“Soal adendum, tunggu 6 Januari la. Apa yang tak sabar sangat sebab apa,” kata Anwar Ibrahim sebagai menyimpulkan pertanyaan dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berkaitan adendum tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam.
Sambil menegaskan isu kewujudan titah adendum itu tidak wajar diulas secara terbuka di Dewan Rakyat kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membenarkan atas alasan subjudis, perdana menteri berkata beliau perlu menghormati mahkamah yang telah menetapkan tarikh berkenaan untuk mendengar kes rayuan Najib.
“Benda ni dibangkitkan, saya tak mahu komen betul tak betul, ada tidak ada, saya tidak mahu komen. Yang saya boleh bagitau memang betul (adendum) tidak dihantar kepada saya, tidak diberitahu kepada saya, tidak ada penjelasan kepada saya.
“Tapi tak semestinya begitu kerana dia mesti kepada Lembaga Pengampunan dan saya bukan anggota Lembaga Pengampunan. ‘Oh dia buat-buat tak tahu’. Apa benda yang tak tahu, saya bagi fakta saja,” katanya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Isnin menggesa semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis berhubung rayuan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum itu kerana rayuan dan notis usul tersebut masih belum diputuskan.
Tambah Anwar lagi: “Saya tak maksud di sini nak pertikai (adendum) sahih atau tidak, peraturan atau tidak. Biar mahkamah putuskan kerana di mahkamah bila saya bagitau biar kita dedahkan keseluruhannya termasuk daripada awal agenda itu siapa masukkan, kemudian apa perbincangan.
“Tetapi kena ingat ini hanya boleh dilakukan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan setelah dikecualikan daripada OSA (Akta Rahsia Rasmi). Dan yang saya setuju boleh lakukan supaya dapat memadamkan tohmahan yang terus-menerus berlaku terhadap lembaga (pengampunan) ataupun peguam negara ataupun saya sendiri,” katanya.
Peguam kanan mewakili Najib, Shafee Abdullah, yang pada Isnin menyifatkan kerajaan ‘kurang ajar’ jika tidak akur kepada perintah Yang di-Pertuan Agong berkaitan adendum itu menambah: “Saya dah minta semua Ahli Parlimen untuk mendesak kenapa dokumen ini (adendum) disembunyikan secara sengaja.”
Takiyuddin Hassan mungkin antara yang memilih untuk melaksanakan permintaan peguam berkenaan yang mungkin turut dirasakan memberinya laba politik.
Pada 3 Dis lalu, Najib memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan keterangan baharu bagi menyokong usaha beliau memohon semakan ke atas apa yang dikatakan ‘perintah tambahan’ oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Ini susulan anak sulung Najib, Muhammad Nizar, didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum itu bagi membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah. Dokumen itu didakwa diterima Nizar pada 2 Dis atas arahan Al-Sultan Abdullah.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menunda keputusannya terhadap permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung adendum itu, yang tarikhnya ditetapkan pendaftar mahkamah untuk didengar pada 6 Jan.
Namun, belum pun lama selesainya sesi PMQT itu, sebuah laman berita yang diketahui condong kepada pembangkang memuat naik video berkaitan dengan tajuk ‘PMX koyak di Parlimen kata tak boleh komen’.
Apakah benar perdana menteri koyak atau sekadar bertegas mematuhi peraturan? Terpulang kepada anda untuk melihatnya dari sebelah mana.
Sebelum itu, daripada soalan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin, boleh difahami bahawa tujuan pembangkang tidak lain daripada mahu menimbulkan persepsi kononnya kerajaan Madani mahu terus menyembunyikan adendum itu, tidak bercakap benar dan menderhaka kepada raja.
“Kenapakah Yang Amat Berhormat selama ini pihak kerajaan tidak bercakap benar mengenai kewujudan atau tidak adendum ini? Apakah ini bukan satu pendustaan dan penderhakaan kepada titah perintah Yang di-Pertuan Agong? Dan ini juga terkandung ke dalam satu perkara yang dianggap di segi undang-undang ‘wrongful imprisonment’ (pemenjaraan yang salah) kalau ia ada melanggar peraturan,” soal Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Anwar turut sempat mengusik Johari Abdul sebagai luar biasa baiknya kerana membenarkan soalan berkaitan adendum tahanan rumah Najib yang dianggap subjudis, yang dijawab speaker Dewan Rakyat itu: “Saya dielak untuk dianggap zalim sebenarnya kalau menolak soalan itu.”
Beliau jelas merujuk kepada kenyataan Awang Hashim (PN-Pendang) yang menuduh speaker sebagai zalim di dalam dan di luar Parlimen sehingga membawa kepada penggantungannya selama 10 hari daripada sidang Dewan, 5 Dis lalu.
Kepada soalan tambahan Takiyuddin itu, perdana menteri mengungkapkan: “Peguam ni faham ke undang-undang? Apa dia undang-undang kata? Tak boleh kalau saya pilih nak jawab. Tak boleh jawab untuk menghormati mahkamah, tak faham ka itu? Nak cari ‘cheap political stunt’ (modal politik murahan) dan hipokrasi nak jadi juara untuk Datuk Seri Najib. Dulu ucapan dia berapi-api mengecam Najib habis-habisan, dari rambut sampai kaki. Sekarang nak jadi hipokrit.”
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau akan memberikan jawapan penuh sebaik prosiding undang-undang berhubung perkara itu selesai.
“Kalau diperlukan besok, bila diizinkan, saya boleh bahas di sini, tak ada masalah. Cuma nak paksa kita, nak kecam kita, kerana seolah-olah kita tidak bersedia, itu tak betul. Tapi saya tak boleh jawab isu substantif, kena tunggu 6 Januari,” katanya.
Andai Anwar memilih untuk menjawab lebih 30 minit PMQT yang diberikan hingga ke petang sekalipun, ia tidak akan memuaskan hati sebahagian khalayak yang sudah terbentuk persepsi mereka kononnya kerajaan Madani ini akan terus menzalimi Najib.
Malah, keputusan mahkamah sekalipun belum tentu akan diterima mereka, apatah lagi jika kepercayaan mereka sudah tertanam bahawa Najib selama ini tidak mendapat keadilan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.