`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 28, 2025

Berbeza jangan sampai serang peribadi, kata Salleh

 

Salleh Said Keruak
Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak, berkata kejayaan politik bukan hasil kerja seorang individu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak menyeru kepada perpaduan dalam parti, sambil menegaskan kejayaan parti politik bergantung kepada semangat berpasukan.

Bekas ketua menteri Sabah, berkata kejayaan politik bukan hasil kerja seorang individu, melainkan ia lahir daripada kerjasama, sokongan sesama sendiri, dan fokus kepada matlamat sama.

“Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat dan personaliti. Itu biasa dalam mana-mana pasukan. Yang penting ialah bagaimana kita urus perbezaan itu. Bincang dengan matang, hormat pandangan orang lain, dan kekal fokus pada matlamat bersama.

“Jangan biarkan perbezaan jadi punca serangan peribadi atau konflik dalaman. Sikap demikian hanya melemahkan pasukan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan, berkata perpaduan dalaman bukan bermaksud “semua perlu diam”, sebaliknya ahli boleh bersuara dan memberi pandangan dengan cara membina dan penuh hormat.

“Pemimpin perlu tunjuk contoh—dengar pandangan, libatkan semua, dan selesaikan perbezaan dengan cara yang positif. Sikap penting diri atau ego berlebihan harus ditinggalkan,” katanya tanpa mengulas lanjut konteks dirujuk.

Baru-baru ini, timbul pergeseran antara Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan timbalannya, Abdul Rahman Dahlan, di mana Rahman boleh dicalonkan bertanding pada PRN Sabah.

Rahman dilapor membayangkan untuk berundur jika Umno memutuskan tidak mencalonkannya menjelang PRN itu.

Sehubungan itu, Bung kemudian berkata Umno Sabah bersedia membariskan Rahman sebagai calon bagi kerusi Sulaman, yang mana kawasan itu disandang Ketua Menteri Hajiji Noor sejak 1990.

Namun, Rahman menyatakan keputusan di mana Umno Tuaran patut bertanding ditentukan bahagian itu sendiri bersama Presiden Umno Zahid Hamidi.

Tahun lalu, kedua-dua turut bertembung selepas Rahman menjemput Hajiji, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah hadir pada mesyuarat bahagian yang turut sama dihadiri Zahid. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.