`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 21, 2025

Pindah kuil: Anwar tegur pihak cuba jadi ‘jaguh’, tak perlu respons kurang wajar

 

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim harap isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dapat diselesaikan dengan baik.  (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Anwar Ibrahim menegur pihak yang cuba menjadi ‘jaguh’ ketika pihak berkepentingan sedang mencari jalan menyelesaikan isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Perdana menteri mengingatkan bahawa pihak berkaitan sedang berunding dan beliau sendiri berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya juga harap tidak perlu ada respons yang kurang wajar termasuk dalam kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India diselesaikan dengan baik.

DBKL juga mengenal pasti lokasi baharu untuk kuil berkenaan, dan proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil, membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Pengerusi kuil, K Barthiban, pula berkata pihaknya sedia beri kerjasama dalam perbincangan dengan DBKL berhubung proses pemindahan.

Sementara itu, pemilik tanah yang diduduki kuil tersebut, Jakel Trading Sdn Bhd, mengumumkan ia bersetuju untuk membayar kos pemindahan.

Pada sidang media semalam, Ketua Bahagian Undang-undang dan Komunikasi Korporat, Aiman Dazuki, memaklumkan perbincangan antara Jakel Trading dan jawatankuasa kuil sejak ia memperoleh tanah itu sekitar 2012 adalah harmoni.

Semalam, satu laman berita melaporkan kuil Hindu itu berdepan ancaman dirobohkan selepas kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meluluskan pembinaan sebuah masjid.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, terletak di seberang Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India dilaporkan dibina kira-kira 130 tahun lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.