`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 15, 2025

Madani dengan Sapura Energy

Mohsin Abdullah

Apa yang kerajaan lakukan apabila memberi suntikan tunai RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad? a) suntikan modal b) pelaburan strategik c) pinjaman d) bailout atau d) semua yang disenaraikan.

Bagi saya semua berpandukan andaian, penjelasan, juga tuduhan yang timbul dewasa ini.

Bermula dengan bailout yang Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim percaya dilakukan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Ramai juga yang sependapat dengan Hassan.

Bailout membawa konotasi negatif khusus semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat. Bailout boleh diterjemah sebagai ‘penyelamatan’ atau ‘bantuan menyelamat’. Mahathir kerap dituduh menyelamatkan syarikat yang mengalami kesulitan kewangan milik kroni atau ada kaitan dengan anak-anak beliau. Perlu dinyatakan Mahathir menafikan semua tuduhan.

Istilah lebih terperinci diberi Hassan berdasarkan penjelasan Cambridge Dictionary, ‘the process of saving a copy, plan or other thing from failing by providing a lot of money’. Oleh itu, beliau mendakwa itu yang dilakukan kerajaan Madani, khasnya Anwar, yakni menyelamatkan Sapura Energy yang sedang bergelut dengan hutang. Singkatnya bailout.

Tetapi bukankah Anwar pernah mengaku beliau menentang keras amalan bailout? Beliau pernah kritik Mahathir yang dituduh kerap melakukan bailout. Kalau benar apa yang dikata Hassan mengapa Anwar sendiri buat untuk Sapura Energy.

Bagi Anwar apa yang dilakukan bukan bailout. Kata PMX beliau tidak menyelamatkan sesiapa. Pada pemahaman saya beliau merujuk ‘top management’. Istilah yang Anwar guna ‘towkay-towkay kaya raya’.

Menurut beliau antara syarat yang dikenakan ialah pengurusan kanan Sapura Energy mesti letak jawatan sebelum suntikan RM1.1 bilion diberi dan pasukan pengurusan baharu mengambil alih.

“Dia (suntikan wang) bukan penyelamat seperti direncanakan dulu,” kata beliau. Meskipun tidak hurai lanjut dan tidak menamakan sesiapa, bolehlah dianggap ‘seperti yang direncanakan dulu’ itu merujuk langkah yang diambil Mahathir dahulu yakni bailout.

Katanya lagi, pembiayaan hanya akan digunakan secara eksklusif untuk membayar vendor yang telah melaksanakan kerja untuk Sapura Energy. Ertinya Sapura berhutang dengan vendor. Kerja dah siap tapi upah belum bayar. Mengambil kira suntikan kewangan kerajaan mesti digunakan untuk bayar vendor, saya ibaratkan ini bagai orang lain hutang orang lain bayar.

Apa pun kata Anwar vendor tidak harus dihukum. Mereka tidak melakukan kesalahan. Daripada kira kira 2,000 vendor 80% daripadanya adalah Bumiputera yang telah menyumbang kepada Sapura Energy, kata Anwar.

Saya setuju dengan pertanyaan diaju bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim: “Adakah maksudnya perdana menteri tidak akan melabur dalam Sapura sekiranya vendornya terdiri daripada orang Cina? Jadi adakah sesuatu itu hanya dianggap strategik jika melibatkan Bumiputera?

Zaid merujuk istilah ‘pelaburan strategik’ yang diilhamkan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, semasa menafikan suntikan kepada Sapura Energy itu adalah bailout.

Mengapa Anwar harus menggunakan sentimen bangsa yakni Melayu? Kata Anwar: “Kalau saya tak tolong (dituduh) Anwar khianat, dia bukan lagi bantu perjuangan nasib Bumiputera — dia hanya jurucakap DAP. Kalau kita buat dia kata oh kita bantu (syarikat).”

Pada hemat saya ada juga perkiraan politik. Andai vendor terdiri daripada orang Cina dan Anwar membantu pasti beliau akan dituduh hanya tolong Cina dan tidak tolong Melayu.

Bak kata Inggeris ‘damned if you do damned if you don’t’.

Menurut Anwar suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy itu ‘pinjaman yang perlu dibayar semula oleh syarikat berkenaan. Bukan dana hangus’. Muncul Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhil Shaari mempersoalkan kemampuan Sapura Energy membayar balik RM1.1 bilion yang disuntik kerajaan.

Satu persoalan wajar kerana suntikan hanya untuk bayar vendor (adakah hutang Sapura Energy kepada vendor berjumlah RM1.1 bilion? Besarnya). Bolehkah syarikat membayar semula kerajaan mengambil kira masalah kewangan syarikat itu sekarang?

Maksud saya jika RM1.1 bilion digunakan untuk langsai hutang dengan vendor maka daripada mana wang mahu diperolehi untuk bayar kerajaan malah untuk kelangsungan syarikat?

Bagaimanapun, membiarkan Sapura Energy gulung tikar akan membuat negara bergantung kepada syarikat luar negara, kata Anwar. “Sekiranya (Sapura) ditutup tidak akan ada syarikat tempatan untuk beroperasi dalam sektor hiliran — semuanya syarikat asing.”

Berbalik persoalan yang saya timbulkan tadi — bagaimana Sapura Energy akan terus ‘survive?’ Satu lagi suntikan daripada kerajaan?

Hujah negara terpaksa bergantung kepada syarikat asing digunakan juga oleh Mahathir semasa menyelamatkan syarikat tempatan yang ramai percaya dimiliki kenalan rapat dan keluarganya. Ironi bukan?

Mahathir masih berpendirian kerajaan mesti bantu syarikat bermasalah. Sinar Harian pada 12 Mac lalu menyiarkan laporan ‘Tun M setuju kerajaan bantu Sapura Energy’.

Menurut laporan itu, Mahathir berkata bantuan kerajaan kepada syarikat yang bermasalah boleh dilakukan jika berdasarkan kajian menyeluruh dan mempunyai alasan kukuh.

Beliau juga dipetik berkata langkah tersebut bagi mengelakkan kejatuhan yang memberi kesan kepada ekonomi dan tenaga kerja.

Kalau bercakap dalam konteks masa kini antara syarikat bermasalah saya kira ialah Sapura Energy.

Kalau ditanya saya, tidak perlu beri suntikan. Adat berniaga ada untung, ada rugi, ada risiko. Syarikat dan vendor tahu risiko yang dihadapi.

Memang vendor dan kakitangan akan mengalami kesusahan jika syarikat gulung tikar. Jika syarikat asing ambil alih, bagi saya apa salahnya asalkan rakyat tempatan mendapat pekerjaan dan vendor dapat ‘job’.

Itu sekadar pendapat saya. Tak siapa tanya pun. Saya bukan pakar ekonomi, bukan politikus, dan tentulah bukan perdana menteri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.