Syerleena Abdul Rashid dan 15 ahli politik muda DAP meminta perbincangan isu perdana menteri jangan dileret-leretkan kerana PH perlu fokus kepada isu polisi.
PETALING JAYA: Jangan melebih-lebih bincang isu calon perdana menteri kerana Pakatan Harapan perlu fokus kepada isu-isu polisi dan tawaran kepada rakyat, kata pemimpin belia DAP, Syerleena Abdul Rashid.
Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP itu bersama 15 ahli politik muda lain meminta perbincangan isu perdana menteri jangan dileret-leretkan agar perbincangan polisi dan kerangka tawaran yang lebih konstruktif boleh diutamakan.
“Disamping meraikan pelbagai pendapat, kita harus segera sedar bahawa masa tidak menyebelahi kita,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
“Perbincangan yang meleret-leret terhadap isu calon perdana menteri pada tahap ini adalah bersifat ‘melebihi dari yang perlu’. Ia telah mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenar untuk menolak salahguna kuasa serta rasuah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Najib Razak serta BN.”
Hari ini, veteran politik Dr Syed Husin Ali mahu PH memberikan masa untuk mendengar suara rakyat dalam isu calon perdana menteri sehingga pengumuman pembubaran Parlimen.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata matlamat PH jauh lebih besar daripada soal menentukan siapa perdana menteri, maka isu tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan.
“Saya merasa hairan kenapa isu menentukan dengan segera nama calon perdana menteri daripada PH sudah menjadi begitu besar sekali. Kenapa perlu terburu-buru memutuskannya?” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad engumumkan calon perdana menteri gabungan pembangkang itu, yang dinanti-nantikan pemerhati politik, akan diumumkan Ahad ini, di satu konvensyen di Shah Alam.
Sebelum ini, media melaporkan 3 komponen PH – PPBM, DAP dan Amanah – bersetuju untuk menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sementara, sehingga Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas dari penjara dan layak mengambil alih jawatan itu.
Dikatakan perkara itu tidak diumumkan kerana PKR mahu membincangkan perkara itu di peringkat parti. Sebelum ini, PKR berkeras mahu presiden mereka, dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri.
Syerleena dan 15 ahli politik muda lain, termasuk Penolong Setiausaha Wanita DAP Young Syefura Othman dan Penolong Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Kebangsaan Muhammad Shakir Ameer, berkata mereka akan menyokong keputusan pucuk pimpinan parti dalam isu calon perdana menteri.
“Asalkan ia melalui proses perbincangan yang cukup matang dan masak dengan meletakkan agenda reformasi serta membela nasib rakyat dihadapan, kami akur dan akan berkerja ke arah menjayakannya,” kata mereka.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata PH tidak ada pilihan kecuali menamakan bakal perdana menteri sebelum PRU14.
Ini kerana rakyat secara umumnya mahu tahu apakah pilihan yang ditawarkan gabungan pembangkang itu pada pilihan raya yang perlu dipanggil dalam beberapa bulan lagi. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.