`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


17 Ramadhan 1446H (18 March 2025)

Tuesday, March 18, 2025

Gobind bangkit atas faktor merit, legasi

Free Malaysia Today
Dalam pemilihan CEC pada Ahad, ia bukan kali pertama Gobind Singh Deo mendapat undi teratas dengan prestasi sama dilihat pada pemilihan 2022.

PETALING JAYA

Kebangkitan semula Gobind Singh Deo dalam DAP beberapa bulan selepas gagal pemilihan Selangor, didorong gabungan merit dan legasi oleh pemerhati.

Tiga penganalisis politik menekankan apa yang berlaku pada Ahad lalu, bukan kali pertama Gobind mendahului pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), memandangkan pernah meraih tempat teratas pada pemilihan 2022.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Gobind memaparkan keteguhan luar biasa sebagai pemimpin, dengan popularitinya di peringkat kebangsaan seolah-olah tidak terkesan walaupun kalah di Selangor.

“Prestasinya dalam pemilihan DAP Selangor boleh dianggap satu kemerosotan yang mungkin telah diperbaiki atau tidak.

“Pada usia 52, Gobind telah mencapai kemuncak kepimpinan di peringkat kebangsaan. Beliau mempunyai latar belakang keluarga setia DAP dan pencapaian di peringkat menteri untuk menyokong kepimpinannya,” katanya kepada FMT.

Gobind kini adalah menteri digital dan pernah menjadi menteri komunikasi dan multimedia ketika pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Fauzi menjangkakan Gobind akan lebih terkenal, sambil menyatakan pengerusi DAP baru itu akan menempa haluan sendiri dan tidak lagi dilihat seakan Lim Guan Eng.

Saintis politik Wong Chin Huat dari Sunway University, bersetuju keputusan undi CEC menunjukkan Gobind bukannya “orang Guan Eng”, tetapi pemimpin diterima menerusi merit sendiri melangkaui pelbagai puak DAP.

“Tidak wujud apa disebut bayang-bayang Lim (selepas keputusan pada Ahad). Era itu telah berakhir,” katanya.

P Sivamurugan juga dari USM, berkata Gobind digemari semua kem DAP kerana dilihat mengikuti jejak legasi mendiang bapanya, Karpal Singh.

“Kedua-duanya daripada masa berbeza, namun sesuai pada era masing-masing,” katanya. “Walaupun pada pemilihan CEC lalu, Gobind berjaya mendapat kedudukan teratas, menjadi cerminan kepada legasi bapa dan pengalamannya dalam dan luar parti.”

Gobind mengambil alih jawatan pengerusi kebangsaan DAP pada Ahad lalu, selepas meraih undi CEC tertinggi, 2,785.

Anak kedua kepada bekas pengerusi DAP, Karpal, Gobind mengejutkan ramai pihak selepas gagal pada pemilihan pimpinan 15 tertinggi DAP Selangor, pada November.

Bekas ketua DAP Selangor itu sekadar berada pada kedudukan ke-16.

Sebelum ini, timbul juga spekulasi sama ada beliau akan terjejas oleh kempen menggulingkan Lim, di mana Gobind telah menjadi penyokong setia selama bertahun-tahun.

Wong berkata, prestasi memberangsangkan Gobing pada pemilihan CEC tidak mengejutkan, mengambil kira pemilih di peringkat kebangsaan dan negeri sangat berbeza.

“Ini kerana perwakilan dalam DAP negeri di kongres kebangsaan mungkin berbeza dengan mereka yang mengundi di peringkat negeri,” katanya.

Fauzi berkata, Gobind sentiasa mempunyai personaliti disenangi, manakala warisan keluarganya memberikan kelebihan tambahan kepada DAP dan landskap politik negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.