`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 2, 2018

Umno kecam PH tamatkan bayaran anggota Rela

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata keputusan itu menyusahkan kehidupan petugas Rela kerana mereka kehilangan sumber pendapatan.
VIDEO INSIDE
Mohamad Hasan turut mengecam tindakan PH menghentikan langganan Utusan Malaysia di semua bahagian agensi dan institusi Kementerian Pendidikan.
SHAH ALAM: Umno mengecam tindakan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menamatkan pembayaran perkhidmatan kepada anggotanya.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan dan langkah itu majoritinya menyusahkan kehidupan petugas Rela kerana mereka kehilangan sumber pendapatan.
“Mereka rasa amat tertipu dengan janji-janji yang PH lakukan sebelum pilihan raya umum lalu. Ini merupakan punca kehilangan sumber pendapatan dan menyusahkan orang ramai.
“Kerja yang anggota Rela buat bukan semata-mata disebabkan bayaran kerja tetapi kerana mereka berikan perkhidmatan kepada apa sahaja majlis, apa sahaja keraian dan program.
“Antara kerja mereka adalah kawal lalu lintas, keselamatan dan susun atur program supaya ketenteraman dijaga kerana kita tidak dapat bergantung kepada polis semata-mata, biasanya kita lihat Rela urus,” katanya dalam sidang media, di Pejabat Umno Kota Raja, hari ini.
Dalam satu surat bertarikh 30 Julai lalu yang tersebar, Pengarah Operasi Rela Mohamad Razib Bohaini mengarahkan semua pengarah Rela negeri menamatkan penugasan kawalan keselamatan anggota Rela di Pusat Khidmat Komuniti Rela.
Razib berkata, penugasan berbayar anggota Rela di 98 Pusat Khidmat Komuniti Rela akan ditamatkan berkuat kuasa pada 1 September depan.
“Bagaimanapun, jabatan ini tidak ada halangan bagi penugasan Pusat Khidmat Komuniti Rela secara sukarela tanpa melibatkan bayaran elaun,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau sendiri hairan dengan keputusan membabitkan petugas Rela, bahkan mempersoalkan apakah hikmah di sebalik keputusan itu.
“Saya tidak tahu apakah maksud ataupun hikmah yang dibuat mereka menamatkan perkhidmatan berbayar Rela ini di majlis rakyat, ini suatu tamparan yang hebat pada orang Rela itu sendiri.
“Ia suatu perkara yang dibuat tanpa berfikir panjang, saya harap kementerian, ketua jabatan, menteri kalau nak buat apa sahaja keputusan, fikir panjang-panjang,” katanya.
Bagi Mohamad, tidak semua perkara yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sewaktu mentadbir negara selama 60 tahun adalah perkara buruk seperti didakwa pemimpin PH.
“Jangan disebabkan angkuh kita, disebabkan oleh kita melihat apa yang ada dahulu semuanya tidak betul, tidak semuanya apa yang dibuat kerajaan terdahulu tidak baik,” katanya.
Mohamad turut mengecam keputusan kerajaan PH mengarahkan langganan Utusan Malaysia di semua bahagian agensi dan institusi kementerian dihentikan.
Memo melarang langganan akhbar Utusan Malaysia daripada Pejabat Menteri Pendidikan itu ditulis Penasihat Khas Wan Saiful Wan Jan dan disampaikan kepada Ketua Setiausaha Datuk Dr Mohd Ghazali Abas bertarikh 18 Julai lalu.
Mohamad berkata pihaknya dahulu tidak pernah keluarkan arahan seperti itu, walaupun ada akhbar yang benci dan menentang BN. Tidak pernah pula kita keluarkan kepada sekolah, kolej, universiti atau maktab.
“Ada akhbar berbahasa Tamil yang terang-terangan menentang BN, kita tidak pernah keluarkan arahan, Harakah juga kita tidak pernah larang walaupun ia cuma dilarang dijual kepada orang ramai.
“Walaupun kita tahu ada cikgu yang baca Harakah, tidak pula kita ambil tindakan. Kena matanglah dalam berpolitik, dulu nak perjuangkan kebebasan bersuara, media, akhbar, tapi bila sampai masanya hendak haram itu dan ini,” katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.