`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, August 24, 2018

Syair kahwin bawah umur

Dalam semangat hari raya korban, eloklah kita menetapkan kesungguhan agar nasib perempuan kita akan lebih terbela dan tidak dikorbankan secara semberono.
KOMEN
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata garis panduan lebih ketat membabitkan isu perkahwinan kanak-kanak akan dirangka dan dalam jangka masa panjang, adalah diharapkan perkahwinan bawah umur dapat diharamkan.
Tentu sahaja langkah ini diambil gara-gara perangai seorang lelaki berusia 41 tahun yang dikatakan seorang ustaz, mengahwini kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan.
Hakikatnya, isu perkahwinan bawah umur dan perjuangan untuk membasminya telah disuarakan sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Malah saya percaya, tentu sahaja ada suara lain yang terbenam dan kurang diketahui dalam membantah perkahwinan bawah umur ini, khusus dalam masyarakat Melayu.
Ini bermakna seruan agar perkahwinan bawah umur ini diharamkan tidak semestinya datang daripada kaum liberal seperti Sisters in Islam, Siti Kasim dan Faisal Tehrani sahaja. Syukur, sejak dulu-dulu sudah ada mereka yang waras.
Terdapat sebuah buku puisi terbitan 1949 yang memuatkan antara lain puisi moden, pantun dan syair berjudul “Janda Muda Lawa” tulisan Ahmadi Asmara. Meskipun merupakan buku puisi, ia turut merakam keadaan membabitkan wanita di era tersebut. Abaikan judul utama buku puisi tersebut yang menyebut janda.
Dalam kata aluan buku terbitan Puspa Aneka tersebut, Ahmadi menyatakan tujuan beliau mengarang untuk “menjadi penghiburan kepada para pembaca sambil memungut mana-mana berfaedah dan menjadi amthal hidup dalam menempuh gelombang hayat”.
Syair-syair yang ditulis oleh Ahmadi Asmara banyak merakam realiti yang dihadapi wanita era itu. Selain meluahkannya dalam bentuk puisi moden dan tradisional, Ahmadi menyatakan dengan jelas sebab musabab pelacuran terjadi, seperti antara lain kerana gejala kahwin paksa dan kahwin di bawah umur.
Ahmadi turut menyediakan sudut pandangan perempuan (sebagai pelacur) dan juga lelaki (sebagai pelanggan) dalam himpunan pantun “Janda Muda Berpantun”, “Pemuda Berpantun” dan “Hati Perempuan Janda”.
Ini menjadikan karya Ahmadi lebih berimbang dan tidak hanya menyalahkan perempuan menjadi pelacur. Apa yang lebih menarik ialah terdapat pesan-pesan agar menguasai “hak asasi manusia” (meskipun konsep ini tidak dinyatakan secara langsung) supaya janda dan ibu tunggal tidak sampai dianiaya.
Di dalam syair “Akibatnya Kahwin Paksa”, Ahmadi mengkritik gejala kahwin paksa di usia muda dalam kalangan orang Melayu:
Anak umpama emas kencana
Kecil molek indah terlaksana
Menjadi pasangan bai dan nana
Atau pak haji yang hidup merana.
Konon pula bermenantukan pak haji
Ilmunya banyak tahan diuji
Bolehlah anaknya belajar mengaji
Di akhirat kelak nama terpuji.
Tanpa keredhaan anaknya belum tentu
Belum mendapat kepuasan sesuatu
Akibat anaknya kemudian waktu
Tiada dikaji sedemikian itu.
Penderitaan anak siapa menanggung
Perjalanan hidup siapa yang canggung
Orang tua cuma bernama agung
Kononnya kehormatan tiada tersinggung.
Kebebasan memilih tak diberi peluang
Kebebasan berfikir terus dibuang
Kerana ibu bapa tamakkan wang
Kehidupan anak terawang-awang.
Harus dilihat kritikan dan kecaman penyair ini yang tanpa selindung menyalahkan kaum agamawan yang dilabel sebagai pak haji yang konon-kononnya banyak ilmu. Perkahwinan dengan “ustaz” itu harap-harapnya menyelamatkan anak-anak mereka di akhirat kelak.
Teguran kepada ibu bapa yang ghairah mengahwinkan anak perempuan di usia muda di atas belum memadai, ini kerana Ahmadi turut menyasarkan kecaman kepada suami yang tidak belas, bengis dan gila perceraian seperti tergambar dalam syair “Suami Durjana” dan “Kehidupan Berumur Kecil”:
Umpamanya masih di dalam bangku sekolah
Tekun belajar pelbagai masalah
Dipaksakan berhenti bermacam helah
Supaya bersuami masuk jumlah.
Si suami pula merasai jemu
Tending terajang pula bertamu
Maki dan hamun telah tersemu
Akibat perceraian datang meramu.
Beginilah nasib kaum perempuan
Jikalau tidak cukup pengetahuan
Menjadi mangsa nafsu haiwan
Hidup pun hai tidak keruan.
Justeru seruan, pelajar bukan pengantin bukanlah sesuatu yang asing, bahkan ia sudah kedengaran sejak 1940-an. Sebuah syair yang turut dimuatkan Ahmadi berjudul “Orang Perempuan” cuba mendorong pembaca perempuan agar memikir dan sedar kedudukan mereka yang sering diperdaya lelaki.
Dalam masa yang sama, kaum lelaki diselar kerana mengambil kesempatan dan memperlakukan wanita sewenang-wenangnya:
Oh perempuan kalau dahulu di zaman purbakala
Di zaman jahiliah kamu dibunuh dirogol dihela
Hak kamu tiada dihargai malah dihina pula
Menjadi perkakas hamba abdi apa segala.
Di zaman tiada ___ zaman kemajuan demokrasi
Zaman pergerakan zaman kemodenan ada di sisi
Tetapi lelaki berlaku kejahatan tangan besi
Dari kaum lelaki yang semua tiada tahu menggunakan batasi.
Dengan sebab ini boleh kelihatan tersangat banyak janda
Bekas pergodaan lelaki sepenuh noda
Menjamu hawa nafsu dengan tidak berjeda
Batasan adat kesopanan habis terlanda.
Apa lagi sekiranya kamu mendapat sepenuh kebebasan
Hendaklah hak hidup sebagai insan
Membuat kebaktian sehingga tinggal berkesan
Moga mendapat turunan yang baik beberapa lapisan.
Puisi-puisi Ahmadi sangat menarik memandangkan ia tidak semata-mata menyalahkan lelaki dan sudah menyentuh banyak hal mengenai “hak keperempuanan” dan mengkritik fenomena kahwin paksa di usia muda sehingga menyebabkan gejala pelacuran.
Harus dinyatakan di sini, gejala kahwin paksa yang melibatkan kanak-kanak menjadi satu wabak dalam 1930-an menganjur sehingga 1950-an kerana tiada tekad untuk menghentikannya baik dari pemimpin politik, mahupun orang awam.
Akan tetapi yang paling mendukacitakan tentulah kerana perkahwinan bawah umur ini diinisiatif malah digalak oleh mereka yang konon taat beragama, dengan alasan-alasan menjaga diri daripada maksiat dan sebagainya.
Bukan puisi Ahmadi sahaja yang dapat menggambarkan era galau 1940-an itu. Ada banyak lagi karya yang mengungkapkan masalah perkahwinan bawah umur yang pernah berlaku secara berleluasa.
Oleh sebab itu dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa isu perkahwinan bawah umur sebagai sesuatu yang terpencil dapat disangkal dengan mudah.
Kenyataan bahawa ia “tidak salah dari segi agama” atau “tidak sepatutnya isu ini disensasi dan dijadikan sebagai satu isu negara”, juga “ini kes terpencil” hanya menguatkan lagi kebenaran argumen dan sindiran penyair Ahmadi bahawa agama sering digunakan sebagai alasan untuk melampias hawa nafsu.
Bahawa kuasa sewenang yang terlalu banyak di tangan lelaki dan ketidakfahaman tentang hak asasi manusia khusus hak-hak perempuan merupakan akar masalah yang perlu ditangani segera.
Akan tetapi, mengapakah seruan 1949 oleh Ahmadi ini masih kembali bersipongang di tahun 2018? Apakah yang tidak kena dengan masyarakat kita? Atau lebih tepat, apa kemaruk kaum lebai dan tok peti yang mengakibatkan isu ini tidak dapat diselesaikan?
Moga-moga Mujahid akan berani dan nekad membuat langkah yang penting ini. Moga-moga juga, kaum lebai bersikap tidak apa seperti yang direpresentasi melalui Amar akan ditolak masyarakat secara meluas.
Dalam semangat hari raya korban, eloklah kita menetapkan kesungguhan agar nasib perempuan kita akan lebih terbela dan tidak dikorbankan secara semberono. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.