`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 5, 2018

BN paling konsisten bantu rakyat, kata Musa

Ketua Menteri Sabah Musa Aman menggambarkan parti pembangkang seperti cendawan yang timbul selepas hujan.
musa-aman-1
KOTA KINABALU: Rakyat harus terus mempercayai BN kerana parti pembangkang tidak ubah seperti cendawan selepas hujan yang reput dan hilang secepat mereka tumbuh, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
“Mereka melawat kawasan dengan bermacam-macam janji. Sesetengah daripada mereka mahukan jawatan tetapi apabila tidak dapat, mereka merajuk dan pergi.
“Akhirnya, yang kekal hanya BN dan kita akan bersama Umno dan rakyat, dalam apa jua keadaan,” katanya selepas melawat pusat daerah mengundi di Sungai Sibuga, Sungai Batang dan Batu Putih di Sandakan hari ini.
Adun Sungai Sibuga itu berucap kepada warga kawasannya di sesi bertemu rakyat di Batu Putih. Kebanyakan yang hadir adalah ahli Umno.
Beliau berkata wakil rakyat harus berkhidmat kepada rakyat dan bukan sebaliknya.
Justeru, beliau menggesa ahli parti supaya tidak menyalahgunakan mandat yang rakyat amanahkan kepada parti dan pemimpin mereka.
“Kita perlu terus bekerja untuk rakyat, bantu mereka, bertemu mereka sentiasa,” katanya.
Musa berpuas hati dengan keadaan jentera pilihan raya di setiap satu pusat daerah mengundi yang dikunjunginya, serta kerjasama penuh daripada setiap sayap parti.
Ini menunjukkan pusat tersebut bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14.
“Pilihan raya bukan asing buat kita. Insya Allah, pilihan raya kali ini kali ke-4 saya mengetuai kempen pilihan raya BN di Sabah.
“Perkara paling penting ialah kita setia dan bersatu dan walau siapa pun calon kita, kita mesti sokong dan saling bantu membantu,” katanya.
Beliau berkata BN Sabah harus berbangga kerana dalam tahun-tahun kebelakangan, gabungan itu terbukti kerajaan yang berkesan dan bekerja keras yang sentiasa bekerja membantu rakyat.
Di majlis hari ini, Musa turut menyumbang beg sekolah kepada 350 pelajar, bantuan pertanian kepada 200 petani dan kerusi roda kepada 7 orang kurang upaya.
Beliau berharap bantuan itu, terutamanya kepada para pelajar, akan menjadi dorongan kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan membantu keluarga satu hari nanti.
“Kita mahu anak kita terdidik supaya satu hari nanti, apabila mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing, mereka pula akan membantu generasi muda.”
“Sebab itu saya bina hab pendidikan di Sandakan supaya anak-anak kita tidak perlu berjalan jauh untuk dapatkan pendidikan, di samping menjimatkan kos pendidikan.
“Di sini, kita ada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik Sandakan, MRSM dan banyak lagi yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Sabah sudah menjalankan dan merancang banyak lagi projek dan program dengan matlamat memacu kemajuan Sabah.
Antaranya termasuk jalan raya yang lebih baik, bekalan elektrik, prasarana asas, sekolah tahfiz dan pusat Islam yang sudah ada dalam rancangan. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.