`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 4, 2020

Niaga hadapan minyak sawit mentah ditutup tinggi

 

CGS-CIMB Futures berkata harga minyak sawit melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh lebih daripada 6 minggu.

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini apabila sentimen pasaran kekal positif berikutan jangkaan bekalan stok rendah di dalam negara.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata prospek pengeluaran rendah dan permintaan kukuh telah membawa kepada jangkaan paras stok rendah.

“Kami mendapati paras sokongan berada pada RM3,000 setan metrik dan paras ketahanan pada RM3,150 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CGS-CIMB Futures berkata harga minyak sawit melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh lebih daripada 6 minggu, melantun semula daripada penurunan selama 4 hari berikutan prospek bekalan rendah dan eksport tinggi dari Malaysia, pengeluar ke-2 terbesar.

Ia berkata pasaran mengambil kira inventori Malaysia sebanyak 1.6 juta tan metrik pada akhir Oktober dan permintaan tinggi bagi eksport dengan kemungkinan kurang bekalan menuju ke Disember.

“Kami merasakan eksport yang kukuh itu kemungkinan disebabkan oleh diskaun harga MSM yang menarik berbanding minyak boleh dimakan utama lain seperti minyak biji bunga matahari yang terjejas akibat musim kemarau di rantau Black Sea.

“Selain itu, peniaga mungkin menambah stok menjelang sambutan perayaan Deepavali pada 13 Nov, 2020,” kata firma itu.

Pada penutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi November 2020 meningkat RM37 kepada RM3,390 setan metrik, Disember 2020 naik RM67 kepada RM3,307 setan metrik, Januari 2021 menokok RM27 kepada RM3,097 setan metrik dan Februari 2021 menambah RM15 kepada RM2,995 setan metrik.

Jumlah dagangan meningkat kepada 59,800 lot daripada 57,075 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka naik kepada 262,534 kontrak daripada 257,514 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Selatan November meningkat RM30 kepada RM3,390 setan metrik. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.