Tahun 2024 baru berlalu dan tahun 2025 menjelang tiba kini. Ramai orang menyambutnya dengan resolusi pendamaian antara manusia, tetapi PAS sebuah parti yang meraikannya dengan merenggangkan hubungan antara rakyat Malaysia.
Jumaat ini, PAS mengajak orang Islam dan Melayu untuk bersama berdemonstrasi menentang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dikatakan menggugat keimanan orang Islam Melayu dengan menganjurkan sambutan Krismas siap bersama pokok Krismas, nyanyian Carol dan memakai topi salji merah.
Bagi PAS, Nga telah melanggar sensitiviti umat Islam dan mengancam keharmonian antara agama kita khusus terhadap umat Islam. Tidak kira sehebat mana bunyi ‘perjuangan’ PAS memalu gendang ‘perang’ dengan penganut Kristian Malaysia, izinkan saya membuat beberapa pemerhatian terhadap keperwiraan PAS dan kejumudan pemikiran ahlinya.
Pertama, soalan saya kepada PAS, kenapa perayaan agama lain tidak boleh disambut oleh sesebuah kementerian? Adakah mengikut Perlembagaan kita bahawasanya setiap kementerian itu milik umat Islam semata-mata? Jawapannya mudah. Setiap kementerian adalah jentera untuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia. Setiap kementerian dibiayai cukai rakyat pelbagai kaum. Setiap jentera bagaikan enjin kereta. Enjin kereta tidak kenal Islam, Buddha atau Hindu, ia adalah mesin sahaja.
Pemandu jentera kerajaan ada dua orang, yang satu adalah lantikan rakyat dan seorang lagi drebar tetap. Yang dilantik rakyat namanya menteri dan yang jadi drebar tetap adalah ketua setiausaha kementerian atau “secretary to the ministry”.
Adakah mana-mana aspek Perlembagaan Persekutuan menyatakan menteri dan ketua setiausaha kementerian ini wajib orang Islam? Tak disebut pun. Jadi, masa bila sesebuah kementerian adalah hak milik orang Islam?
Kedua, saya nak tanya PAS, agaknya ada tak majlis hari raya dianjurkan di kementerian? Saya tak tahu sebab tak pernah kerja di kementerian dan tak dijemput ke sana pun. Tetapi, di UTM, tempat saya bekerja dulu memang disambut besar-besaran. Namun demikian, saya tak pernah tengok UTM sambut Krismas, Deepavali, Tahun Baru Cina atau Hari Gawai?
Pokok pangkal perbahasan saya adalah lebih elok kalau kita di kementerian merayakan semua perayaan secara adil dan saksama. Orang Melayu tak payah pakai topi Santa Claus dan tak payah nyanyi Carol. Orang Melayu makan nasi lemak atau roti jala dan senyum sambil ucap Merry Christmas.
Tetapi, kalau kita buat polisi tidak boleh merayakan apa-apa perayaan berkaitan sesuatu agama, maka itu kita tak boleh juga buat majlis hari raya atau sembahyang hajat atau doa apa-apa di kementerian. Perlu kita bersikap adil kepada semua. Tak kisahlah orang Melayu 90% ramainya dalam sesebuah kementerian. Adil tetap perlu adil.
Ketiga, saya nak tanya PAS, adakah Christmas itu perayaan agama atau perayaan berbentuk “memorial” atau majlis peringatan? Ini mungkin soalan pelik, tetapi ia amat penting sebab orang Islam menganggap ia perayaan agama.
Kalau kita tanya internet, kita akan dapati Jesus atau Nabi Isa tak pernah suruh pun umat dia rayakan Christmas. Tak ada disebut dalam kitab Injil. Saya pun dah baca keempat-empat New Testament.
Rakan Kristian saya yang mengajar Bible pun confirm. Kata sumber internet, Christmas pertama kalinya dirayakan pada kurun keempat setelah Nabi Isa diangkat Allah. Maknanya selama 300 tahun lebih, umat Nabi Isa, orang Nasrani, tak sambut Krismas.
Berbeza dengan Islam, Rasulullah hidup dan menyambut Hari Raya Aidilfitri, iaitu perayaan agama menandakan kejayaan umat Islam memerangi nafsu pada seluruh bulan Ramadan. Nabi raya satu hari, tetapi orang Melayu raya 30 hari! Yang Nabi Muhammad buat tu adalah agama, yang Melayu buat adalah budaya.
Rakan Kristian saya yang bukan mazhab Katolik atau Protestan atau mana-mana mazhab tidak merayakan Krismas. Mereka tidak ada pokok Krismas dan tidak bertukar hadiah. Bercakap pasal bertukar hadiah, itu amalan yang dimulakan St’ Nicholas, orang kaya yang ingin memberi kebahagiaan pada Hari Krismas. Ia juga bukan arahan atau amalan dari Jesus dan tidak disebut dalam kitab Injil.
Maka itu, Krismas boleh disifatkan sebagai “memorial” atau hari peringatan, walaupun ramai menganggap ia sebagai ritual agama. Perkara ini sama dengan sambutan Maulidur Rasul. Rasulullah tak pernah suruh pun raikan hari kelahiran baginda. Sebab itu ada umat Islam yang tidak meraikan dan mengiktiraf ia sebagai perayaan keagamaan, tetapi ia hanya majlis peringatan.
Keempat, simbol Krismas seperti topi merah Santa, nyanyian Carol dan pokok Krismas ternyata bukan wujudnya dari Nabi Isa, tetapi ia inovasi selepas zaman Nabi Isa atau Jesus. Ternyata Krismas boleh dikatakan tidak sama dengan tuntutan keagamaan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji sebabnya kedua-dua hari kebesaran Islam adalah arahan Rasulullah.
Akhir sekali, saya telah menghadiri banyak majlis Krismas di Amerika Syarikat sewaktu belajar di sana dan di Edinburgh, Scotland sewaktu PhD saya. Saya bergaul mesra dengan penganut Kristian di gereja atau di mana-mana saya dijemput.
Baru-baru ini, saya ke majlis Krismas High Tea pada 21/12/24 di First Gospel Tabernacle, Subang Jaya. Di situ ada pokok Krismas, ada topi Santa dan nyanyian Carol. Saya menonton saja dan bersama tepuk tangan.
Saya ingin beritahu orang PAS, saya masih orang Islam, masih rakyat Malaysia dan dari kaum Melayu. Tambahan pula, iman saya sebagai Muslim lebih kuat kerana saya menyahut seruan Islam untuk berdamai dengan semua manusia yang ingin berdamai dengan orang Islam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.