`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 10, 2020

Tanah runtuh mungkin berulang di Tambun jika terus hujan, kata jabatan mineral

 

Mat Niza Abdul Rahman bercakap kepada media di lokasi tanah runtuh di sebuah resort di Tambun hari ini.

IPOH: Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Mat Niza Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan kejadian tanah runtuh di sebuah resort di Tambun yang meragut 2 nyawa hari ini akan berulang di lokasi sama, jika hujan lebat berterusan.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada struktur tanah lemah akibat kapasiti tinggi penyerapan air pada tanah di lereng bukit batu kapur.

“Kawasan ini dikelilingi batu kapur, di mana tanah baki berada di lereng bukit.

“Di bahagian atas tanah baki itu tumbuh pokok yang dari jauh kelihatan stabil dan cantik, namun jika hujan berterusan, tanah akan jadi tepu air, sekaligus melemahkan struktur tanah.

“Apabila tanah semakin lemah, ia akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh,” katanya di lokasi kejadian hari ini.

Mat Niza berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti tahap keselamatan kawasan itu, selain berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan, jika ada keperluan menutup sementara resort tersebut untuk siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman berkata, 47 anggota terlibat dalam operasi yang diserai 6 anggota dari Unit K9 dan 2 ekor anjing pengesan.

“Kejadian itu membabitkan runtuhan tanah setinggi 100m dan kita melakukan pencarian mangsa dalam skop kecil, iaitu dengan memberi tumpuan pada bahagian jakuzi.”

Polis menerima panggilan daripada pemilik resort terkenal di Tambun itu pada 2.15 pagi berhubung kejadian tanah runtuh itu.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat pertama milik Ooi Chee Wei, 39, pada 9.55 pagi tadi dan mayat seorang wanita dipercayai pasangannya, Lee Tze Juin, 32, ditemui 5 minit kemudian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.