`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 25, 2024

Kutipan tak cukup, menteri seru umat Islam tunai zakat

 

ppr
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata zakat adalah instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam yang dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar.
PETALING JAYA
Umat Islam yang berpendapatan lebih dan cukup syarat diseru membayar zakat susulan jumlah kutipan belum mencukupi untuk menampung keperluan miskin bandar dan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata jika jumlah kutipan tidak mencukupi, sebanyak 34,000 asnaf tidak dapat menikmati 38 skim bantuan ditawarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Keperluan bulanan untuk 34,000 itu semua asnaf dapat (bantuan). Contohnya skim keusahawanan MAIWP perlu dibuat pemilihan teliti kerana zakat tak mencukupi untuk semua asnaf yang mahu menjadi usahawan,” katanya kepada FMT.

Semalam, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, berkata setakat ini RM1.02 bilion sudah diagihkan untuk membantu golongan memerlukan, yang bilangannya terus meningkat sedangkan kutipan zakat baru mencecah RM909.99 juta.

“Maknanya, dari segi agihan kini lebih tinggi daripada jumlah kutipan, tetapi MAIWP membantu 34,000 keluarga setiap bulan.

“Sebab itu duit zakat yang kami kutip ini belum cukup dan kami masih perlu menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam tampil menunaikan kewajipan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Nai’m berkata zakat adalah instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam yang dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar.

Katanya, bagi dana zakat di Wilayah Persekutuan, MAIWP telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan menerusi 38 skim merangkumi kebajikan, ekonomi, perubatan, dakwah dan pembangunan ummah serta perlindungan dan pendidikan.

“Agihan zakat melalui institusi zakat lebih adil, menyeluruh dan berfokus kepada keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pendidikan, dan pekerjaan sekali gus membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Justeru, Nai’m meminta mereka yang cukup syarat menunaikan rukun Islam keempat itu kerana ‘dalam rezeki kita ada hak asnaf atau mereka yang memerlukan’.

“Saya menyeru seluruh umat Islam, marilah kita bersama menyempurnakan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, kerana ia bukan sekadar membersihkan harta, tetapi juga melapangkan jiwa dan membuka pintu keberkatan yang lebih luas dalam kehidupan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.