`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 10, 2022

Mangsa banjir kena ‘scam’ beli perabot murah tak sampai

 

Nilai RM 300 mungkin nampak kecil namun dalam keadaan sekarang ia besar maknanya, luah mangsa banjir yang hanya mahu dikenali sebagai Nini.

PETALING JAYA: Belum habis derita kerugian akibat bencana, seorang mangsa banjir terus “berputih mata” selepas menjadi mangsa “scammer” jualan dalam talian yang menawarkan perabot baharu pada harga murah.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nini, 44, berkata dia berusaha mencari dan membeli almari baju baharu susulan semua perkakas rumah dimilikinya rosak ditenggelami banjir, baru- baru ini.

Nini merupakan antara ratusan mangsa yang mengalami kemusnahan harta benda apabila kediamannya di Bentong, Pahang ditenggelami banjir luar biasa pada 18 Disember lalu.

“Saya mulanya tertarik untuk membeli almari selepas melihat iklannya di media sosial Facebook ‘Marketplace’ pada 30 Dis lalu dan hubungi ejen produk itu melalui peti mesej (messenger). Penjual produk itu kemudian memberi maklum balas melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada awalnya, ‘penjual’ menghantar pelbagai gambar almari baju dengan pelbagai saiz dan harga. Saya tidak mengesyaki apa apa kerana transaksi bayaran perlu dimasukkan ke akaun bank milik syarikat,” jelasnya yang menetap di Kg Baru Bentong, menurut laporan Harian Metro.

Katanya, suspek turut meminta resit bayaran selepas transaksi selesai dilakukan, malah ‘penjual’ terbabit turut meyakinkannya produk dibeli itu siap dipasang dengan penghantaran percuma di luar Kuala Lumpur.

“Walaupun ada produk sama dijual di dalam talian namun kebanyakannya perlu dipasang sendiri. Ini menjadi masalah kerana saya masih sibuk mengemas rumah kesan banjir yang berlaku,” katanya.

Katanya, bayaran penuh RM300 dilakukannya pada 31 Dis lalu membabitkan pembelian dua almari, namun sehingga kini dia masih tidak menerima perabot dijanjikan.

Tambah Nini, mesej pertanyaannya tidak dijawab dan ‘jurujual’ itu turut menyekat nombor telefonnya selain gagal dikesan.

“Susulan itu saya sudah membuat laporan polis serta akan membawa kes ini ke tribunal pengguna untuk membuat tuntutan.

“Ini bukanlah kali pertama saya melakukan pembelian atas talian namun perkara ini tidak seharusnya berlaku. Individu terbabit jelas mengambil kesempatan ke atas mangsa banjir yang kebanyakannya hilang harta benda dan perlu diganti baharu. Nilai RM 300 mungkin nampak kecil namun dalam keadaan sekarang ia besar maknanya untuk kami,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.