Tak ada negeri mahukan perkara itu, jadi kita kena realistik.”
Muhyiddin berkata, rakyat Sarawak sedar kesan daripada tuntutan mereka. “Dia tahu ada batas.”
Lebih setahun lalu, Sarawak mahu Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dijadikan agregator gas tunggal di negeri berkenaan. Sarawak ingin syarikat milik negeri itu mengambil kawalan terhadap semua harga, pembekalan, dan pengedaran gas asli dalam negeri daripada Petronas.
Namun, Muhyiddin, mengingatkan langkah itu mampu memberi kesan terhadap ekonomi Sarawak.
“Pasal sarawak tak teroka minyak di mana pun, dia dapat itu hasil dibawa oleh Petronas. Sarawak juga memegang kepentingan dalam beberapa anak syarikat tertentu Petronas. Jadi, tak boleh (bunuh Petronas).
“Petronas melabur berbilion ringgit di Sarawak setiap hari gerudi (minyak dan gas) di tengah laut,” kata Muhyiddin sambil menambah syarikat minyak negara itu perlu melakukan pelaburan besar.
“Walaupun hasil dia (Petronas) besar, dia kena labur semula lebih besar.
“Lepas itu bukan sahaja buat di perairan malaysia, pergi ke tempat-tempat lain nak menampung kekurangan (hasil). Saya tahu ini kerana pernah bertanggungjawab ke atas Petronas,” katanya bekas perdana menteri.
Muhyiddin menerima bahawa Sarawak dan Sabah mempunyai rungutan hak tertentu disuarakan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Kalau ada tuntutan baharu, kita kena teliti boleh atau tak boleh.
“Jika ia dipersetujui, maka kita mesti menghormati perjanjian itu. Kemudian, isu itu akan berkisar bagaimana pelaksanaan akan dibuat. Itu boleh dibincang dan dipersetujui,” katanya.
Muhyiddin menyatakan rasa tidak setuju dengan ugutan segelintir pihak di Sarawak dalam cubaan mencapai sasaran negeri.
Bulan lalu, Adun Stakan Hamzah Brahim dilaporkan memberi amaran kepada Putrajaya tidak membiarkan “keangkuhan dan kedegilan” Petronas menjadi punca kejatuhan kerajaan Madani.
“Tidak berhikmah untuk sampai ke tahap itu,” kata Muhyiddin.
“Akhirnya, anda kena sedar. Bersikap adil dan munasbah, bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada Malaysia dan sudah tentu kepada Petronas.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.