`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 15, 2020

Penduduk Melawati, Keramat, dakwa diancam bahaya lubang projek pembentungan

 

Penduduk mendakwa kawasan projek di sekitar Taman Melawati mengakibatkan kesesakan jalan raya pada waktu puncak.

PETALING JAYA: Penduduk di sekitar Taman Melawati dan Keramat dekat sini mendakwa mereka lama menderita kerana projek pembetungan di kawasan itu menyebabkan wujudnya banyak lubang besar yang dikorek berdekatan jalan raya.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap projek yang dikendalikan oleh Puncak Niaga Construction itu kerana membahayakan pengguna.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati (TMRA), Azhari Abd Taharim menyifatkan projek itu kini tergendala berikutan tiada kemajuan dalam kerja-kerja pembinaannya.

“Kita adakan mesyuarat dengan pengurus projek Puncak Niaga Construction setiap tahun, namun apa yang dijanjikan tidak berlaku. Sudah 3 tahun kita minta mereka tutup lubang.

“Dijanjikan sebelum ini ia akan ditutup, tapi hingga hari ini tidak dibuat. Sampai orang mati baru nak selesaikan?

Lubang besar projek pembentungan di antara pembahagi di Taman Melawati yang memberi kesan kepada pengguna jalan raya.

“Kami sudah lama menderita,” katanya pada majlis taklimat bersama penduduk setempat dengan wakil syarikat secara atas talian hari ini.

Ketika dihubungi FMT Azhari turut mendakwa 4 orang pengurus projek telah bertukar ganti, namun isu melibatkan projek itu gagal diselesaikan.

“Mereka kata projek ini berjalan, tapi kami tengok macam tidak bergerak. Saya rasa masalah ini tak boleh selesai, mereka tidak ada duit. Tidak ada pihak yang nak tambah duit, kerajaan pusat pun tidak akan tambah.

“Isu ini berlaku di Selangor, pendapat saya ia sudah jadi isu politik sebab itu nampak payah nak selesai,” katanya.

Beliau turut berkata, kesukaran dihadapi penduduk semakin bertambah pada waktu puncak kerana terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Kalau hari Selasa, Khamis, Sabtu, ditambah ada pasar malam, kawasan ini boleh dikatakan lumpuh dengan kesesakan yang sangat teruk. Itu tak kira kalau hujan lagi,” katanya.

Beliau merayu pihak terbabit mencari penyelesaian jangka pendek dengan menampal semantara luhang yang dikorek bagi mengurangkan risiko kepada penduduk.

“Kita rayu supaya tampal sementara lubang yang dikorek,” katanya, sekali gus meminta ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmi Ali, turut membantu menyelesaikan isu tersebut memandangkan ia berlaku di kawasan yang diwakili oleh menteri kanan itu.

Mesyuarat penduduk dengan wakil syarikat pengendali projek sebelum ini.

Projek pembinaan rangkaian paip pembetungan di Bunus, Kuala Lumpur itu bermula pada 2014 dan dijangka siap pada 2022.

Azhari turut meminta syarikat terbabit mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini.

Sementara itu seorang lagi wakil penduduk Shahrim Tamrin juga mendakwa lubang yang wujud berikutan pelaksanaan projek berkenaan pernah mengakibatkan kemalangan jalan raya.

“Ada juga berlaku kemalangan jalan raya, penunggang motor pernah jatuh, termasuk pengguna basikal kerana permulaan jalan yang tidak rata,” katanya.

Dalam pada itu pengarah projek Puncak Niaga Construction, Faizal Othman yang hadir pada taklimat itu berkata, pihaknya akan mengenal pasti lubang di atas jalan yang perlu ditutup dengan segera. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.