Pemilik kilang keropok, Asmalaili Kedah, 43, berkata kejadian itu berlaku pada 10.30 malam ketika dia bersama suaminya Hasmizi Admin, 43, dan beberapa pekerja sedang mengemas peralatan di dalam premis berkenaan yang terletak kurang 100m dari Pantai Dalam Rhu.
“Ketika itu tiba-tiba ombak besar menghempas bangunan menyebabkan keseluruhan kediaman pekerja yang terletak bersebelahan kilang, roboh dan dihanyutkan ombak manakala sebahagian bangunan kilang runtuh di depan mata kami.
“Saya amat terkejut dan menjerit memanggil dua anak pekerja yang masih berada di dalam rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya dan menambah dua hari lepas, hanya bahagian dapur rumah itu roboh dihanyutkan ombak.
Asmalaili berkata walaupun dia dan pekerja masih dalam keadaan trauma, namun bersyukur kerana tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu.
“Kejadian ombak besar luar biasa ini kali pertama berlaku sejak 14 tahun kami menetap di kawasan ini. Berkemungkinan malam ini kejadian sama akan berulang dan tidak mustahil keseluruhan kilang akan musnah sepenuhnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu, dia membawa pekerjanya menetap di rumahnya yang terletak di kampung sama sementara mendapatkan kediaman lain.
Sementara itu, pekerja kilang keropok berkenaan, Mohd Lokman Mat Nor, 46, berkata majikannya telah menasihatinya untuk berpindah minggu lepas, namun ketika itu isterinya uzur akibat kanser rahim.
“Saya tidak mahu menyusahkan isteri yang sedang sakit, namun empat hari lepas dia meninggal dunia, selepas pemergiannya rumah kami pula roboh dihanyutkan ombak,” katanya yang reda dengan kejadian yang menimpa dirinya sekeluarga. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.