`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 10, 2025

Perang mulut solidariti Najib tak jejas hubungan BN-PH, dakwa pemimpin Umno

 

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng dan Dr Akmal Saleh antara pemimpin PH serta BN terbabit dalam pertikaman lidah membabitkan himpunan solidariti Najib Razak.

PETALING JAYA
Seorang pemimpin Pemuda Umno menolak perang mulut membabitkan beberapa ahli parti itu dengan DAP berhubung himpunan solidariti Najib Razak, Isnin lalu menyebabkan perpecahan hubungan sayap komponen kerajaan perpaduan.

Ketua Pemuda Umno Selangor, Mohd Imran Tamrin, berkata percanggahan pendapat antaranya membabitkan Ketuanya Dr Akmal Saleh dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng lebih kepada teguran peribadi, bukan mewakili suara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Itu tak jejaskan kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan di Putrajaya, kritikan lebih kepada teguran dan tidak bawa perpecahan,” katanya kepada FMT.

Bekas Adun Sungai Panjang itu berkata, di Selangor hubungan Pemuda BN yang diketuainya serta sekutu daripada PH berjalan seperti biasa di sebalik kontroversi terbabit.

“Kita tak bertelagah antara satu sama lain.

“Malah ada antara pemimpin BN-PH Selangor juga telah memulakan kerjasama menghadapi PRU akan datang, BN diwakili Johan Aziz manakala PH pula oleh Borhan Aman Shah,” katanya.

Akmal dan Guan Eng antara dua pemimpin Umno serta DAP sering berbalas kritikan. Terbaru berhubung himpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib, Isnin lalu.

Sebelum perhimpunan itu berlangsung, Guan Eng membidas Umno kerana mahu mengadakan perhimpunan solidariti yang turut disertai PAS.

Akmal membidas Ahli Parlimen Bagan itu yang didakwa sebagai tiada hak untuk menghalang penyokong Umno berbuat demikian.

Walaupun Umno membatalkan himpunan itu bagi menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengurangkan hukuman dan mengampunkan seseorang banduan, ada ahli serta pemimpinnya berhimpun di Istana Kehakiman.

Mereka mengikuti prosiding rayuan Najib untuk memperjuangkan titah diraja yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Najib kini menjalani hukuman enam tahun penjara dalam kes SRC International di Penjara Kajang.

Bekas presiden Umno itu memenangi rayuannya dan kes semakan kehakimannya akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu, selepas Hakim Amarjeet Singh sebelum ini memutuskan bahawa Najib gagal menunjukkan beliau mempunyai kes yang munasabah untuk didengar.

Najib juga dibenarkan mengemukakan bukti baharu apabila merit kes itu didengar di Mahkamah Tinggi kelak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.