`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 29, 2026

Hampir 90% responden kajian BHEUU sokong had tempoh jawatan PM

62.25% responden setuju had dua penggal, diikuti 20.61% pilih had maksimum 10 tahun.

orang awam
Seramai 3,722 responden ambil bahagian dalam kajian BHEUU yang dilaksanakan selama seminggu bermula 22 Jan lepas.
PUTRAJAYA:
 Kajian tinjauan awam yang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mendapati majoriti besar responden bersetuju tempoh jawatan perdana menteri dihadkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) S Punitha berkata, 3,722 responden mengambil bahagian dalam kajian yang dilaksanakan selama seminggu bermula 22 Jan lepas.

Daripada jumlah itu, katanya, 89.90% bersetuju dengan kewajaran penetapan had tempoh jawatan perdana menteri, 8.27% tidak bersetuju manakala 1.75% tidak pasti.

“Bagi had tempoh jawatan pula, 62.25% responden bersetuju kepada dua penggal, diikuti 20.61% memilih had maksimum 10 tahun,” katanya pada Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti Madani Mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri hari ini.

Kajian itu juga mendapati 58.97% responden menyokong kaedah pengiraan tempoh secara retrospektif, iaitu tempoh perkhidmatan sebelum pindaan turut diambil kira, manakala 35.46% memilih prospektif.

Selain itu, 67.60% bersetuju tempoh jawatan perdana menteri perlu dikira secara kumulatif, sama ada berturut-turut atau tidak berturut-turut.

Dari segi kesan terhadap Jemaah Menteri, 39.84% berpandangan perkara itu perlu ditentukan oleh Perlembagaan atau undang-undang, manakala 37.99% berpendapat seluruh Jemaah Menteri perlu meletak jawatan bersama perdana menteri.

Punitha berkata, majoriti responden juga berpendapat pengehadan tempoh itu tidak menjejaskan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, dengan 73.05% menyatakan kuasa tersebut kekal tidak terjejas.

Selain mendapatkan pandangan awam, katanya, BHEUU turut melaksanakan kajian perbandingan amalan terbaik melibatkan 14 negara dengan sistem monarki berperlembagaan dan republik yang mengamalkan pengehadan tempoh jawatan pemimpin.

“Negara-negara yang mengehadkan tempoh jawatan kepimpinan berbuat demikian bagi mengelak penumpuan kuasa, menggalakkan pembaharuan kepimpinan serta memperkukuh prinsip semak dan imbang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.