`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 3, 2018

JPA jawab lantikan politik belum terima gaji

JPA berkata pegawai menteri dan timbalan menteri lantikan politik belum menerima gaji berikutan urusan pelantikan belum selesai.
JPA berkata pihaknya sentiasa memastikan proses pelantikan dipercepatkan jika dokumentasi yang lengkap diterima.
PUTRAJAYA: Isu lantikan politik pegawai menteri serta timbalan menteri yang belum menerima gaji adalah berikutan urusan pelantikan yang belum selesai, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA dalam satu kenyataan hari ini berkata isu bayaran gaji itu disebabkan oleh dokumentasi yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat pelantikan dalam perkhidmatan.
Selain itu, JPA berkata terdapat juga kes di mana pegawai tidak bersetuju menerima tawaran pelantikan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana berbeza dengan gred jawatan yang dimohon.
“Sehingga kini, permohonan lantikan kontrak yang diterima oleh JPA daripada pelbagai kementerian dikemukakan ke SPA untuk pertimbangan,” kata JPA.
JPA menjelaskan pengisian jawatan di kalangan penjawat awam dibuat sama ada secara penempatan khas atau pinjaman manakala pengisian di kalangan bukan penjawat awam adalah secara kontrak.
Menurut JPA, kuasa melantik pegawai secara pinjaman atau kontrak adalah SPA yang merupakan badan bebas yang mempunyai kuasa pelantikan seperti mana termaktub dalam Perkara 132(2) Perlembagaan Persekutuan manakala pengisian secara penempatan khas diuruskan sepenuhnya oleh JPA.
Bagi pelantikan secara kontrak, calon hendaklah memenuhi syarat yang ditetapkan antaranya Kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, had umur tidak melebihi 60 tahun, laporan kesihatan yang diperakukan sihat untuk berkhidmat dan tidak diisytihar bankrap, katanya.
JPA berkata melalui surat edarannya bertarikh 23 Julai 2018 memaklumkan proses pelantikan pegawai di pejabat anggota pentadbiran hendaklah mematuhi kaedah pelantikan yang ditetapkan.
“Jika segala dokumen lengkap dan syarat tersebut dipenuhi, urusan pelantikan boleh diselesaikan dalam tempoh maksimum 2 minggu dari tarikh penerimaan perakuan oleh SPA,” katanya.
Bagi permohonan yang diterima sehingga 3 Ogos (2018) hari ini, sekiranya dokumentasi lengkap diperolehi, pelantikan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya 15 Ogos ini (2018), katanya.
“JPA dan SPA akan sentiasa memastikan proses pelantikan akan dipercepatkan sekiranya dokumentasi yang lengkap diterima,” kata JPA.
Menurut JPA, bagi pengisian jawatan secara penempatan khas yang melibatkan 27 pegawai, pelantikan dilaksanakan manakala pengisian secara pinjaman yang melibatkan 6 pegawai pula sedang dalam tindakan.
JPA berkata pelantikan setiausaha sulit kanan (SUSK), setiausaha akhbar (SUA), pegawai tugas-tugas khas (PTTK), setiausaha sulit (SUS) di Pejabat Anggota Pentadbiran tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2012(PP6/2012) – Perjawatan dan Perkhidmatan di Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri.
Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Jun lalu bersetuju supaya bilangan perjawatan di pejabat tersebut hendaklah mematuhi PP6/2012 dengan tambahan satu (1) jawatan PTTK.
Mengenai dakwaan terdapat pegawai yang “ditamatkan” selepas 2 minggu berkhidmat, JPA berkata berdasarkan semakan, perkhidmatan pegawai tersebut tidak diteruskan oleh kementerian berikutan melebihi jumlah perjawatan yang diluluskan dan tidak layak untuk dilantik.
Sebuah tabloid sebelum ini melaporkan terdapat lantikan politik belum menerima gaji selepas 2 bulan berkhidmat. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.