
Penganalisis berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal dilihat mampu mewujudkan pentadbiran bersih dan lebih demokrasi.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) percaya ia akan menjadi kejayaan buat negara jika dapat dilaksanakan kerana jawatan perdana menteri dengan kuasa dan pengaruh luas sering terpalit dakwaan rasuah.
“Kita tak mahu ada perdana menteri yang rasa Malaysia ini dia punya,” katanya mengulas sokongan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim terhadap gesaan DAP meminda Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, PKR dan Pakatan Harapan menyokong cadangan sedemikian, tetapi menekankan keperluan berunding dengan parti lain mengenai cadangan itu.
Lau Zhe Wei yang juga dari UIAM berkata, pindaan tersebut pasti meraih sokongan di Dewan Rakyat, mengambil kira kedudukan kerajaan dengan sokongan dua pertiga ketika ini.
Beliau percaya landskap politik hari ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber, maka tiada isu ketandusan pengganti perdana menteri.
“Masyarakat pun semakin celik dan bijak…sekarang ini ada ramai calon, jadi maknanya had ini tak bawa apa-apa kesan negatif,” katannya.
Semalam, Bersih dilaporkan berkata, sesi Parlimen akan datang masa terbaik memperkenalkan rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
Pengerusinya, Faizal Aziz, percaya agenda itu akan disokong pembangkang demi masa depan negara lebih baik. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.