`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, March 2, 2026

Presiden pendamaian yang bukan pendamai

 Sehingga sekarang, setiap hari rakyat Palestin dibunuh Israel. Gaza belum aman.

Mohsin Abdullah

Saya kata Donald Trump tidak mahu rundingan dengan Iran menghasilkan pendamaian. Benjamin Netanyahu apa lagi. “Both never wanted peace all along”. Rundingan hanya “smokescreen” bagi mengaburi mata dunia.

Rundingan ialah mengenai keupayaan nuklear Iran. Perundingan Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah menyaksikan “three rounds of negotiation” sepanjang minggu lalu. Pusingan terakhir (di Geneva) kata pegawai Oman selaku orang tengah menunjukkan tanda positif dengan Iran bersetuju terhadap beberapa perkara, termasuk pemeriksaan rapi ke atas program nuklearnya.

Kenyataan itu dikeluarkan Oman Khamis lalu. Pada Sabtu, tentera AS (baca Trump) lancar serangan besar-besaran ke atas Iran. “Major combat operations” katanya. Israel (baca Netanyahu) turut serang.

Ingat tak “the 12 day war” Jun tahun lalu? AS dan Israel juga serang Iran semasa perundingan sedang berlangsung.

Nak dikatakan serangan kali ini sesuatu yang mengejutkan tidak boleh juga. Pada Khamis yang sama, Oman buat kenyataannya, Trump sudah berkata: “I am not happy they are not willing to give us what we have to have”.

Sebelum itu, semasa rundingan sedang berlangsung, Netanyahu pergi ke Washington bertemu Trump menuntut beberapa perkara lain, khususnya mengenai peluru berpandu balistik Iran dimasukkan dalam skop rundingan.

Realitinya, Trump melancarkan perang bersama Israel hanya menguntungkan Israel dan Netanyahu, kata penganalisis yang ditemui Al Jazeera. Saya simpulkan sebagai “Netanyahu’s war fought by Trump”.

Netanyahu mahu jadi raja di rantau Timur Tengah. Beliau gunakan perang untuk alih pandangan rakyatnya dan lengahkan kes rasuahnya di mahkamah. Trump pernah beritahu presiden Israel supaya gugurkan sahaja tuduhan terhadap Netanyahu.

Trump menggelar dirinya presiden pendamaian yang “menghentikan peperangan, bukan memulakannya”. Sekarang bagaimana Mr President?

Kata penganalisis, “war with Iran contradicts the US president’s own criticism of regime change policies in the Middle East”. Dan “regime change” yang Trump mahu di Iran sekarang.

Sememangnya, Trump telah mengkritik keras presiden AS terdahulu yang katanya tidak tahu mencari pendamaian dan hanya tahu berperang.

Dan “keazaman” tidak mahu AS terlibat dalam peperangan negara lain dan tidak mencampuri urusan negara luar antara janji kempen pilihan rayanya semasa bertanding jawatan presiden. Ramai pengundi muda menyokongnya kerana janji itu.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sebahagian besar rakyat Amerika tidak mahu negara mereka menyerang Iran. Beberapa anggota Kongres pula menyifatkan tindakan perang Trump tidak berperlembagaan. Tetapi, “Trump being Trump” tak ambil pot.

Alasannya ialah bagi menghalang Iran daripada mengancam AS dan “our core national security interests”. Namun, ramai yang mengkritik, termasuk kalangan gerakan “America first” anjuran Trump yang berpendapat “Iran – more than 10,000km (6,000 miles) away does not pose a threat to the US”. Sebenarnya, yang takut ancaman Iran ialah Israel.

Dulu George W Bush masa lancar perang ke atas Iraq mendakwa Saddam Hussein ada “weapons of mass destruction”. Akhirnya, setelah ribuan rakyat Iran dibunuh, ramai tentera AS terkorban dan kemusnahan di seluruh Iraq, tidak ada “weapons of mass destruction” dijumpai.

Sekarang, seperti dikatakan tadi, Trump bercakap mengenai “regime change” di Iran. Beliau mahu rakyat Iran bangkit ambil alih kerajaan “after we have finished”. “Finished” kerjakan Iran lah tu.

Memang ada rakyat Iran yang anti-Ayatollah Ali Khamenei. Ribuan, jika bukan berjuta keluar protes di jalan raya akhir tahun lalu. Rungutan dan sungutan mengenai demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Tetapi, paling utama mengenai ekonomi. Sesungguhnya, ekonomi Iran “is suffering”. Tetapi, ini akibat sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas negara itu.

Kata pemerhati, hal ehwal Iran jika berjuta menentang, berjuta juga keluar ke jalan raya menyokong Khamenei. Beliau menjangkakan apabila negara diancam, seluruh rakyat Iran akan bersatu menentang penceroboh asing.

Namun, bagi Reza Pahlavi, kematian Khamenei telah menamatkan the Islamic Republic of Iran yang menjatuhkan kerajaan Shah, ayah beliau yang pro-Barat. Reza menganggap dirinya sebagai pemimpin transisi, tetapi dikatakan tidak mempunyai sokongan puak anti-Khamenei.

Bagaimanapun, kata Lyse Doucet, wartawan kanan BBC, Iran terutamanya ulama dan komander tentera sudah lama menyiapkan diri bagi menghadapi apa yang ia hadapi sekarang. “They have been preparing for it,” kata Doucet.

Menurut laporan beliau, Khamenei sudah menyiapkan senarai pegawai tentera bagi memastikan tidak ada kekosongan terjadi di peringkat tertinggi.

Dan Allahyarham juga sudah mengarahkan himpunan pakar atau “Assembly of Experts” dianggotai 88 ulama kanan memilih pemimpin utama bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut The New York Times, Khamenei telah menamakan tiga ulama untuk dipilih sebagai pengganti, jika beliau dibunuh.

Apa yang akan berlaku kepada Iran dengan terbunuhnya Khamenei? Adakah Iran akan mengambil langkah konfrontasi dan penentangan? Yakni, meneruskan laluan “confrontation and resistance” yang dibawa oleh Khamenei atau kembali ke pragtisme.

Bagi Iran, Khamenei yang dibunuh AS dan Israel dalam suasana perang bukan seorang yang tewas, tetapi seorang yang mempertahankan revolusi Islam dan negara.

Allahyarham disifatkan penyokongnya sebagai syahid atau “martyr”. Dan yang mungkin boleh dianggap setaraf dengan Ayatollah ialah Ruhollah Khomeini, pencetus revolusi Islam dan pengasas Republik Islam Iran.

Bak kata Aziz Sharif, kawan lama yang mengendali BTS Media: “Jika Khomeini dikenang sebagai tokoh yang mencetus revolusi dan membentuk sistem baharu, Khamenei pula dilihat sebagai pemimpin yang memelihara dan mengukuhkan sistem tersebut melalui pelbagai cabaran, termasuk perang serantau, sekatan ekonomi, tekanan antarabangsa dan pergolakan dalaman.”

Dan Trump? Masih panggil dirinya “peace president”. Dan beliau juga ialah pengerusi “Board of Peace” yang diasaskan bagi menjaga pendamaian seluruh dunia, khususnya mengawal pelan damai Gaza dan pembangunan kawasan itu yang dihancurkan Israel.

Sehingga sekarang, setiap hari rakyat Paletin dibunuh Israel. Gaza belum aman. - FMT

 Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.