`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 20, 2022

Kehilangan paksa Keluarga Malaysia

 

Terdapat satu soalan yang bernas. Adakah kita akan menculik atau menghilangkan secara paksa anggota keluarga kita sendiri?

Tentu tidak bukan?

Keluarga Malaysia?

Pada tahun lalu, ketika inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengenai kehilangan Ruth Sitepu, seorang warga Indonesia yang tiba-tiba hilang dalam tahun 2016 bersama-sama suaminya Pastor Joshua Hilmy, seorang rakyat Malaysia; keluarga Ruth ada mengeluarkan satu kenyataan:

“Ruth adalah seorang manusia. Beliau adalah seorang kakak. Beliau ada keluarga.”

Betapa kuat pun usaha oleh SUHAKAM, dengan kerjasama Komisi untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan Indonesia (KontraS) kita tidak akan tahu sebenar-benarnya apa yang telah berlaku kepada mereka suami isteri.

Jika kehilangan mereka berdua itu adalah kehilangan paksa, maka Malaysia yang memenangi pengundian negara untuk menduduki satu daripada 18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia untuk penggal 2022-2024 terus mencatat sejarah hitam dalam buku hak asasi manusia, untuk sekian kali. Jika betul kehilangan paksa, maka kita mencipta sejarah menculik anggota keluarga sendiri.

Buku hak asasi manusia Malaysia ada mencatat nama Amri Che Mat. Siapakah Amri?

Beliau berusia dalam 46 tahun dan merupakan seorang aktivitis sosial dan keagamaan. Beliau tinggal di Kampung Padang Behor, Kangar, Perlis bersama isterinya, Norhayati Mohd Arifin dan beberapa orang anaknya.

Amri Che Mat adalah pengasas kepada sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama Perlis Hope. Di negeri kecil itu, persatuan tersebut mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira apa jua jalur politik, kepercayaan, dan bangsa.

Pada 17 Oktober 2015, Perlis Hope ditubuhkan dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Beberapa hari selepas Perlis Hope ditubuhkan, iaitu pada 21 Oktober 2015, rumah Amri dikunjungi oleh Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin, bersama-sama pegawai daripada Jabatan Mufti berserta 20 orang pegawai polis yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Perlis. Akan tetapi ketika itu Amri tiada di rumah. Hal ini ada dibutirkan dalam keterangan Pengerusi Inkuiri SUHAKAM berkait kehilangan Amri Che Mat iaitu Mah Weng Kwai pada 3 April 2019.

Dalam inkuiri SUHAKAM itu juga dijelaskan yang pada 22 Oktober 2015, Amri Che Mat telah ke Jabatan Mufti seperti yang diminta. Mesyuarat di situ turut dihadiri oleh seorang Sarjan dari bahagian cawangan khas, Kangar, Perlis; seorang ahli Majlis Fatwa Perlis dan beberapa orang pegawai dari Jabatan Mufti. Amri Che Mat telah dinasihatkan sekiranya masih ingin menganut fahaman Syiah, kegiatan tersebut hendaklah dilakukan di rumah bersama keluarga, atau secara tertutup.

Pada 24 November 2016, Amri Che Mat secara tiba-tiba hilang. Pada malam kehilangan itu, beliau sepatutnya keluar bertemu dengan seorang rakan di Jitra, Kedah pada 11.30 malam. Semasa Amri memandu di Jalan Padang Behor kira-kira 500 meter dari rumahnya, seorang saksi iaitu Saiful Afdzan bin Seinei mendengar bunyi seakan-akan tayar dan kaca yang pecah lantas ternampak tiga buah kereta menghalang laluan kereta Amri. Saksi lain, Syed Amri pula mengatakan bahawa beliau ternampak empat buah kenderaan dan menyangka bahawa kejadian tersebut sebuah kemalangan.

Pada 25 November 2016, kira-kira jam 12.30 tengah malam, kereta 4WD Toyota Fortuner milik Amri Che Mat telah dijumpai oleh Yousri bin Khalid, seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan terbengkalai di Bukit Chabang, Kangar, Perlis dalam keadaan beberapa cermin kereta dipecahkan. Melalui aduan yang dibuat oleh lelaki tersebut kira-kira 2.20 pagi, pihak polis berjaya mengesan pemilik sebenar kereta tersebut iaitu Norhafizal yang merupakan abang ipar kepada Amri Che Mat. Dari situ keluarga Amri mendapat maklumat bahawa Amri telah hilang tanpa dapat dikesan jejaknya.

Pada 26 November 2016, iaitu dua hari selepas kehilangan Amri, Norhafizal, dan Mohd Aizat bin Zahid, rakan terdekatnya dari Perlis Hope telah ke tempat kejadian untuk memeriksa kawasan di sepanjang Jalan Behor, dalam usaha mengumpulkan maklumat tentang kehilangan Amri. Pada waktu itu, mereka menemui seorang saksi lain, Vee Yak dan lelaki tersebut memberi keterangan bahawa selama tiga hari berturut-turut sebelum kehilangan Amri, terdapat tiga buah kenderaan termasuk sebuah Toyota Vios bergilir-gilir meletakkan kenderaan berdekatan kedai bengkelnya. Disebabkan oleh perasaan kurang senang dengan keadaan tersebut, Vee Yak sempat mencatat nombor plat Toyota Vios untuk simpanan beliau.

Berdasarkan keterangan Vee Yak, kereta tersebut berkemungkinan merupakan kumpulan suspek yang sedang memerhati gerak-geri Amri sebelum beliau dilaporkan hilang. Bukti nombor plat tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Walau bagaimanapun, setelah semakan dilakukan, pihak polis mendapati bahawa nombor plat yang dilihat oleh Vee Yak merupakan nombor plat palsu.

Kes kehilangan Amri Che Mat ini mendapat perhatian daripada banyak pihak dan mewujudkan pelbagai persoalan. Sehubungan dengan itu, pelbagai tindakan atau langkah telah diambil oleh badan kerajaan mahupun bukan kerajaan bagi menyiasat perkara ini.

Pada 21 April 2017, SUHAKAM telah menerima aduan daripada beberapa kumpulan badan bukan kerajaan dan ahli keluarga berkenaan kehilangan beberapa individu termasuk Amri Che Mat. Susulan daripada aduan yang diterima, SUHAKAM telah bertindak menjalankan beberapa temu bual dengan saksi-saksi yang disenaraikan dan membuat lawatan lapangan sebagai sebahagian daripada siasatan tertutup SUHAKAM terhadap aduan tersebut.

Pada 5 Oktober 2017, SUHAKAM menubuhkan panel inkuiri yang terdiri daripada Pesuruhjaya Mah Weng Kwai, Pesuruhjaya Aishah Bidin dan Pesuruhjaya Nik Salida Suhaila Nik Salleh. Panel ini bertanggungjawab menjalankan inkuiri berkenaan kehilangan beberapa individu. Langkah ini merupakan kali pertama SUHAKAM menjalankan inkuiri terhadap kes yang berkaitan dengan Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa.

Pada 12 Mei 2018, seorang Sarjan telah berkunjung ke rumah Amri Che Mat untuk menemui Norhayati, isteri Amri pada kira-kira jam 10.30 malam. Menurut Norhayati, Sarjan tersebut memberitahunya bahawa Amri Che Mat telah diculik oleh sepasukan pegawai dari sebuah Cawangan Khas, di bawah arahan orang atas. Ekoran dari itu pada 15 Mei 2018, Norhayati bertindak membuat laporan polis berdasarkan maklumat baru yang diterima daripada pegawai tersebut. Namun begitu, pada 18 Mei, Sarjan tersebut ikut membuat laporan balas yang mana menyangkal dakwaan Norhayati.

Pada 30 Mei 2018, Norhayati memberi keterangan buat kali kedua dalam siasatan SUHAKAM terhadap kehilangan suaminya, Amri Che Mat. Norhayati dalam inkuiri tersebut telah mendakwa Sarjan yang menemuinya mengaku bahawa suaminya telah diambil oleh sekumpulan pegawai dan merupakan pasukan sama yang telah mengambil seorang lagi individu yang dikenali sebagai Pastor Koh pada 13 Februari 2017.

Kehilangan Amri pada 2016 tersebut membawa kita kepada kehilangan seorang lagi warga Keluarga Malaysia. Pastor Koh atau nama sebenarnya Raymond Koh Keng Joo ialah seorang paderi Kristian yang berbangsa Cina. Bersama-sama isteri beliau, Koh menguruskan Harapan Komuniti di mana badan bukan kerajaan ini menganjurkan tuisyen secara percuma untuk pelajar dan kelas bahasa Inggeris percuma untuk orang dewasa. Pastor Koh juga dimaklumi bergiat aktif dalam aktiviti mengembangkan ajaran Kristian dan seringkali membantu orang yang dalam kesusahan.

Pada 2011, sebuah majlis makan malam untuk mengutip dana kegiatan yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama telah diserbu pihak berkuasa agama. Terdapat aduan yang majlis itu diadakan bagi ‘memurtadkan’ orang Islam kerana terdapat beberapa orang Muslim turut menghadiri majlis makan malam tersebut. Ekoran daripada itu, pada Ogos 2011, Pastor Koh dan keluarga telah menerima ugutan bunuh dan dua butir peluru diletakkan dalam peti surat mereka.

Dalam inkuiri SUHAKAM berkait kehilangan Pastor Koh, Sri Ram KS Gopala Iyer iaitu salah seorang saksi menyatakan yang, Pastor Koh pernah mengadu beliau bahawa dirinya diekori oleh orang yang tidak dikenali menggunakan motosikal dan kereta. Terdapat juga orang yang mengambil gambar Pastor Koh dan pelajar-pelajar yang datang ke pusat Harapan Komuniti untuk menghadiri kelas tambahan.

Pada 13 Februari 2017, Pastor Raymond Koh dilihat buat kali terakhir oleh isterinya Susanna Liew Yoke pada pukul 10:15 pagi. Seterusnya, dalam inkuiri SUHAKAM juga didedahkan yang Roeshan Celestine Gomez membuat laporan polis menyatakan bahawa pada pukul 10:45 pagi, beliau melihat sebuah kereta telah dirempuh oleh tiga buah kereta hitam pacuan 4 roda semasa memandu di Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, Selangor. Pemandu kereta yang dirempuh kemudiannya dilihat telah diheret keluar dari kereta dan dipaksa masuk ke dalam salah sebuah kereta 4WD. Kejadian ini telah dirakam oleh kamera CCTV dua rumah berdekatan. Video kehilangan ini juga tular di internet. Pastor Raymond Koh dipercayai telah hilang sejak kejadian tersebut.

Kehilangan Pastor Koh menggerakkan gelombang pertanyaan daripada badan bukan kerajaan. Pada 20 April 2017, gabungan pertubuhan masyarakat sivil diketuai oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) telah menghantar memorandum kepada SUHAKAM bagi pihak keluarga kepada individu yang dilaporkan hilang iaitu Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Hilmi, aktivis sosial Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh. SUHAKAM diminta membantu menyiasat, atau mencari tahu keberadaan individu yang hilang dan bertindak sebagai saluran komunikasi antara keluarga, polis dan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan bukti atau keterangan daripada saksi yang dikumpul sejak kes awal kehilangan Amri, pihak SUHAKAM akhirnya membuat kesimpulan dan berpendapat bahawa kes Amri dan Pastor Koh adalah kehilangan secara paksa yang telah dilakukan oleh ejen-ejen negara sendiri.

Pada 8 April 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang ketika itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan telah menerima Laporan Pendengaran Siasatan Awam SUHAKAM berkaitan dengan kes kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh. Susulan daripada laporan SUHAKAM ini, kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir pada 8 Mei 2019 bersetuju agar KDN menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kes kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Koh. Sehubungan itu, pada 26 Jun 2019, PPK ditubuhkan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda.

Namun demikian, sehingga kini tahun 2022, setelah kerajaan Pakatan Harapan disalin oleh dua buah pentadbiran kerajaan yang tidak dipilih secara demokrasi; masih tidak ada penjelasan sebenar mengenai kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Koh.

Kehilangan kedua-dua aktivis ini mempunyai corak yang hampir sama dengan kehilangan Ruth Sitepu, dan suaminya Pastor Joshua Hilmy, pada 2016.

Jika kehilangan Ruth dan Joshua itu adalah kehilangan paksa, maka Malaysia yang memenangi pengundian negara untuk menduduki satu daripada 18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia untuk penggal 2022-2024 mencatat sejarah hitam dalam buku hak asasi manusia, untuk sekian kali. Lagi.

Memang terdapat satu soalan yang cukup bernas. Adakah kita akan menculik atau menghilangkan secara paksa anggota keluarga kita?

Tentu tidak bukan? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.