`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 19, 2024

PN oh PN

 

Mohsin Abdullah

Saya mulakan artikel kali ini dengan memetik laporan FMT oleh wartawan Faiz Zainudin siaran 11 Disember lalu. Menurut laporan itu penganalisis dari Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakob, berpendapat pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional belum mampu menarik sokongan orang bukan Melayu kepada gabungan itu walaupun Azmin pernah menjadi pemimpin PKR yang mewakili pelbagai bangsa.

Malah semasa dalam PKR pun kata penganalisis itu Azmin tidak sepopular Anwar Ibrahim dalam kalangan ahli parti termasuk yang bukan Melayu. “Jadi sukar tarik orang bukan Melayu sokong PN,” kata Tawfik.

Jika pendapat itu tepat maka ini berita tidak baik untuk PN kerana gabungan itu mahukan golongan bukan Melayu sokong mereka dalam usaha menawan negara apabila pilihan raya umum diadakan kelak.

Sifir PN mudah — kekalkan sokongan Melayu yang sedia ada dicampurkan pula dengan sokongan bukan Melayu maka mereka akan memerintah Malaysia. Sama ada anda setuju dengan sifir sedemikian terpulang. Namun kata Tawfik, “bagi saya mereka perlu pemimpin dari luar tetapi mesti ada faktor penarik juga seperti tiada lagi pendekatan ekstrem”.

Inilah yang masalah besar buat PN — ‘tiada lagi pendekatan ekstrem’. PN kita tahu dianggotai PAS dan Bersatu. Satu lagi komponen Gerakan tetapi sekadar ‘window dressing’ supaya PN ternampak ada elemen kepelbagaian bangsa dan agama. Jujur saya katakan Gerakan don’t have any say in PN.

Untuk memendekkan cerita yang panjang, PAS dilihat ramai sebagai parti Islamist hard liner dengan interpretasi keras dan ekstrem terhadap agama. Walaupun PAS menafikan anggapan itu, tingkah laku dan kenyataan pemimpinnya sering boleh dilihat sebaliknya. Bagi majoriti rakyat terutama masyarakat bukan Islam PAS bagai golongan ‘terpaling Islamis’.

PAS sedar ia masih gagal diterima masyarakat bukan Melayu bukan Islam. Bukan mereka tidak berusaha tapi usaha sehingga kini untuk merapati bukan Melayu bukan Islam belum berjaya. Seperti dikata tadi salah mereka sendiri. Bagaimanapun sokongan Melayu yang diperolehi cukup membanggakan untuk PAS memerintah empat negeri di Semenanjung.

Bersatu pula semasa ditubuhkan oleh Mahathir Mohamad pada 2017 mengikut acuan Umno yakni parti Islam-Melayu nasionalis. Lama kelamaan Bersatu juga dilihat semakin ekstrem dan bergaris keras mungkin untuk serasi dengan PAS dalam PN. Namun tidak dinafikan berdamping dengan PAS dan berlagak ala PAS banyak menguntungkan Bersatu termasuk di peti undi. Seperti PAS sokongan hanya daripada orang Melayu.

Dalam mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu, PAS dan Bersatu masih bertindak memainkan the Malay card. Contoh terbaru pada 12 Disember lalu beberapa pemimpin PN menyertai Mahathir dan mengajak orang Melayu melawan ‘musuh bersama’ atau ‘common enemy’ orang Melayu.

Tindakan ini pada hemat saya lebih menjauhkan PN daripada masyarakat bukan Melayu, bahkan ramai juga orang Melayu yang tidak setuju dengan langkah itu.

Untuk berlaku adil kepada Azmin, perlu ditegaskan sesiapa sahaja yang memegang jawatan setiausaha agung PN akan berdepan kesusahan untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu. Persepsi umum — PN gabungan politik rasis dan ekstrem terlalu tebal untuk dihakis dengan cepat.

Bercakap mengenai setiausaha agung PN, sebelum ini diberitakan PAS mahu setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai setiausaha agung PN untuk menggantikan Hamzah Zainudin, yang sudah duduk jawatan timbalan presiden Bersatu.

Tetapi Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN melantik Azmin. Menurut Tawfik, Azmin mungkin diletak di jawatan itu bagi membalas budi selepas berjaya membawa beberapa Ahli Parlimen PKR menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan dari Februari 2020 hingga Ogos 2021. Tawfik jelas merujuk apa yang dipanggil Langkah Sheraton.

Bagi saya pula mungkin juga pelantikan Azmin ialah sebahagian ‘pelan damai’ yang dianjur Muhyiddin menjelang pemilihan Bersatu bulan lalu. Untuk rekod dinyatakan Muhyiddin ialah presiden Bersatu manakala Azmin ialah setiausaha agung Bersatu.

Sukar untuk dinafikan PAS kecewa orangnya tidak dipilih walaupun tidak menunjukkan kekecewaan secara terbuka. Kalau mereka bengkak hati ini boleh difahami kerana selain jawatan pengerusi PN, jawatan ketua penerangan, ketua wanita, setiausaha eksekutif semua diisi oleh orang Bersatu. Sekarang jawatan setiausaha agung pula. Jawatan itu sebelum ini pun disandang orang Bersatu.

Apa pun tidak lama selepas Azmin diumum Muhyiddin, naib presiden PAS yang juga menteri besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai bendahari agung PN.

Jika anda bukan peminat PN pasti anda akan kaitkan peletakan jawatan Dr Sam dengan isu jawatan setiausaha agung PN. Samsuri bagaimanapun menafikan ada keretakan dalam PN. Kata beliau peletakan jawatan demi perkukuhkan PN Bagaimana? Beliau tidak menjelaskan.

Adakah ini bermakna selama ini gabungan itu lemah yakni semasa Samsuri memegang jawatan bendahari agung? Tidak mantap sehingga memerlukan beliau meletak jawatan untuk mengukuhkan PN?

Kata penganalisis sosiopolitik Awang Azman Awang Pawi, peletakan jawatan Samsuri tanda protes PAS terhadap kepimpinan PN. PAS sedang menunjukkan siapa ‘abang besar sebenar’ dalam PN, katanya.

Sememangnya ramai yang menyifatkan PAS sebagai big brother dalam PN, dan selayaknya kerana PAS lebih besar dan kuat berbanding Bersatu. PAS mempunyai Ahli Parlimen paling ramai dewasa ini dan kejayaan yang dinikmati Bersatu banyak kerana tumpang tui kejayaan PAS.

Menyentuh kembali mengenai PN memerlukan sokongan bukan Melayu. Realitinya ialah mana mana gabungan politik yang mahu memerintah Malaysia wajib mendapat sokongan blok Borneo. Namun 14 Disember lalu Parti Maju Sabah atau SAPP mengumumkan menarik diri daripada PN susulan pendirian gabungan itu mahu bertanding pada PRN Sabah tahun depan.

Nampak serba tak kena PN sekarang ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.