Jika kita benar-benar ingin membanteras korupsi dalam sektor pertahanan ada banyak mekanisme perlu dilakukan.

Pada 2014, seorang leftenan jeneral dari China bernama Gu Junshan didakwa atas kesalahan pecah amanah, rasuah, penyalahgunaan dana negara dan penyalahgunaan kuasa. Ketika kecoh, kes itu begitu sensasi dan sangat menggemparkan. Malah, ia dipandang nista serta menjijikkan oleh orang awam. Ini memandangkan rasuah dalam sektor pertahanan sangat berbahaya dan berisiko untuk kedaulatan negara. Apatah lagi ia berlaku di China, yang sememangnya diintai musuh.
Pendedahan kes korupsi beliau membawa kepada terungkainya berpuluh-puluh unit apartmen di pusat Beijing, dan sebuah rumah agam di Puyang, di wilayah tengah Henan, yang turut menempatkan beberapa karya seni daripada emas. Rumah di Puyang ini dibina mengikut model Kota Larangan meliputi kawasan seluas satu hektar. Pegawai penyiasat turut merampas sebuah bot emas, sebuah besen basuh emas dan sebuah patung emas Mao Zedong bersama ribuan peti minuman keras.
Meskipun tidak mempunyai tiga orang isteri, satu siasatan panjang selama dua tahun membongkar bagaimana beliau antara lain, memberikan rasuah sebanyak 20 juta RMB (USD3.25 juta ketika itu) dalam bentuk hadiah perkahwinan kepada anak perempuan Jeneral Xu Caihou sebagai balasan untuk kenaikan pangkat. Pemeriksaan ke atas kediaman Jeneral Xu pula menemui simpanan wang tunai dan batu permata berharga di mana ia dapat memenuhi sepuluh buah trak dan seberat lebih daripada satu tan.
Lebih mengejutkan, kedua-dua mereka tidak pun berusaha untuk menyembunyikan hasil mahsul rasuah tersebut. Malah, buntilan wang tunai itu ditandakan secara rapi, siap dengan nama anggota tentera yang telah memberi rasuah sebagai balasan untuk kenaikan pangkat.
Di China, kes rasuah berprofil tinggi seperti ini, khusus melibatkan tentera akan diajukan ke mahkamah tentera untuk pendakwaan. Nah, anda dapat menghubungkan insiden di China ini dengan apa yang berlaku baru-baru ini?
Begini, tidaklah terlalu sukar memikirkan mengapa korupsi dan rasuah menjadi-jadi dalam sektor pertahanan, dan dilakukan oleh komander tertinggi tentera. Di mana pun di seluruh dunia, subjek kedaulatan dan pertahanan adalah begitu sensitif, dan menjadi intipan musuh. Ini akan menjadi alasan terkuat.
Akan tetapi itu bukan satu-satunya faktor hal ini berlaku. Sebetulnya faktor terbesar mengapa korupsi berlaku tentulah kerana terdapat tanggapan bahawa bajet, dan perbelanjaan militari adalah rahsia, tidak boleh didedahkan kepada umum, dan tidak boleh ditoleransi. Malah, sesetengah pandangan ekstrem berpandangan bajet pertahanan bahkan tidak wajar diaudit.
Pandangan bahawa bajet pertahanan wajar disembunyikan daripada pengetahuan awam, atau sebahagian peruntukan pertahanan disorokkan dalam bajet kementerian lain adalah satu amalan yang buruk. Sebenarnya, selain item yang ‘benar-benar rahsia’, yang lazimnya hanya merupakan peratusan yang sangat kecil daripada keseluruhan bajet pertahanan, pihak tentera atau kerajaan tiada sebarang alasan kukuh untuk tidak menerbitkan, atau bersikap telus dalam hal bajet pertahanan.
Jika kita serius, ada baiknya proses penggubalan bajet pertahanan dipersoalkan dengan telus. Misalnya, pihak Dewan Rakyat boleh mempersoalkan apakah kerajaan menerbitkan kertas putih pertahanan atau dokumen rasmi pertahanan dan keselamatan yang lain? Adakah terdapat perbelanjaan ketenteraan luar bajet? Adakah terdapat peruntukan undang-undang untuk mengawal mekanisme pengelasan maklumat atas alasan melindungi keselamatan negara dan perisikan ketenteraan?
Kemudian, boleh juga dipersoalkan apakah laporan berkala mengenai pelaksanaan bajet pertahanan diterbitkan? Tentu sahaja, soalan seterusnya adalah adakah sektor pertahanan dan keselamatan diaudit, dan adakah maklumat yang diperoleh didedahkan kepada umum? Dalam keadaan tertentu, adakah negara menyerahkan maklumat bajet pertahanan kepada organisasi serantau atau antarabangsa? Seiring itu adakah terdapat Akta Kebebasan Maklumat? Bagaimanakah caranya bajet pertahanan dapat didedahkan kepada umum? Dalam sesetengah amalan terpuji, adakah rakyat, masyarakat sivil dan media boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai bajet pertahanan ini? Seterusnya adakah bajet pertahanan merangkumi maklumat komprehensif, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) ketenteraan, latihan, pembinaan, perbelanjaan kakitangan, perolehan, pelupusan aset, dan penyelenggaraan?
Bagaimana pula laporan berkaitan pelaksanaan bajet pertahanan boleh disediakan kepada orang awam dan badan perundangan secara berkala?
Semua soalan di atas nampak berat, dan sekali imbas telah dipenuhi, tetapi sebenarnya ia mesti diperincikan, dan ditekuni teliti. Jika kita berjaya menjawab semua pertanyaan di atas tanpa sebarang simpang siur, tentu kita dapat mencegah korupsi dan penyelewengan dalam industri ketenteraan, dan sektor pertahanan.
Namun, seringnya jawapan untuk pertanyaan yang banyak di atas adalah, mudah. Jawapannya: ‘rahsia’.
Betulkah perbelanjaan ketenteraan perlu dirahsiakan? Khusus untuk negara seperti kita yang ancaman luar adalah sederhana, yakni tidaklah seperti Iran, Israel atau China sendiri.
Apakah bajet rahsia? Ia adalah kumpulan dana yang dibelanjakan untuk item atau perkhidmatan pertahanan dan keselamatan yang tidak didedahkan secara terbuka kepada orang awam. Sebagai contoh ia mungkin meliputi persenjataan baharu, kempen sulit, peralatan sensitif, dan pasukan untuk operasi rahsia.
Seyogia diingatkan, Malaysia bukanlah Amerika Syarikat, kita tidak begitu obses dengan sektor ini. Juga sejujurnya kerahsiaan memberi peluang berguna kepada pelaku rasuah untuk menutup pergerakan wang haram yang terpisah daripada sebarang pengawasan.
Soalan relevan berikut adalah apakah ada negara yang telus sehabis-habisnya dalam hal ini? Tentu sahaja ada.
Norway sebagai misalan mempunyai bajet pertahanan rahsia sifar. Negara-negara yang lebih terbuka, yang kebanyakannya negara di Scandinavia (yang berjiran dengan Rusia) mempunyai bajet pertahanan rahsia dalam lingkungan sifar ke 4% daripada bajet pertahanan.
Sebagai contoh pada 2012, sebanyak 1 juta Euro daripada bajet pertahanan Jerman yang berjumlah EUR31.87 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan rahsia. Dalam erti kata lain, bajet rahsia sangat tidak mungkin melebihi 1% daripada keseluruhan bajet pertahanan.
Bukan itu sahaja, di Jerman, proses pengawasan perundangan terhadap item-item tersebut adalah bersifat teknikal dan menunjukkan beberapa bidang amalan terpuji yang telus dan tidak kelihatan terjejas atau boleh dicemari rasuah. Misalan, di Bundestag Jerman, ditubuhkan sebuah ‘jawatankuasa anggota terpercaya’ yang diberikan hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan perbelanjaan rahsia serta memberi kebenaran atau menolaknya. Ia adalah jawatankuasa dwipartisan, yang mana akan diisi oleh pelbagai parti dan ia akan memaklumkan pula kepada Jawatankuasa Bajet penuh mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan rahsia. Tentu sahaja, semua pengawasan ini diberi kuasa undang-undang. Dan itulah puncanya tiada toleransi terhadap ‘parti yeye’ di Jerman.
Jika kita benar-benar ingin membanteras korupsi di dalam sektor pertahanan, ada banyak mekanisme perlu dilakukan. Kita tidak boleh mengharapkan pasukan pencegahan rasuah yang kecil tenaganya untuk melakukan semua, langkah pencegahan dalam sistem itu sendiri perlu didirikan. Seterusnya pendidikan mengenai rasuah ditingkatkan.
Pada 2015 (perbicaraan korupsi di China tidak mengambil masa lama), Leftenan Jeneral Gu Junshan dijatuhkan hukuman mati tertunda. Ia bermaksud terdapat satu tempoh dua tahun untuk penilaian selepas hukuman mati dikemukakan.
Di Malaysia, selain perbicaraan korupsi mengambil masa lama, kadangkala penjawat awam masih boleh pencen awal, menikmati wang persaraannya, siap siaga menunaikan umrah, berkahwin lagi dan tersengih ke sana sini tanpa rasa segan dan malu. Sewaktu muncul di mahkamah, mereka juga akan berkerusi roda dua di mana untuk tiba ke peringkat keputusan penghakiman, masyarakat sudah terlupa, dan kadangkala yang tertuduh akan meninggal dunia terlebih dahulu.
Tentu mereka itu mati setelah membaham wang pembayar cukai yang banyak. Manakala, keturunannya pula akan beroleh keistimewaan mengecapi dan mandi sesuci hati dengan harta-marta daripada penyelewengan tersebut. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.