
Che Lodin Wok Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi, pada perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak, Shahrol menerima bonus hampir RM1.5 juta atas ‘prestasinya’ pada 2012.
“Jawatankuasa audit dan risiko (dalaman) tidak cadang (sebarang tindakan diambil terhadap Shahrol).
“Penilaian (bonus) adalah berdasarkan peranan Shahrol dalam mempromosikan 1MDB,” katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Mustafa P Kunyalam.
Mustafa menegaskan, pendahulu Che Lodin, Bakke Salleh, tidak berpuas hati dengan tindakan Shahrol dan kakitangan pengurusannya mengingkari arahan berhubung pemindahan USD700 juta kepada syarikat yang tidak diketahui pada awal 2012.
Mahkamah diberitahu, pada 2009, 1MDB menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) dan bawah terma kontrak, dikehendaki membelanjakan USD1 bilion.
Dana USD1 bilion itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, tetapi hanya USD300 juta dipindahkan.
Didedahkan kemudian bahawa baki USD700 juta dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kini sedang diburu.
Bakke meletak jawatan pada tahun sama, iaitu 2009, sebagai tanda protes.
Hari ini, Che Lodin berkata, beliau tidak tahu sebab Bakke meletak jawatan.
“Saya tanya kepada seorang dua pengarah (mengapa Bakke letak jawatan), dan mereka juga terkejut (dengan keputusan Bakke),” katanya.
Che Lodin juga memberitahu mahkamah, Shahrol memberitahunya dan lembaga pengarah bahawa Good Star ialah anak syarikat PetroSaudi dan tindakan menghantar USD700 juta kepada Good Star adalah wajar.
Mustafa: Kamu tahu Good Star milik Jho Low pada masa itu?
Che Lodin: Kami tidak tahu.
Mustafa: Jadi bila kamu dapat tahu Jho Low pemilik Good Star?
Che Lodin: Saya rasa, selepas itu, apabila baca laporan media (tentangnya).
KPMG enggan lulus penyata kewangan
Che Lodin juga memberitahu mahkamah, beliau tidak faham mengapa bekas juruaudit 1MDB, KPMG, bertegas enggan meluluskan penyata kewangan 2013 syarikat itu.
“Kami ada semua laporan daripada Bank BSI mengenai pelaburan USD2.3 bilion dalam Brazen Sky.
“Saya tertanya-tanya, apa yang KPMG mahukan mengenai Brazen Sky. Mungkin standard mereka unik,” kata Che Lodin, mendakwa permintaan KPMG mungkin bukan antara syarat am pelaksanaan audit tersebut.
Beliau memberitahu mahkamah , memandangkan KPMG enggan meluluskan penyata kewangan, 1MDB tiada pilihan selain menggantikan firma audit itu dengan Deloitte, yang kemudian meluluskan penyata kewangan itu tanpa masalah.
Perbicaraan diteruskan pada 4 Mac di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.