Meminta kenaikan itu ditarik balik, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata dasar ketika pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyebabkannya tidak mampu menjana keuntungan bagi mengekalkan kos haji.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, TH berperanan sebagai tabung awam bagi membolehkan umat Islam atau pendeposit menyertai pelaburan dalam industri, perdagangan, perladangan dan hartanah sebagai sumber pendapatan serta keuntungan selamat dan bebas riba.
Katanya, keuntungan itu juga membolehkan TH menampung apa-apa kenaikan kos termasuk urusan pengendalian haji.
“Dasar mengehadkan aktiviti TH kepada pengendalian urusan haji dan pelaburan dalam aset simpanan tetap semata-mata susulan pertukaran kerajaan kepada PH sebelum ini dipercayai menjadi penyumbang utama kepada ketidakmampuan tabung berkenaan menjana keuntungan yang munasabah bagi mengekalkan kos haji pada paras yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Takiyuddin berkata PAS mendesak kerajaan mengkaji semula dasar pelaburan semasa bagi membantu TH memberi kemudahan terbaik kepada rakyat untuk ke Tanah Suci dengan kos mampu dibayar semua golongan.
“Ia bagi membolehkannya menjalankan peranan sebagai tabung pelaburan umat Islam menguntungkan, selain menyumbang pertumbuhan ekonomi negara, iaitu peranan dimainkannya sejak ditubuhkan pada 1963,” katanya.
Semalam, TH mengumumkan bayaran haji tahun depan naik 20% bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi kumpulan B40, bayaran ditetapkan RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024 manakala RM23,500 (RM19,152) dan kumpulan Muassasah T20 berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan kekal menjelaskan bayaran penuh iaitu RM33,300 seorang.
Menurut Takiyuddin, PAS berpandangan kenaikan itu yang dikatakan mengambil kira peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj khidmat di Tanah Suci yang mewakili hingga 87% bukan suatu keadaan mendesak bagi TH serta kerajaan.
“Tanpa menafikan isu kenaikan kos dihadapi, PAS percaya isu lebih besar dan perlu diutamakan ialah kesan kenaikan kos itu ke atas kemampuan umat Islam yang mahu menunaikan haji.
“Terutama sekali dengan tekanan ekonomi semasa termasuk dari segi peningkatan kos sara hidup, harga barangan keperluan dan peluang pekerjaan terhad,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.