`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 




Tuesday, March 25, 2025

Siapa pemimpin politik jadi teladan kepada ‘guru balik China’?

 

tajuddin

Fenomena guru Melayu menyuruh anak murid ‘balik China’ adalah perkara biasa dalam politik Malaysia. Dulu saya masih ingat seorang guru besar minta anak murid ‘balik China’. Kita biarkanlah Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kepada guru terbabit.

Soalan saya di sini adalah siapakah yang menjadi teladan guru era Madani ini yang sanggup menghina kaum Cina warganegara Malaysia sedemikian rupa? Saya ingin merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad SAW yang telah diejek dan dilontar batu oleh sekumpulan anak-anak muda di Taif.

Apabila diugut oleh malaikat Jibrail untuk mengambil tindak balas ke atas perbuatan itu, nabi telah melarang dengan mengatakan bahawa mereka hanya anak muda yang terbawa-bawa dengan rangsangan orang tua yang mengeji baginda.

Jadi, dalam politik Malaysia siapakan agaknya hero, heroin atau pendekar pahlawan politik yang menyerlah sebagai rangsangan sifat keji perkauman ini?

Hero pertama bagi saya tidak lain Dr Mahathir Mohamad. Dari muda sampai hampir umur 100 tahun, beliau konsisten membawa naratif lapuk tetapi menyengat bahawa pendatang Cina dan India tidak mempamerkan ketaatan mutlak kepada Malaysia kerana keengganan mereka dalam isu sekolah vernakular dan mengutamakan bahasa Cina.

Sudah berkemungkinan saya kira ‘guru balik China’ yang dikisahkan sekarang mengambil iktibar daripada cadangan tidak berasas Mahathir itu untuk menghalau anak murid yang hanya layak duduk sebelah bakul sampah sebab mungkin tidak mahir bahasa Melayu.

Sebagai pendidik, saya cukup terkilan perbuatan mensampahkan anak-anak kita, tak kira dari kaum mana pun. Saya faham tekanan guru sebab isteri saya pun bekas guru bahasa Inggeris dan sukar mengajar anak-anak murid Melayu.

Tetapi sepanyang kerjaya beliau tidak pernah mensampahkan anak-anak muridnya. Beliau sering ditegur oleh guru besar tentang statistik rendah kelulusan subjek ini. Nampaknya guru besar hanya reti baca statistik, mengajar kita belum tahu.

Jadi boleh fahamlah kalau guru balik China ini mengamuk. Takut statistik kelulusan rendah dan markah KPI pun terkesan. Tapi tergamak mensampahkan budak dan menghalau balik China itu saya kira sudah ‘overlah’.

Siapa lagi yang menjadi teladan hero atau heroin guru balik China agaknya? Mungkinkah beliau menyanjung heroin Siti Mastura Muhammad daripada PAS yang menuduh Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP sebagai sepupu kepada Chin Peng, bapa komunis Malaya? Walaupun ditegur mahkamah tentang data mengarut dari rujukan hampas buku Barisan Nasional (BN) menyebabkan perlu membayar RM850,000, namun tidak berundur lagi.

Jaguh dan sombong sungguh lagak pahlawan seperti kata keramat Anwar Ibrahim membujur lalu melintang patah dan lawan tetap lawan! Dulu zaman reformasi saya ada stiker ‘Lawan Tetap Lawan’. Nampaknya, naratif yang ingin dibina Ahli Parlimen Kepala Batas itu adalah orang Cina kebanyakannya taat kepada China Komunis. Maka si guru balik China pun mungkin terpengaruh.

Siapa lagi pahlawan teladan negara yang anti-Cina? Mungkin agaknya Razman Zakaria orang kuat PAS di Perak yang menggunakan ungkapan berkobar-kobar, hanya mata macam kita dan darah macam kita yang boleh diharap mempertahan negara.

Daripada ungkapan ini, beliau tujukan khusus kepada isu mengibar bendera China oleh sekumpulan Cina serta dikaitkan dengan DAP. Menerusi naratif Cina dari China ini saya rasa ramai Melayu dalam kalangan guru mungkin terpengaruh dengan parti politik ‘gerenti syurga’ ini.

Ramai guru mempunyai gaji lumayan dan pergi umrah dan haji sebagai perkara ‘no hallah’ dan apa lagi untuk menyempurnakan amalan ibadat, harus sokong parti dikatakan ‘perjuangan Islam’. Jadi menghalau anak murid sebelah bakul sampah mungkin dikira amalan ibadat puasa berpahala tinggi.

Kemudian, kita ada juga orang kuat Umno iaitu Dr Akmal Saleh yang asyik menunggu nak ‘ambush’ DAP dan sesiapa bukan Melayu sebagai kaedah politik murahan beliau meraih simpati Melayu. Semua orang bukan Melayu saya kira meluat sangat dengan si ‘Datuk’ ini tetapi beliau tak pandai ambil teguran Agong sekali pun.

Maka, sah benar Akmal ini pahlawan Melayu berani membentak kaum lain dalam Facebook dan perhimpunan Umno. Depan orang Cina ‘live’ dia tak berani saya kira. Siap nanti di PRK Ayer Kuning, Akmal menghilang seperti di Nenggiri sebab undi Cina cukup ramai.

Jadi, kalau ‘guru balik China’ ini terpikat dengan hero ‘handsome’ kita ini, saya kira beliau teruja menghalau anak murid untuk balik Cina dan kalau boleh ibu bapa dan keluarga budak sekolah itu.

Saya ingin cadangkan kepada KPM supaya semua guru kena duduki peperiksaan khusus kenapa mereka patut menganggap setiap anak murid sebagai anak mereka sendiri dan juga sebagai bakal penyumbang pembangunan dan pertahanan Malaysia.

Biar saya yang buat soalan yang semua guru kena ambil sebelum naik gaji atau naik pangkat. Seperkara lagi adalah setiap guru perlu diberi ‘year out’ untuk mengajar di sekolah vernakular supaya mereka kenal langit tinggi rendah.

Bagi saya, KPM perlu mengambil tanggungjawab besar selain menjatuhkan hukuman setimpal kepada guru itu. Saya pasti perkara ini bakal berulang sebab cara orang Melayu belajar agama dan tentang konsep bina bangsa ada banyak kelemahannya.

Kita tunggu sajalah tahun depan guru mana pula yang bakal menyandang ‘guru balik China’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.