
Bercempera pemimpin PAS mempertahankan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau Dr Sam susulan tularnya satu poster menggesa menteri besar Terengganu meletak jawatan. Didahului oleh anggota Exco Terengganu Hanafiah Mat dan dituruti oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-duanya menolak ia menandakan ada pergolakan dalam kerajaan negeri.
Hairan juga hanya kerana satu poster “Demi masa depan kerajaan, MB Samsuri sila letak jawatan” – #GengkitertolokMB — dipacak di kawasan yang belum dikenal pasti dan tidak pun meluas hingga ke seluruh negeri — boleh mengundang reaksi sedemikian rupa melainkan ada sebab-sebab lebih besar yang hanya diketahui mereka.
Sambil Hanafiah menganggapnya kerja ‘tangan ghaib’ yang hanya mahu menabur fitnah untuk mengharu-birukan rakyat Terengganu, Tuan Ibrahim pula menyifatkannya ‘tindakan murahan’ pihak- pihak yang cemburu dengan kejayaan pentadbiran PAS di negeri itu. Jika pun benar, boleh dipersoal apa ukuran kejayaan dimaksudkannya.
“Poster ini tak perlu layan, PAS Pusat dan negeri tiada sebarang isu (melibatkan Ahmad Samsuri),” kata Tuan Ibrahim cuba meyakinkan ramai.
Namun, di media sosial, ramai yang menyoal jika tiada angin masakan pokok bergoyang di sebalik tiada siapa yang dapat menawarkan sebarang alasan terpacaknya poster berkenaan sambil Dr. Sam sendiri belum memberi sebarang komen.
Andai dirujuk perkembangan semasa, ada dua isu yang memungkinkan wujudnya rasa tidak puas hati terhadap Dr Sam sama ada berkait secara langsung dengannya atau sebaliknya.
Pertama, Majlis Santunan Kasih Ramadan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bersama warga Kuala Berang pada 8 Mac lalu terpaksa dialihkan ke kawasan bersebelahan selepas Felcra selaku penganjur memaklumkan mendapat arahan kerajaan negeri Terengganu untuk tidak mengadakannya di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob seperti jadual asal.
Berhempas-pulaslah penganjur terpaksa membuat persiapan dalam tempoh 24 jam untuk beralih tempat bagi acara sambutan dihadiri 2,000 orang itu, dengan arahan pembatalan sebelum itu dianggap bermotif politik – Pemuda Umno Terengganu menganggapnya satu usaha menggagalkan majlis berbuka puasa dengan TPM.
Kemudian, susulan kerajaan Perak mengumumkan bonus raya; RM1,500 kepada penjawat awam negeri, Selangor (minimum RM2,000), Johor (minimum RM1,500), Pulau Pinang (minimum RM1,000), Pahang (RM1,000), Melaka (RM700) manakala Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak (RM500), Dr. Sam pula tidak dapat memberi jawapan pasti minggu lalu.
“Itu pun (bonus raya) kita akan maklum kemudian. Kita akan cuba, sama ada dapat tidak tu… Saya rasa semua sedia maklum kewangan kerajaan negeri dipegang oleh Putrajaya, jadi kita kena mohon dahulu. Duit kita di sana, sampai di sini dahulu barulah kita boleh bagi,” katanya.
Difahamkan perkara itu turut dibangkitkannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Terengganu di pekarangan Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Kemaman, Jumaat lepas. Di majlis sama, Dr Sam turut memuji keputusan kerajaan perpaduan dalam meningkatkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang kepada negeri sebanyak 25% bermula 2026 sebagai bukti hubungan baik dan perbincangan sihat yang berlangsung di antara Pusat dan negeri.
Susulan itu, perdana menteri seperti diumumkan semalam bersetuju supaya kerajaan Madani membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 bagi lebih 14,000 penjawat awam kerajaan Terengganu yang akan disalurkan sebelum Aidilfitri.
Media sosial terutama TikTok pula hingar-bingar dengan pelbagai sindiran, salah satunya menganggap semalam sebagai hari memalukan rakyat Terengganu apabila tercipta satu sejarah kerajaan perpaduan salurkan peruntukan RM7 juta kepada kerajaan negeri Terengganu untuk beri bonus kepada penjawat awam negeri.
“Kita bercakap mengenai seorang menteri besar yang berbangga dengan kemenangan besar negerinya 32-0 (bagi kerusi DUN dalam PRN 2023), seorang menteri besar teknokrat, bakal calon perdana menteri.
“Masuk satu podcast beri markah gagal kepada kerajaan Madani. Angkuh, sombong tapi nak bagi bonus raya kepada penjawat awam negeri sendiri pun terpaksa mengemis, merayu dengan kerajaan pusat,” kata seorang pengomen.
“Dalam keadaan negeri-negeri lain berlumba-lumba umum bonus raya penjawat awam, termasuk Perlis yang tak ada hasil minyak mampu bagi RM500, Terengganu yang ada sektor pelancongan, minyak, gas, perikanan dan industri pertanian sepatutnya tak perlu mengemis dengan kerajaan pusat untuk nak beri bonus raya.
“Kalau betul kerajaan negeri Terengganu ni menguruskan pentadbiran, ekonomi, tahu nak jana hasil untuk negeri, tak timbul isu ini. Sepatutnya Terengganu boleh bagi RM1,000 lebih, RM2,000 pun boleh untuk bonus penjawat awam ni,” kata seorang lagi.
“Ini membuktikan Dr. Samsuri gagal… gagal menguruskan kerajaan negeri Terengganu. Lagipun tak kanlah MB Terengganu ni seorang teknokrat miliki PhD idea yang dia ada hanyalah kebergantungan kepada duit royalti semata-mata. Jadi menteri besar penggal kedua tapi tak reti-reti nak cari hasil lain.
“Tak malu ke, Dr. Samsuri. Kiri kanan puak-puak kau bantai, balun, cerca kerajaan Madani ni, tapi hari ini tengoklah siapa yang bantu bila kerajaan negeri Terengganu tak mampu nak bagi bonus kepada penjawat awam ni. Anwar Ibrahim yang dikata kerajaan Gred D juga yang bantu,” tambah seorang pengomen.
“Kalau cerita rakyat dahulu yang malang itu adalah Pak Kaduk, hari ni yang malang adalah pentaasub. Kerajaan Pulau Pinang boleh bagi duit raya kepada guru takmir sebanyak RM1,450. Pelik juga ini boleh berlaku di negeri yang diperintah oleh DAP yang dicaci macam-macam.
“Sebaliknya, negeri yang kata julang Islam, nak bawa pemerintahan Islam nak bagi bonus raya kat penjawat awam pun tak mampu. Dah la sebelum ini dia potong bantuan raya kepada rakyat Terengganu – RM80 juta dipotong separuh atas alasan benda itu merugikan. Sebab itulah jangan tunggang Islam atas kepentingan politik sebab akhirnya imej Islam sendiri akan terjejas. Orang akan beranggapan pemerintahan Islam itu memiskinkan, pemerintahan yang tidak menjaga kebajikan,” kata pemegang akaun bin.anuar.
“Apa guna PAS jadi kerajaan kalau semua benda mintak bantuan kerajaan Pusat? Lepas tu penyokong maki-hamun kerajaan yang membantu, sebab tu negeri tak berkat,” kata Hakak Teja.
Peletakan jawatan secara mengejut Dr. Sam sebagai bendahari Perikatan Nasional (PN) 11 Dis lalu masih menjadi misteri dan tentunya gesaan terbaru supaya meletak jawatan memanjangkan satu lagi persoalan.
Namun, sebagai seorang yang pernah dijulang selaku calon perdana menteri – walaupun kedudukannya sudah menurun dalam senarai keutamaan – Dr. Sam seharusnya memiliki kekentalan dan kewibawaan untuk menangani keadaan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.