`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 




Tuesday, March 25, 2025

Penyata kewangan didakwa palsu, mesyuarat khas PKR Wangsa Maju ‘kecoh’

 

Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan kecewa apabila ahli tidak diberi penjelasan berkait dakwaan penggunaan tandatangan palsu.

KUALA LUMPUR: Mesyuarat agung khas PKR Wangsa Maju hari ini bagi meluluskan pembentangan semula penyata kewangan 2024 kecoh selepas didakwa dilakukan secara tidak teratur.

Beberapa ahli tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat itu susulan tiada penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan diluluskan 1 Mac lalu.

Malah mesyuarat berkenaan tamat secara tergesa-gesa selepas 20 minit berlangsung.

“Kenapa pembentangan laporan kewangan tidak dibentang dengan baik, mesyuarat hanya 20 minit sahaja, presiden kita selalu tekankan soal integriti dan ketelusan tapi isu ini berlaku di cabang kita, memang kami kecewa,” kata ahli PKR, Lui Kim Yoke kepada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan pula kecewa apabila ahli tidak diberi penjelasan berkait dakwaan penggunaan tandatangan palsu.

Katanya, menurut perlembagaan parti notis mesyuarat khas memerlukan tempoh 14 hari pemakluman, namun dipendekkan kepada tujuh hari sahaja.

“Kedua, kenapa laporan penyata dibentangkan hari ini ditandatangan setiausaha bukannya bendahari,” katanya.

“Penjelasan itu penting sebab laporan media diluar mengatakan penyata kewangan dibentang 1 Mac tandatangannya ditiru dan ia satu jenayah besar, malah bendahari sendiri telah membuat laporan polis.”

Awal hari ini, Bendahari PKR Wangsa Maju Chook Kin Heng nafi pernah menandatangani pengesahan penyata kewangan dibentangkan dalam mesyuarat agung pada 1 Mac, sambil mendakwanya telah disalin semula serta ditampal pada dokumen terbabit.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis dan aduan kepada parti supaya kontroversi itu disiasat bagi mengelakkan nama baik PKR tercemar.

Sementara itu, seorang lagi ahli yang juga calon ketua Pemuda Wangsa Maju, Abel Shun Kit menyuarakan kebimbangkan pemilihan jawatan kawasan itu berisiko terbatal jika benar berlaku ketidaktelusan.

“Pemimpin kena utama ketelusan mesti pentingkan integriti kerana ini akan menjejaskan nama baik PKR,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mengarahkan bahagian Wangsa Maju mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk membentangkan secara terperinci penyata kewangan tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.