`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 7, 2018

BILA REFORMIS MELUTUT DI KAKI MAHATHIR

DARI SUDUT LAIN
Sekiranya seseorang pengkaji politik menggariskan episod-episod penting yang mewarnai politik Malaysia sejak selepas Hari Kemerdekaan tahun 1957, gelombang Reformasi yang bermula tahun 1998 adalah merupakan satu episod yang tidak mungkin diabaikan. Biarpun aktor penting Reformasi adalah Dato Seri Anwar Ibrahim, beliau bukanlah satu-satu pencetus utamanya. Malah pembelaan terhadap Anwar bukanlah tujuan akhir Reformasi, sebaliknya ia bermatlamat untuk merubah sistem urustadbir negara ke arah lebih adil dan telus.
Boleh jadi Anwar tersalah anggap, rakyat yang keluar beramai-ramai untuk menuntut Reformasi sistem urustadbir negara itu berjuang untuk kepentingan peribadi Anwar. Dengan sebab itu, apabila beliau ditanya tentang keganasan regim Dr Mahathir terhadap para reformis selepas Dr Mahathir mula memimpin Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, Anwar hanya menganggapnya sebagai ‘luka kecil’. Beliau seolah-olah beranggapan peristiwa Reformasi tersebut hanya berkaitan dengan episod matanya yang lebam.
Berkemungkinan ramai juga reformis yang beranggapan sama seperti Anwar, Reformasi hanya episod perseteruan peribadi Anwar-Mahathir, justeru bila mereka berdua sudah boleh berpelukan maka Reformasi pun berakhir dengan ‘happy ending’. Setelah mereka berpelukan, maka para reformis dan PH boleh menobatkan Dr Mahathir sebagai nakhoda baru setelah nakhoda sebelum ini terpenjara di sebalik jeriji besi Sungai Buluh. Begitu enteng sekali, Dr Mahathir yang dahulunya diganyang sekarang sedang dijulang.
Kehancuran sistem urustadbir Malaysia yang telah dirosakkan oleh tindakan-tindakan Dr Mahathir seperti mula dilupakan. Ketika rakyat keseluruhan semakin merasai kesan jangka panjang tindakan-tindakan Dr Mahathir dulu, walaupun Pak Lah dan sekarang Dato Sri Najib cuba memperbaikinya, para reformis dan PH mahu menobatkan semula Dr Mahathir menerajui negara. Dr Mahathir sendiri tidak pernah menyesali tindakan-tindakannya, sebaliknya para reformis dan PH sudah menganggapnya sebagai penyelamat.
Parti yang masih memperkatakan tentang perlunya perubahan sistem urustadbir negara ke arah yang lebih adil dan telus hanyalah PAS. PKR dan DAP yang diberi kuasa menerajui dua negeri di Selangor dan Pulau Pinang, tidak menunjukkan kesungguhan untuk membuat perubahan itu. Sebaliknya, hari ini pimpinan mereka terpalit dengan salahlaku-salahlaku, sama seperti budaya pimpinan-pimpinan BN sebelum ini. Yang lebih ditumpukan oleh mereka ialah menyerang peribadi Najib, untuk memuaskan hati mereka dan Dr Mahathir.
PAS lebih fokus dalam perjuangannya, mengemukakan gagasan-gagasan besar untuk merubah sistem urus tadbir negara. Bermula daripada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Dokumen Hijau untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang menjadi model sebuah sistem urustadbir negara yang adil dan telus. Dengan pengertian lain, ketika sebahagian para reformis sudah melutut di kaki Dr Mahathir, PAS sedang memulakan satu anjakan baru untuk penerusan islah Reformasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.