Hari itu saya melepak dengan beberapa kawan terdiri ‘orang surau’. Sejak remaja saya sudah mengenali mereka dan sejak muda lagi mereka ini memang banyak meluangkan waktu di surau dan masjid. Walaupun mereka kelakar, suka bergurau tetapi mereka ini kaki surau, tidak seperti kata orang sekarang ‘kalau tak boleh bergurau, pergi duduk surau’. Ha! Ha!
Merekalah yang membersihkan surau kampung, membaiki apa yang rosak dan menyusun aktivitinya. Sesekali saya akan menyertai mereka berbual dan bermesra meskipun saya jarang berada di tempat di mana mereka berada pada waktu malam; iaitu di surau. Mereka pun tahu saya ini siapa, orang seni kata mereka – dari dua cabang berbeza kami menemui satu persamaan iaitu keterbukaan berbincang tanpa bertelagah.
“Aku ada baca tulisan kau tentang susahnya mencari senyuman di masjid. Memang diakui itu kelemahan kebanyakan kita. Tapi, ia bukan setakat di masjid. Di kejiranan pun sama. Muka ketat je. Kita hari ini saling pentingkan diri sendiri,” kata salah seorang kawan menuju kepada saya.
Saya hanya ketawa hambar. Bukan hendak menyinggung mereka sebaliknya saya bercakap tentang apa yang saya lihat. Tetapi saya tidak ambil hati apabila ditempelak begitu. Adat memukul sesekali harus juga sedia kena pukul.
Mereka kemudian bercerita tentang video yang tular awal tahun baharu 2025 ini berkenaan ahli-ahli masjid melakukan kekasaran terhadap seorang penceroboh yang membuat kacau di dalam masjid. Ada pro dan kontranya, kata mereka.
“Memang betul kita boleh petik kisah Rasulullah SAW menegah para sahabat daripada menyerang sebaliknya harus bersabar dahulu sehingga lelaki badwi tersebut menghabiskan kencingnya. Membelasah orang ketika sedang kencing, makan atau tidur dikira kejam. Dalam hal tersebut, kalau lelaki itu dikejar mahu berterabur air kencingnya merata dalam masjid,” kata Mat.
Tetapi harus juga kita teliti dan berhati-hati, kata Din pula. Ini zaman lain. Zaman semakin gila. Manusia yang berniat buruk pun kita kena jaga-jaga. Mereka boleh saja menyamar menjadi tak waras dan sengaja membuat kacau dek kerana terpengaruh dengan hasutan jahat. Maknanya kena tetap berjaga-jaga.
Kata Samad pula, seorang kawan yang kami hormati bukan sahaja kerana dia lebih tua tetapi kerana dikenali sebagai seorang yang lebih tenang, “teladan daripada kisah Rasulullah dan Badwi kencing itu wajar dilihat lebih jauh lagi. Ia bukan setakat itu sahaja pengajarannya. Bukan jika terjadi hal seperti baru-baru ini terus sahaja nak guna kisah itu. Ia juga harus ditekuni ke peringkat psikologi serta kesan jangka panjang. Ada banyak iktibar daripada peristiwa itu.”
Antaranya menurut Samad, ahli masjid juga manusia biasa. Sama seperti mereka yang bukan kaki masjid. Ada yang masih kekal darah panasnya tapi cuba hendak seimbangkan diri. Bercita-cita mahu jadi orang baik. Sesekali diuji, tak tahan juga. Begitulah juga ketika di zaman nabi itu. Gambaran yang boleh kita lihat ialah antara sahabat masih ada lagi yang cepat panas tetapi sifat kepimpinan Rasulullah berjaya membuat mereka patuh.
Begitu juga sepatutnya pemimpin agama hari ini harus tegas mendisiplinkan pengikut. Hari-hari kita tonton video agamawan berkelahi fahaman sesama mereka dan mengheret pengikut membelasah (mencaci-maki) antara satu sama lain. Pemimpin sesebuah aliran dilihat tak tegas menegah pengikut mereka supaya jangan berkasar.
“Sepatutnya imam-imam ini cakap pada pengikutnya walaupun kita berbeza pandangan tidak seharusnya meleret sampai tuduh-menuduh dan memfitnah kerana bagaimana berbeza pun, kita semua masih mengucap syahadah yang sama, menghadap kiblat yang sama serta menyebut nama tuhan yang sama. Perkara yang kita gaduhkan adalah tentang hal yang inti sebenarnya masih sama iaitu bersembahyang, berdoa, berzikir dan sebagainya. Itu saja,” kata Samad lagi.
Bukan sahaja dalam bidang agama. Dalam pejabat, dalam parti politik atau pertubuhan harus ada susuk pemimpin yang kita segani di mana ketokohannya membuat kita patuh dan hormat. Bukan menyokong dan memilih pemimpin kerana taasub atau disogok.
“Jika kejadian ceroboh masjid seperti itu berlaku di halaman rumah kita misalnya, bagaimana? Ada penceroboh buat kacau. Kita pujuk cara baik tapi tak jalan. Sebelum kita, keluarga dan harta-benda terancam – kita sebagai pemimpin di rumah kita sendiri apa perlu kita buat sementara menunggu pihak berkuasa sampai? Kita kena bijak berunding tetapi dalam masa yang sama sedia mempertahankan apa yang kita ada daripada perbuatan khianat.” kata Samad yang tetap bertegas bahawa seboleh-bolehnya elakkan daripada berlaku kekerasan.
Pendirian kawan-kawan surau saya ini ialah video yang kita tonton itu hanya sekerat. Ia boleh disalah tafsir. Ia mampu menimbulkan pelbagai persepsi serta sangkaan. Akan ada orang yang menyokong dan adakalanya ia boleh memakan diri balik kepada pihak yang bertujuan menyebarnya untuk meraih sokongan. Video kemalangan jalan raya, pergaduhan di restoran, perang mulut di jabatan kerajaan atau kekecohan di pasar raya misalnya pasti sokongannya akan terbelah dua. Kita yang tidak berada di situ mentafsirnya mengikut apa yang kita nampak sekerat itu dan apa sentimen yang telah sedia tertanam di dalam kepala kita.
Jika kita tebal dengan sifat perkauman, taasub dengan fahaman sama ada fahaman agama, politik atau fahaman bebas; kita akan membuat satu keputusan yang sama sekali tak akan sama kerana kita tidak berada di situ. Akan ada unsur-unsur yang kita pegang itu mengganggu penilaian kita.
“Dalam hal ini, ia berlaku di dalam masjid. Tentulah ia lebih tak sedap. Jika di bar, di jalan raya atau di sekolah – ia lain sikit. Namun, aku bukan nak membela mana-mana. Untuk aku, kerana aku tak berada di situ adalah wajar untuk aku diam daripada berkata-kata,” kata Samad lagi.
“Dari kisah Rasulullah dan lelaki Badwi itu kita wajar melihat juga aspek keselamatan andainya kita tidak mahu perkara sebegitu berlaku lagi. Jangan kita lupa, Saidina Umar dibunuh oleh penceroboh masjid yang berpura-pura menjadi jemaah. Ada jemaah lain yang turut mati dan cedera ketika Abu Lu’lu’ah cuba melepasi barisan saf sebelum menikam Umar. Abu Lu’lu’ah bukan muslim manakala Saidina Ali juga dibunuh ketika solat subuh dan kali ini Ali dibunuh oleh pelampau Muslim (Khawarij).”
Maknanya, kekecohan boleh dilakukan oleh sesiapa termasuklah dalam kalangan kita sendiri. Ini juga boleh berlaku di pusat ibadat agama lain. Mengingatkan itu, saya teringat juga peristiwa pahit beberapa tahun dahulu bila kuil Hindu juga telah diceroboh sehingga berlaku kekecohan yang tidak kita ingini. Di situ jugalah berlaku kematian anggota keselamatan sehingga mencetuskan isu perkauman. Bahaya!
Saya dan kawan-kawan bersependapat bahawa dalam segala hal kita harus sentiasa tidak tergopoh-gapah bertindak. Tidak juga perlu kita terhegeh-hegeh mahu menjadi juara menyebarkan cerita dan mahu jadi orang pertama mengomen. Itu adalah lebih baik dan selamat.
Manakala rumah, pejabat, tempat awam dan pusat ibadat wajar diperkemaskan lagi keselamatannya. Apatah lagi pada hari ini golongan yang dekat dengan agama juga menjadi sasaran dan mangsa persepsi. Hendak bercakap agama pun susah nanti dikatakan menunggang agama sebab memang ada juga yang tak dinafikan menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Susah kan? Situasi begitu telah membuat kita pukul rata semua sekali dalam membuat penghakiman.
Maka itu, sama-samalah kita bertenang dan berwaspada kerana sentimen kaum dan agama adalah senjata paling bahaya dan paling mujarab digunakan untuk menimbulkan kekecohan. Sekali lagi, bertenanglah. Dalam solat pun ada rukun thoma’ninah iaitu bertenang sekejap sebelum meneruskan rukun seterusnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.