
Menonton ‘Adolescence’ menimbulkan rasa sedih dan kasihan. Sebelum ini yang bikin saya sedih dan kasihan ialah melihat kekejaman Israel di Gaza menerusi rangkaian Al Jazeera, BBC dan CNN. Kekejaman Israel kisah benar. Adolescence bukan.
Apabila saya mula tonton Adolescence di Netflix saya sangka ia kisah benar. Bukan begitu rupanya tetapi ia berdasarkan beberapa kes jenayah di United Kingdom membabitkan remaja.
Saya kira ramai sudah menonton mini series empat episod ini tetapi saya ringkaskan sinopsis untuk memberi konteks kepada penulisan ini. Adolescence mengenai Jaime berusia 13 tahun yang dituduh membunuh rakan sekolah, Katie. Bunuh dengan menikam bertubi-tubi menggunakan pisau. Bagaimanapun ini bukan drama jenayah yang kita biasa tengok.
Sebagai seorang yang punyai anak dan cucu, saya dapat sedikit sebanyak merasa kesedihan yang dipamerkan ibu bapa Jaime dan Katie. Juga, adakah seorang budak yang kelihatan baik tergamak melakukan jenayah ngeri?
Adolescence menonjolkan apa yang dikenali sebagai ‘incel culture’. ‘Incel’ ialah involuntary celibacy atau pembujangan terpaksa. Bagi saya yang akan berusia 70 tahun akhir bulan ini ‘incel culture’ sesuatu perkara baru. Saya lihat ini sebagai masalah zaman moden ini yang online serba serbi.
Menurut Wikipedia, pembujangan terpaksa merujuk kepada fenomena internet di mana terbentuknya suatu sub budaya melibatkan orang tertentu yang tidak mampu berpasangan, lazimnya lelaki heteroseksual. Maka timbul perasaan atau sikap seperti geram, misogyny, kasihan diri sendiri, dan juga membenci diri sendiri atau membenci golongan lain.
Elemen itu semua ada dalam Adolescence. Ada juga persoalan mengenai buli siber dan radikalisasi dalam talian. Turut ditimbulkan peranan influencer, elemen maskulin dan ‘manosphere’ yang boleh membuatkan seseorang remaja bertukar menjadi ‘orang lain’ tanpa disedari ibu bapa sehinggalah nasi menjadi bubur.
Adolescence is a big hit. Perdana Menteri UK Keir Starmer menontonnya bersama keluarga dan beliau ada seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 14. Starmer mengingatkan bahawa masalah ini sedang menular dan perlu ditangani.
Golongan ibu bapa yang punyai anak remaja mula dicengkam kebimbangan. Isu ini mendapat perhatian meluas media di UK. The Daily Mail misalnya bertanya “Is your son a ticking time bomb”? Temuramah dengan pakar disiarkan termasuk tanda-tanda yang ibu bapa mesti awasi, antaranya apabila anak tidak beri ibu bapa tengok telefon mereka dan bertindak kasar.
Saya harap masalah ini tidak berlaku di negara ini namun kita ada lihat remaja malah kanak kanak yang melekat dengan telefon pintar masing-masing, dan akan memberontak apabila ditegur. Adakah mereka sekadar main game? Harap-harap itu sahajalah yang dilakukan meskipun main game keterlaluan juga tidak bagus.
Apa yang didedahkan Adolescence is every parent’s nightmare. Mungkin ibu bapa yang sering rasa bersalah apabila check phone anak kerana tidak mahu invade privacy boleh berfikir semula? Saya bukan menyarankan apa-apa. Terpulang kebijaksanaan masing-masing.
Menulis artikel ini membawa saya kepada satu catatan di Facebook yang saya baca tempoh hari. Kata si penulis, ibu bapa yang sedang mendidik anak dalam dunia digital anggaplah Adolescence satu wake up call. Nasihat beliau, “tonton dengan anak remaja anda. Bincang selepas itu walaupun rasa kekok. Sebab alternatifnya — kesunyian yang membunuh dalam Adolescence — jauh lebih menakutkan”.
Bagi saya nasihat itu wajar dipertimbangkan. Terpulang pada penerimaan masing-masing. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.