`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 15, 2025

Diskriminasi ke inklusiviti: Pelajaran dari negara maju untuk OKU Malaysia

KOLUM | Saya seorang warga emas dan juga orang kurang upaya (OKU). Semenjak menjadi OKU dalam enam tahun lalu, saya sering merasakan diri ini diketepikan, walaupun saya punya idea dan cadangan yang boleh membantu komuniti OKU.

Walaupun saya sudah bersara, saya masih nampak tahap diskriminasi yang tinggi terhadap OKU, terutama di tempat kerja. Ketidakupayaan ada pelbagai jenis—mental, fizikal dan sistem deria seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, serta kepekaan terhadap haba, rasa dan bau, malah ada juga bentuk ketidakupayaan yang jarang berlaku.

Namun apa yang saya alami dan lihat di Malaysia buat saya kecewa dengan kekurangan usaha melindungi hak kami, terutama bila dibandingkan dengan negara maju seperti New Zealand, United Kingdom (UK) dan Australia. Saya juga tertanya- tanya, dengan jumlah OKU yang ramai di Malaysia, adakah kita sediakan tempat yang cukup untuk kami berinteraksi, seperti rumah, pusat, atau taman? Dan kalau OKU terus dipinggirkan, bolehkah Malaysia jadi negara maju, termasuk dalam hal visa masa depan?

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 2022, jumlah OKU yang berdaftar di Malaysia ialah 674,548 orang, iaitu kira-kira 2 peratus daripada jumlah penduduk negara ini. Angka ini lebih rendah berbanding anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang kata 16 peratus populasi dunia, atau 1.3 bilion orang, ada ketidakupayaan ketara sehingga Mac 2023.

Daripada jumlah itu, 36.3 peratus (245,015 orang) OKU di Malaysia adalah dalam kategori fizikal, 35.1 peratus ada masalah pembelajaran, 8.8 peratus masalah penglihatan, dan 0.5 peratus masalah pertuturan—kategori paling kecil. Begitu pun saya rasa, angka sebenar mungkin lebih tinggi sebab ramai OKU tidak mendaftar, mungkin sebab stigma atau tidak tahu cara untuk daftar.

Dengan jumlah sebegitu, saya tertanya—cukup ke tempat untuk kami berinteraksi dan hidup bermaruah?

Di Malaysia, hak OKU seperti saya nampak kurang diperjuangkan dengan serius.

Kementerian Kesihatan ada kempen “Perangi Stigma” untuk kurangkan stigma penyakit mental, tapi usaha menyeluruh untuk OKU masih tidak mencukupi.

Malaysia tandatangan Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) pada 2008 dan ratifikasi pada 2010, tetapi hingga 2 Mac 2025, laporan awal CRPD yang wajib diserahkan dalam dua tahun selepas ratifikasi masih tiada. Maklumat tentang hak OKU pun susah dicari—tidak disatukan atau mudah diakses oleh orang macam saya.

Ini berbeza dengan komitmen Malaysia dalam Cedaw yang nampak lebih aktif. Tapi tengok New Zealand—mereka ada Disability Rights Commissioner di bawah Human Rights Act 1993, bagi saluran rasmi untuk OKU melapor diskriminasi, dan undang- undang selari dengan CRPD.

Di UK, Equality Act 2010 lindungi OKU daripada diskriminasi dalam pekerjaan, pendidikan, dan perkhidmatan, dengan hukuman jelas bagi pelaku. Australia pula ada National Disability Insurance Scheme (NDIS) yang beri sokongan kewangan dan perkhidmatan kepada OKU. Di Malaysia, Akta Orang Kurang Upaya 2008 tidak menyebut “diskriminasi” dan tiada hukuman untuk mereka yang langgar hak kami—ini buat saya rasa tak dilindungi.

Sekarang, mari kita bual pasal tempat untuk OKU berinteraksi. Di Malaysia, JKM uruskan beberapa institusi untuk OKU, seperti Taman Sinar Harapan, Bengkel Daya, dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan.

Pada 2022, ada 7 Taman Sinar Harapan dengan 798 penghuni, 2 Bengkel Daya dengan 78 pelatih, dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi terima 80 pelatih OKU. Jadi, jumlah institusi ni cuma 10 buah untuk 674,548 OKU berdaftar—terlalu sedikit!

Kalau kita bahagi, satu institusi kena layan lebih 67,000 OKU, dan itu tidak masuk yang tidak berdaftar. Bandingkan dengan UK—mereka ada rangkaian pusat komuniti dan taman mesra OKU, seperti taman sensor di London yang direka khas untuk OKU deria.

New Zealand pun ada taman inklusif seperti Liberty Swing di taman awam, bagi pengguna kerusi roda peluang berseronok. Di Malaysia, taman mesra OKU hampir tidak wujud—kebanyakan taman biasa tiada kemudahan seperti laluan landai atau permainan untuk kami. Saya rasa, dengan jumlah OKU yang ramai, kerajaan kena buat lebih banyak pusat dan taman supaya kami boleh bersosial, bukan terperap je dalam rumah.

Dari segi pekerjaan, Malaysia ada kuota 1 peratus untuk OKU dalam sektor awam, namun pada 2021, hanya 0.35 peratus je dicapai. Di New Zealand, kadar pekerjaan OKU ialah 52 peratus pada 2020, sebab ada Disability Strategy 2016-2026 yang fokus pada peluang kerja. UK ada Jobcentre Plus yang bantu OKU dengan latihan dan bantuan kewangan, sementara Australia punya program sokongan kerja melalui NDIS.

Di sini, walaupun ahli parlimen desak kerajaan, dan pada 4 Februari 2025, pengarah Jabatan Kebajikan jumpa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk bual isu ini, saya rasa langkah itu lambat dan tidak cukup tegas. Data OKU dalam sektor awam pun tidak dikemas kini sejak Disember 2022—dua tahun tanpa ketelusan buat saya tertanya, kerajaan serius ke?

Ketidakselarasan Undang-Undang di Malaysia

Akta Orang Kurang Upaya 2008 di Malaysia tidak menyebut atau merangkumi istilah “diskriminasi” Akta ini juga tidak mengandungi peruntukan yang mengenakan hukuman terhadap pihak-pihak yang mendiskriminasikan OKU. Ini jelas menunjukkan bahawa undang-undang Malaysia masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia.

Sebagai contoh:

- India : Rights of Persons with Disabilities Act 2016 selaras dengan CRPD dan melarang mana-mana agensi kerajaan daripada mendiskriminasikan OKU, termasuk dalam sektor pekerjaan.

- Thailand : Persons with Disabilities Empowerment Act 2007 melarang semua bentuk diskriminasi dan layanan tidak adil terhadap OKU.

- Indonesia : Law No.4 of 1997 menjamin peluang pekerjaan yang sama rata untuk OKU.

- Vietnam : National Law on Persons with Disabilities melarang sebarang sekatan terhadap hak OKU berdasarkan ketidakupayaan mereka semata- mata.

Pasal visa masa depan, negara maju macam New Zealand dan UK sudah ada polisi inklusif. New Zealand nilai keperluan kesihatan dalam permohonan visa, tetapi ada proses rayuan yang adil untuk OKU. UK ada Disability Confident Scheme yang galakkan majikan ambil pekerja OKU, termasuk pendatang.

Malaysia tiada pendekatan seperti itu. Kalau kita mahu menjadi negara maju, kita kena tarik bakat global dan jadi mesra pelancong—tetapi macam mana kalau OKU pun dipinggirkan? Negara maju lihat OKU sebagai aset, bukan beban.

Saya sokong seruan ahli parlimen pada 3 Mac 2025 untuk minda Perkara 8(2) Perlembagaan, masukkan “ketidakupayaan” sebagai perlindungan daripada diskriminasi. Tetapi saya juga mahu lebih—buat lebih banyak pusat OKU, taman inklusif, dan pastikan setiap kementerian lapor perkembangan dua kali setahun.

Kalau OKU terus dipinggirkan, saya tidak nampak Malaysia boleh jadi negara maju. Negara maju bukan cuma kaya ekonomi, tapi inklusif. New Zealand, UK, dan Australia tunjuk pelaburan dalam hak OKU bantu ekonomi—bila kami bekerja dan berdikari, kami tidak jadi “beban”.

Saya mahu kerajaan selaraskan undang-undang dengan CRPD, bukan janji kosong, dan beri kami tempat untuk hidup, bukan sekadar wujud. Hak kami adalah kunci untuk Malaysia maju sejati.

Seruan tindakan segera

Untuk memastikan hak OKU dilindungi sepenuhnya, saya mencadangkan beberapa langkah:

1. Pindaan Perlembagaan : Meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan dengan mengintegrasikan istilah “ketidakupayaan”; untuk memberikan perlindungan undang-undang yang lebih kukuh.

2. Pertanggungjawaban Kementerian : Setiap kementerian harus dipertanggungjawabkan kepada Parlimen dua kali setahun mengenai perkembangan kuota 1 peratus pekerjaan OKU. Ini termasuk menunjukkan perkembangan yang boleh diukur dalam tempoh tertentu.

3. Penyesuaian dan penempatan Munasabah : Melaksanakan penyesuaian di tempat kerja untuk memastikan OKU dapat bekerja dalam persekitaran yang mesra.

4. Pembaharuan Menyeluruh : Mengadakan pembaharuan dalam aspek pendidikan, latihan, pengambilan, dan sistem sokongan di tempat kerja untuk memastikan lebih ramai OKU yang berkelayakan dapat dihasilkan dan dikekalkan dalam sektor awam.

5. Selaraskan Undang-Undang : Menyelaraskan undang-undang dan peraturan berkaitan hak OKU supaya selaras dengan CRPD, termasuk akses kepada perkhidmatan intervensi awal, pengangkutan awam, pendidikan, dan kesihatan.

Kesimpulan

Sebagai seorang warga emas dan OKU, saya percaya bahawa Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin dalam melindungi hak OKU. Namun, langkah-langkah yang diambil sekarang masih tidak mencukupi. Dengan membandingkan dengan negara-negara lain, kita dapat melihat bahawa Malaysia perlu berusaha lebih keras untuk memastikan hak OKU dilindungi sepenuhnya.

Sudah tiba masanya untuk bertindak, bukan hanya berjanji.

Mari kita pastikan bahawa tiada lagi OKU yang merasa diketepikan dalam masyarakat kita. - Mkini


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MMKtT.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.