bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal membenarkan pergerakan rentas negeri bagi tujuan bekerja sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, mereka yang ingin merentas negeri atas tujuan bekerja hanya perlu mengemukakan surat pengesahan daripada majikan.
"Saya tahu ramai rakan terutama dari Seremban bekerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya berulang alik setiap hari.
"Itu sebab kerajaan perkenalkan kerja dari rumah supaya tidak perlu rentas negeri.
"Namun ada yang perlu bekerja dan rentas negeri. Selagi kita benarkan rentas negeri untuk bekerja, kita tidak boleh mengetatkan kawalan rentas negeri," katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menyuarakan kebimbangan pergerakan keluar masuk enam juta rakyat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, akan menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19, di negeri berkenaan.
Beliau berkata, hampir semua daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini dikategorikan sebagai Zon Merah COVID-19 dan agak sukar untuk mengawal pergerakan penduduk yang tinggi serta padat di negeri berkenaan.
Justeru, katanya pelaksanaan PKPB di seluruh negara kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang, diharap dapat mengurangkan pergerakan rentas negeri khususnya di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, seterusnya memutuskan rantaian penularan baharu wabak itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.