`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 10, 2025

Gereja ada, kuil ada, masjid tak ada…WHAT??

 

Mohsin Abdullah

Semasa artikel ini ditulis Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing sudah tampil membuat penjelasan mengenai tiadanya visual masjid dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kesimpulan penjelasan yang panjang lebar ialah Tiong ‘berjanji visual masjid akan ada dalam video promosi yang lebih panjang dan terperinci ‘akan dikeluarkan kemudian’. Pada pemahaman saya yang dimaksudkan video ‘induk’. ‘The main promotional video which is not ready yet’.

Ertinya, sememangnya visual masjid tidak digunakan dalam video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook Tourism Malaysia. Itu realitinya. Tak kiralah ia ‘cuma’ montaj pendek. Durasi montaj memang pendek pun. Sesiapa yang terbabit dalam penerbitan video akan memberitahu ‘tugas’ montaj atau objektifnya ialah untuk ‘kick off’ sesuatu rancangan dan menarik perhatian umum. Lantas ia mesti ada elemen ‘fast editing’. Hasil suntingan tidak boleh lembab dan meleret-leret. Mesti ada muzik yang ‘lively’ dan ada visual menarik.

Tidak tahulah kalau visual masjid tidak termasuk senarai visual menarik. Maka diulangi dalam hal montaj promosi pelancongan Malaysia visual masjid tidak ada. ‘And that is the problem’. Tambah pula visual gereja dan kuil digunakan. Bagi orang Melayu Islam itu ‘simply add salt to the wound’. Mereka marah, dan dalam keadaan orang Melayu Islam di Malaysia hampir setiap hari disajikan dengan naratif ‘Islam terancam’ dan ‘orang bukan Islam sudah berani mencabar’ bukanlah sesuatu yang memeranjat Melayu Islam membara. Benar naratif itu tidak benar. Tetapi video tak ada masjid ‘is not helping matters’.

Izinkan saya menggunakan istilah badminton yang sering kita dengar. Bukan kerana sekarang berlangsung kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur tetapi kerana istilah itu boleh menceritakan segalanya. Saya bercakap mengenai istilah ‘beri bola tanggung’. Bila ini dilakukan pemain, lawannya akan terkam dan ‘smash’ bulu tangkis untuk kutip mata. Begitulah keadaannya dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersabit isu video yang dihadapi. Mungkin lebih daripada itu. Mereka bukan sahaja membuka dada tetapi sekali gus beri peluru untuk ditembak musuh. Ertinya sendiri cari nahas.

Sepantas kilat Perikatan Nasional mengecam kementerian kerana tidak ada visual masjid dalam video promosi pelancongan. Mereka tidak boleh disalahkan. Tidak boleh dituduh memfitnah. Apa yang terjadi bagai pucuk dicita ulam mendatang. ‘God sent’ dalam bahasa Inggeris. Apabila kementerian dikecam kerajaan Madani yang dipimpin tokoh yang terkenal dengan ‘keislamannya’ turut terpalit. Atau dipalitkan.

Tiong pada hemat saya seorang menteri yang bekerja keras. ‘Hands on’. Namun golongan ‘terpaling Islam serta terpaling Melayu’ sebelum ini sudah menuduh beliau ‘terpaling Cina terpaling kafir’. Antara sebabnya ialah bagi mereka Tiong seorang ‘Chinese chauvinist’ dan pro-Beijing. Barangkali kerana beliau dilihat memberi tumpuan khas atau layanan istimewa terhadap rakyat China. Lebih tepat pelancong China.

Tetapi berdasarkan populasi China adalah wajar beliau mahu menarik seberapa ramai pelancong China ke Malaysia. Hatta layanan Istimewa buat mereka. ‘Good business sense?’ Terpulang setuju atau tidak. Apa pun dengan timbulnya isu video tanpa visual masjid ada pihak yang mahu Tiong digantikan. Dalam lain perkataan mereka mahu beliau disingkirkan. Adakah itu wajar? Sekali lagi terpulang pandangan masing masing.

Apa pun sekarang selain memberi penjelasan mengenai apa yang sudah dan akan terjadi dalam isu video tiada masjid yang bagi saya amat ‘defensive’, Tiong mesti siasat ‘what went wrong’.

Siapa yang menerbitkan video? Siapa yang memberi tugas itu kepada pihak yang menerbitkan video? Adakah yang bikin video bikin sendiri atau mereka ikut perintah sesuatu pihak? Adakah apa yang berlaku sesuatu yang tidak sengaja? Terlepas pandang? ‘Human error?’ Perancangan tidak rapi? Atau memang disengajakan? Ada golongan yang punya agenda tersendiri? Bukanlah rahsia Tiong ada musuh di luar kementerian dan di dalam kementeriannya. Sebenarnya semua menteri ada masalah itu. Jawapan diperlukan supaya apa yang berlaku tidak berlaku lagi. Namun yang penting dan mendesak ialah permohonan maaf.

Persepsi umum terutama dalam kalangan ramai orang Melayu terhadap Tiong ialah negatif. Terpulang kepada beliau untuk memperbetulkan keadaan, dan buat masa ini persepsi orang Melayu ke atasnya kekal negatif. Sememangnya isu video tidak ada masjid bagai satu mimpi ngeri. Tiong adalah orang politik. Tentu beliau tahu dalam politik persepsi adalah segala-galanya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.