`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 18, 2022

99 pelajar Maktab Mahmud positif Covid-19

 

Kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar Maktab Mahmud, Tobiar, Kedah dikenali sebagai Kluster Dah Penyarom.

PETALING JAYA: Seramai 99 pelajar di asrama Maktab Mahmud, Tobiar, Pendang, Kedah, disahkan positif Covid-19 sekali gus mencetuskan Kluster Dah Penyarom.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dr Mohd Hayati Othman, berkata majoriti yang didapati positif setakat ini membabitkan pelajar perempuan dan hanya beberapa orang sahaja membabitkan pelajar lelaki.

“Kes positif ini dikesan selepas terdapat beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam, saya difahamkan pelajar ini bergejala ketika mengambil peperiksaan di maktab, jadi selepas tamat peperiksaan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan didapati positif.

“Ujian saringan kemudian dilakukan kepada semua pelajar asrama berkenaan dan pelajar yang positif sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra dengan menaiki bas hari ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hayati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai berkata, pihaknya menjangkakan berkemungkinan kes positif membabitkan pelajar asrama akan bertambah selepas keputusan ujian saringan diketahui esok.

Katanya, pelajar yang didapati negatif dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Bagi pelajar yang belum dapat keputusan ujian saringan dipakaikan gelang merah jambu dan dikuarantin di asrama. Kes ini dinamakan Dah Penyarom kerana lokasi Maktab Mahmud ini adalah di Kampung Penyarom.

“Bangunan asrama dan sekolah ini sudah disanitasi dan dibersihkan sebagai langkah awal, saya telah meninjau Maktab Mahmud terbabit bersama Pegawai Kesihatan Daerah untuk melihat keperluan dan langkah perlu dilakukan selepas ini,” katanya.

Hari ini, Kedah mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 iaitu sebanyak 403 kes berbanding semalam hanya 268 kes.

Justeru, Hayati menasihatkan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan virus Covid-19 sama ada dalam kalangan komuniti dan sekolah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.