
Menafikan dakwaan pengurusan kewangan lemah, Azman Ibrahim berkata hasil negeri meningkat setiap tahun menerusi pelaburan anak syarikatnya namun tidak bermakna hak royalti minyak boleh diabaikan.
“Kerajaan negeri ada sumber lain, malah meningkat dari sebelum ini…dan kita sedang beransur-ansur mengurangkan kebergantungan kepada royalti minyak.
“Kerajaan-kerajaan sebelum ini royalti minyak diberi secara terus, tetapi sistem itu dah berubah di bawah PMX (Anwar Ibrahim). Penyaluran royalti berdasarkan permohonan atau ‘by claim’ kerana duit kita dipegang oleh Kementerian Kewangan.
“Ada yang dibayar penuh, ada yang diberi sebahagian dan ada yang diberi bersyarat. Hakikatnya, duit bonus itu adalah duit kita, bukan duit kerajaan pusat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pertikaian dalam kalangan warga maya terhadap urus tadbir kerajaan negeri sehingga terpaksa bergantung kepada royalti minyak untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada kakitangannya.
Terdahulu, Exco Razali Idris memaklumkan bantuan bonus Aidilfitri sebanyak RM500 diumumkan kerajaan pusat semalam adalah dana daripada royalti minyak milik Terengganu.
Mengulas perkara itu, Azman berkata kerajaan negeri perlu membuat pelbagai permohonan untuk mendapatkan semula wang berkenaan termasuk pembayaran bonus kakitangan awamnya.
“Kita ibaratkan situasi seorang pesawah padi, dia menanam padi dan menjual hasilnya tetapi pembeli tidak membayar harga padi tersebut.
“Apabila pesawah ini meminta bayaran, adakah adil jika ada pihak menyindirnya dengan berkata: ‘Kenapa kamu bergantung sangat kepada hasil padi? Tengok saya, tak ada sawah pun boleh hidup.’
“Sedangkan pesawah itu ada juga sumber lain ada bela lembu, ada kolam ikan tetapi, apakah dengan adanya sumber lain itu, bermakna pembeli padi tadi boleh lepas tangan dan tidak membayar hasil yang memang hak pesawah? Begitulah juga dengan royalti minyak Terengganu,” jelas Azman.
Persepsi pelik
Menyentuh tindakan pusat yang mengumumkan pembayaran bonus itu bukannya kerajaan negeri, Azman berkata ia bagi menggambarkan kerajaan pusat prihatin dengan negeri pembangkang dan pada masa sama menunjukkan Terengganu gagal mengurus kewangan sendiri.
“Bila kerajaan pusat umum bantu negeri bayar bonus, timbul satu persepsi pelik seolah-olah negeri ini gagal urus kewangan sendiri.
“Hakikatnya, kerajaan pusat kutip hasil cukai yang besar dari kita tetapi bila sampai masa nak bayar balik apa yang sepatutnya kepada negeri, mereka buat seolah-olah itu bantuan istimewa,” katanya.
“Selagi minyak disedut dari perairan Terengganu, selagi itu kita akan tuntut royalti minyak. Bila kerajaan pusat berhenti bergantung kepada hasil minyak Terengganu, barulah kita boleh bercakap soal negeri ini berdikari tanpa minyak.”
Berdasarkan poster dikongsi Azman di platform media sosialnya, menyatakan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018, royalti petroleum dibayar dua kali setahun iaitu pada Mac dan September namun dipotong 20% untuk bayaran hutang kerajaan Terengganu kepada pusat.
Semasa pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, royalti dibayar penuh dua kali setahun atas nama dana khas kerajaan persekutuan namun ketika Anwar memegang tampuk pentadbiran pada 2022, wang royalti dipegang oleh Kementerian Kewangan dan penyalurannya berdasarkan kelulusan bersyarat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.