`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, January 30, 2026

Tak perlu ibu kota ke-3, pakar seru fokus pertingkat sedia ada

Pengangkutan awam dan infrastruktur asas di pusat pentadbiran sedia ada harus ditambah baik.

kl skyline
Pakar berkata dana untuk bangun ibu negara baharu sebaliknya boleh digunakan untuk pertingkat pengangkutan awam di Lembah Klang. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
 Seorang pakar perancangan bandar berpendapat Malaysia tidak perlu ibu kota ketiga di Borneo memandangkan sudah ada dua pusat pentadbiran yang dianggap mencukupi bagi sebuah negara bersaiz kecil.

Presiden Pertubuhan Reka Bentuk Bandar Malaysia (Perekabandar) Shuhana Shamsuddin berkata malah negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun hanya mempunyai satu ibu negara.

Pensyarah di Taylor’s University itu berkata berdasarkan pengalaman ‘mewujudkan’ Putrajaya, usaha membangunkan pusat pentadbiran baharu memerlukan kos tinggi dan perancangan rapi.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, kita tidak mampu membangunkan satu lagi ibu negara.

“Yang perlu kita buat memperkukuh pengurusan dan pentadbiran sedia ada. Kapasiti tanah di Putrajaya masih banyak dan belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada FMT.

Shuhana Shamsuddin.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail supaya satu lagi ibu negara diwujudkan di Borneo, tambahan kepada Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlembagaan dan legislatif, sementara Putrajaya sebagai pusat pentadbiran serta eksekutif.

Wakil rakyat PKR itu berkata ibu negara baharu itu boleh berfungsi sebagai pusat bagi institusi kehakiman persekutuan dan timbang tara antarabangsa, meletakkan Malaysia setanding dengan Afrika Selatan yang juga mempunyai tiga ibu negara iaitu Pretoria, Cape Town dan Bloemfontein.

Mengulas lanjut, Shuhana menekankan isu infrastruktur di Sabah dan Sarawak, termasuk jalan raya serta bekalan air dan elektrik yang menurutnya masih belum memadai untuk menampung pusat pentadbiran tambahan.

“Lebih baik peruntukan untuk ibu negara ketiga disalurkan kepada negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan pembangunan, isu (infrastruktur) asas,” katanya.

Beliau turut menyorot masalah keterhubungan pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang belum menyeluruh, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kebergantungan tinggi terhadap kenderaan persendirian.

Katanya, model pembangunan ‘split’ di Lembah Klang menyebabkan penduduknya hanya 20% bergantung kepada pengangkutan awam, manakala selebihnya menggunakan kereta sendiri.

Menurutnya, dana untuk membangunkan ibu negara baharu sebaliknya boleh digunakan bagi mempertingkat pengangkutan awam di Lembah Klang, juga Putrajaya.

“Jika sistem pengangkutan awam diperbaiki, kita boleh mengurangkan stres, meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan mental rakyat,” katanya memaklumkan Malaysia perlu mencontohi negara maju yang lebih banyak mengutamakan pengangkutan awam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.