`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 22, 2024

Harimau Malaya ‘ditempa’ untuk gagal?

 

hishamuddin-aun

Saya paling tersentuh hati menonton penyerang, Haqimi Azim Rosli, menahan sebak ketika memohon maaf bagi diri dan rakan sepasukan selepas Harimau Malaya terkandas di peringkat kumpulan Kejohanan Bolasepak ASEAN Piala Mitsubishi Electric (AMEC ’24) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBC) pada Jumaat malam.

Ingatan mendalam turut terjurus kepada penyerang kelahiran Glasgow, Scotland, Fergus Tierney, yang ditamatkan kontrak pinjamannya daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) oleh kelabnya Chonburi FC dalam Liga Thailand kerana memilih untuk mewakili Malaysia.

Tidak sekadar menghargai susah-payah empat pemain Sabah FC, Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok yang kembali membarisi skuad kebangsaan selepas satu komitmen untuk kelab, malah ucapan terima kasih selayaknya buat kesemua pemain yang ditampilkan Harimau Malaya malam kelmarin atas perjuangan mereka hingga minit terakhir.

Juga perasaan saya diruntun oleh perlawanan terakhir bawah kendalian ketua jurulatih interim, Pau Marti Vicente, berkesudahan dengan nota hampa selepas keputusan 0-0 melayakkan skuad Singa itu mengiringi Thailand ke separuh akhir dari Kumpulan A.

Dalam pada itu, ia bukan pun satu kegagalan yang terlalu sukar ditelan. Kecuali muncul juara sekali pada edisi 2010, Malaysia tampil naib juara pada 1996, 2014 dan 2018, dua kali di tempat ketiga (2000, 2004), tempat keempat pada 2002 selain mara ke separuh akhir edisi 2007, 2012 dan 2022.

Penyertaan dalam edisi selebihnya (1998, 2008, 2016 dan 2020) berakhir di peringkat kumpulan. Kegagalan malam kelmarin adalah kali kelima Harimau Malaya gagal melepasi halangan awal yang mungkin boleh dipersalahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak menjadikan penyertaan kali ini – malah mungkin sejak satu dekad lalu — sebagai satu keutamaan.

Selepas memimpin kumpulannya buat seketika hasil tiga mata daripada dua perlawanan pertama — seri 2-2 dengan Kemboja di Phnom Penh (8 Dis) dan mengalahkan Timor Leste 3-2 di Bukit Jalil (11 Dis) — Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman mengumumkan sasaran Harimau Malaya ialah untuk ke final.

Atas perkiraan apa sasaran itu diputuskan, barangkali hanya beliau yang tahu. Atau ia mungkin didorong kontraknya selaku setiausaha agung yang difahamkan sudah dilanjutkan setahun lagi tanpa terikat dengan bagaimana Harimau Malaya berkesudahan atau pelan revolusi pasukan kebangsaan yang akan bermula pada 1 Jan.

Dinafikan khidmat ‘pemain-pemain bintang’ dari awal atas komitmen kelab – yang tidak wajib melepaskan pemain di luar kalendar antarabangsa FIFA – Vincente terpaksa berpuas hati dengan pemain-pemain yang ada.

Malah, sebelum kunjungan untuk berdepan Thailand di Bangkok pada 14 Dis, jurulatih itu mengakui tidak tahu berapa ramai pemain yang boleh dibawanya dengan sebilangan yang cedera dan beberapa lagi dipanggil pulang kelab untuk aksi Piala Cabaran MFL dan suku akhir Piala Malaysia. Barisannya masih mampu memberi persembahan terpuji untuk tewas hanya 0-1.

Kegawatan dalam pasukan ketika itu disimpulkan bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Reduan Abdullah, umpama pemain bebas keluar masuk seperti mengunjungi kompleks membeli-belah.

“Tidak semua pemain tersedia dengan saingan liga masih berjalan dan semua perkara ini tidak normal bagi saya. Kami akan gunakan pemain yang ada dan bersedia.

“Persediaan agak pendek, tiada masa untuk berlatih dan tiada perlawanan persahabatan. Perkara ini bukan perkara yang ideal tetapi pemain dan barisan jurulatih sudah bersedia dengan motivasi yang tinggi,” kata Vincente menjelang perlawanan menentang Timor Leste.

Malam kelmarin, pemain-pemain bertekad untuk melanjutkan tempoh Vicente sekurang-kurangnya satu perlawanan lagi tetapi seperti disimpulkan pengacara siaran langsung Astro Arena, mereka melakukan 19 percubaan dengan dua daripadanya terkena palang tetapi ia masih tidak memadai untuk tiga mata diperlukan sebagai tiket ke separuh akhir.

Buat kali kelima dalam kejohanan ini yang bermula pada 1996, kempen Harimau Malaya berakhir awal tetapi kekangan dan keterbatasan yang dilalui sebenarnya menyukarkan perjuangan mereka sejak sepak mula perlawanan pertama lagi.

Jika direnung semula persiapan dari mula, AMEC ’24 bukanlah medan untuk Harimau Malaya mengharapkan nasib lebih baik ketika ia dinafikan khidmat pemain-pemain terbaik.

Sekali imbas perbandingan kesebelasan utama malam kelmarin menyerlahkan kekurangan dengan skuad yang diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Laos di Bangkok pada 14 Nov.

Harimau Malaya ketika itu membariskan Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Dion Cools, Harith Haiqal Adam Afkar, Adib Ra’op, Zhafri Yahya, Paulo Josue, Noah Laine, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Arif Aiman Hanapi. Barisan simpanan saja mengandungi antaranya Feroz Baharudin, Azam Azmi, Dominic Tan, Daniel Ting, Sergio Aguero, Syamer Kutty Abba, Stuart Wilkin, Akhyar Rashid, Haqimi Rosli, Fergus Tierney dan Fazrul Amir Zaman.

Tanpa Davies, Feroz dan Arif Aiman yang dilepaskan pulang ke tanah air selepas itu berikutan permohonan kelab mereka menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Shandong Taishan di China pada 26 Nov, kesebelasan dalam perlawanan persahabatan berikutnya menentang India di Hyderabad pada 18 Nov masih seimbang.

Gandingan Syihan, Azam, Cools, Dominic, Ting, Wilkin, Laine, Aguero, Haqimi, Josue dan Akhyar masih mampu mengikat India – pasukan di tangga ke-127 dunia – dengan keputusan 1-1.

Namun, untuk kempen AMEC ’24, FAM menampilkan skuad campuran tanpa pemain utama dari JDT dan Selangor FC yang menghadapi jadual padat aksi kelab di peringkat Asia.

“Dalam tempoh ini juga, Liga Malaysia akan diteruskan seperti yang dijadualkan, sekali gus menambah kerumitan untuk mendapatkan pemain.

“Kejohanan ini memberi peluang yang baik untuk meluaskan kumpulan pemain yang layak menyertai Harimau Malaya, terutama ke arah pembabitan mereka di pentas antarabangsa pada masa akan datang, termasuk Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan,” kata kenyataan FAM.

Seperti yang terbukti malam kelmarin, ia bukanlah ramuan cukup ampuh untuk melayakkan Harimau Malaya ke separuh akhir sekurang-kurangnya.

“Ia menyedihkan untuk mengakhiri kempen seperti ini. Pasukan (Harimau Malaya) berhak mendapat lebih lagi malam ini. Saya fikir dalam permainan, kita tak dapat lakukan lebih untuk mendapatkan kemenangan,” kata Vicente sebagai merumuskan berakhirnya kempen pasukannya.

Tutup buku lama, buka buku baharu dengan revolusi Harimau Malaya bermula dengan pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu yang akan memulakan tugas pada 1 Jan diharap dapat meniupkan angin perubahan yang dinanti-nantikan ramai. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.