`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 10, 2022

Hari pertama persekolahan, murid teruja kembali belajar secara bersemuka

 

Guru di SK Petaling 1 menyediakan cecair pensanitasi tangan untuk murid sebelum suhu badan mereka diperiksa.

PETALING JAYA: Hari ini secara rasminya menjadi hari pertama persekolahan bagi murid-murid di SK Petaling 1 untuk menyambung pembelajaran secara bersemuka.

Guru-guru bersedia seawal 6.30 pagi untuk menerima pelajar dan memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum memasuki pekarangan sekolah.

Ada pelajar yang tiba seawal 6.45 pagi dan berasa sangat teruja untuk bertemu guru dan rakan.

Seorang bapa, Nashrul berkata, ini adalah hari pertama anaknya ke sekolah dan dia kelihatan bersedia untuk belajar.

Anak lelakinya yang berusia tujuh tahun itu tidak kelihatan risau dan berkata dia tidak sabar-sabar mencari rakan baharu.

Seorang bapa menghantar anaknya pada hari pertama persekolahan.

Nashrul berkata, beliau tidak bimbang dengan wabak kerana ia kelihatan terkawal.

“Saya yakin dengan SOP yang ditetapkan. Guru-guru akan memainkan peranan utama dalam memastikan pematuhan. Saya tidak begitu risau,” katanya.

Mohamad Ishak Abdul Rahman berkata, beliau gembira anaknya dapat bersekolah memandangkan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sukar bagi kanak-kanak itu.

Mohamad Ishak Abdul Rahman.

Pengawal keselamatan berusia 49 tahun itu berkata, beliau tidak mahu anaknya ketinggalan dalam pelajaran selain menambah bahawa pembelajaran secara bersemuka lebih sesuai kerana kanak-kanak dapat berkomunikasi dengan guru dan rakannya.

“Anak lelaki saya yang berusia sembilan tahun sangat teruja untuk memulakan persekolahan. Dia bangun pada 6 pagi dan langsung tak menangis.

“Walaupun saya bimbang tentang Covid-19, apa boleh buat selain berharap yang terbaik dan jalankan peranan kita? Pendidikannya sangat penting,” katanya kepada FMT.

Apabila ditanya sama ada beliau akan membenarkan anaknya menerima vaksin di sekolah, Ishak berkata, beliau tidak kisah kerana anaknya tidak akan takut untuk menerima vaksin bersama rakan-rakannya.

Seorang ibu, Yati berkata, anak lelakinya berusia 11 tahun sangat gembira, malah bangun pada 5.30 pagi untuk bersiap.

Walaupun bimbang dengan varian Omicron, Yati berkata, beliau berasa yakin dan pihak sekolah akan mematuhi SOP bagi memastikan anaknya selamat.

“Pada masa sama, saya lebih selesa menghantar anak saya ke sekolah kerana gurunya akan dapat mengajar dan menerangkan pelajaran dengan lebih jelas,” katanya.

Beliau juga lebih suka anaknya diberi vaksin di sekolah katanya, kerana ini lebih mudah dan keselamatannya terjamin.

Pengerusi PIBG SK Petaling 1 Mohd Azizi Abdul Rahim berkata, SOP ketat dikuatkuasakan di sekolah.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Petaling 1 Mohd Azizi Abdul Rahim berkata, pihak sekolah telah mengambil langkah untuk memastikan SOP ketat dikuatkuasakan dan dipatuhi.

Azizi, yang datang membantu menyelaras lalu lintas di sekolah, berkata, semuanya berjalan lancar kerana murid-murid mematuhi garis panduan.

Beliau berkata, semua guru telah lengkap vaksinasi dan ini adalah masa yang sesuai untuk sekolah dibuka semula.

“Kami mendapati murid yang tidak hadir bagi pembelajaran secara bersemuka ketinggalan dalam pelajaran walaupun pembelajaran dalam talian tersedia.

“Bagaimanapun pelajar dapat mengikuti pelajaran lebih baik dengan bimbingan guru mereka,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.