Arahan itu diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara hari ini.
Anwar berkata mesyuarat itu platform tertinggi bagi kerajaan menekuni isu terkait sekuriti makanan serta kebajikan petani dan pesawah.
“Mesyuarat antara lain memberi tumpuan kepada isu produktiviti hasil padi negara. Dalam soal ini, saya mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun 2025.
“Sasaran ini penting bagi untuk meningkatkan hasil pesawah, di samping memastikan keterjaminan bekalan padi beras sebagai makanan ruji negara,” katanya di Facebook.
Anwar juga menekankan agenda keterjaminan makanan akan terus disokong kerajaan bagi kemaslahatan dan kebajikan rakyat menerusi strategi proaktif serta kerjasama semua pihak.
Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai bagi memastikan produktiviti beras tempatan yang stabil.
Langkah itu juga bagi mengurangkan import beras dan meningkatkan pendapatan petani.
Antara usaha dilaksanakan termasuk mempromosikan penggunaan teknologi dan memperbaiki pengurusan penanaman sistematik.
Menerusinya kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi pertanian seperti dron dan jentanam bagi meningkatkan hasil padi melalui program Sawah Padi Pintar Skala Besar Ala Sekinchan (SMART SBB).
Setakat September, Malaysia mengimport 1,358,718 tan beras dari Thailand, Vietnam, Pakistan, Kemboja, India, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Myanmar dan Sepanyol.
Daripada jumlah itu, Malaysia mengimport sebanyak 549,824 tan beras dari Vietnam, diikuti Pakistan (349,832), Thailand (178,056), India (229,451), Kemboja (38,397), Myanmar (12,575), Korea (250), Taiwan (170), Jepun (142), Indonesia (13) dan Sepanyol (lapan). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.