`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 17, 2020

Arkib tiada kuasa dedah dokumen Mageran kerana di bawah MKN, polis, kata menteri

 

Nancy Shukri berkata, Arkib Negara hanya bertanggungjawab membuka fail rasmi bertaraf terbuka untuk rujukan rakyat.

PETALING JAYA: Kertas kerja, minit mesyuarat dan laporan siasatan yang dihasilkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) susulan insiden 13 Mei 1969 masih di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Arkib Negara tiada kuasa mendedahkan rekod itu kepada orang ramai dan Arkib Negara hanya bertanggungjawab membuka fail rasmi bertaraf terbuka untuk rujukan rakyat.

“Rekod dokumen Mageran ada di bawah simpanan atau pegangan Arkib, namun pemilikan dan sebarang pemilikan dalam rekod tersebut masih di bawah bidang kuasa MKN dan polis,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta butiran pegangan Arkib Negara mengenai kertas kerja, minit mesyuarat dan laporan siasatan Mageran serta bilakah ia akan dibuka kepada orang awam.

Mageran ditubuhkan pada 1969 susulan pengisytiharan darurat disebabkan peristiwa 13 Mei 1969. Bagaimanapun, Mageran dibubarkan 49 tahun lalu, iaitu 1971.

Bagi mengelakkan peristiwa sama berulang, kerajaan ketika itu bersetuju menubuhkan MKN.

Nancy berkata, tempoh lama sejak Mageran dimansuhkan bukan syarat wajib untuk sesuatu dokumen dikelaskan semula atau didedahkan kepada orang ramai kerana ada beberapa kriteria kerahsiaan lain yang perlu dipatuhi.

“Bahan arkib awam yang dikelaskan sebagai bahan terperingkat belum dibuka kepada awam walaupun sudah mencapai tempoh lama. Ia adalah atas kriteria kerahsiaan berikut, rekod keselamatan dan kedaulatan negara, rekod berkaitan isu sensitif, rekod melibatkan maklumat peribadi individu.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.