Pemandu itu dakwa lokasi dalam sistem ialah Teluk Panglim Garang tetapi sebenarnya lokasi terpecil di Teluk Mengkuang.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam pada 18 Jun, pemandu yang enggan dikenali atas faktor keselamatan itu berkata dia mengambil empat penumpang warga asing dari Taman Jaya Utama, Klang, dengan destinasi dalam aplikasi menunjukkan perjalanan ke Teluk Panglima Garang.
Namun, ketika dalam perjalanan, pemandu itu mendakwa menyedari lokasi sebenar yang mahu dituju penumpang ialah Teluk Mengkuang, kawasan lebih sunyi dan terpencil berbanding pekan Teluk Panglima Garang.
Katanya, walaupun berasa tidak sedap hati, dia meneruskan perjalanan melalui laluan berbatu sebelum tiba di sebuah kawasan yang kelihatan seperti kawasan kilang.
“Saya memandu perlahan untuk mengelakkan kenderaan rosak melalui jalan berbatu. Keadaan gelap juga cukup menakutkan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Mujur saya dapat keluar dengan selamat dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda untuk keselamatan,” kata pemandu berusia lingkungan 50-an itu kepada FMT.
Dia berkata, bagi perjalanan berkenaan, dia menerima bayaran RM9.60 yang didakwanya tidak berbaloi dengan masa, risiko keselamatan dan kemungkinan kerosakan pada kenderaannya.
Pemandu itu berharap syarikat e-panggilan terbabit memperbaiki kelemahan sistem yang didakwanya menyebabkan percanggahan antara destinasi dalam aplikasi dengan lokasi sebenar penumpang diturunkan.
“Ini membabitkan keselamatan pemandu,” katanya.
FMT telah menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklum balas.
Isu keselamatan penggiat e-panggilan kerap dibangkitkan kebelakangan ini susulan beberapa insiden membabitkan pemandu diserang penumpang.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kementeriannya akan berbincang dengan pengendali e-panggilan bagi meneliti langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan pemandu.
Antara cadangan yang pernah dibangkitkan ialah pemasangan kamera papan pemuka dalam kenderaan e-panggilan, namun perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana turut membabitkan isu privasi penumpang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.