`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 20, 2022

Surat dari Jakarta: ‘Awak nak ke mane, Malaysia?’

 

Bagi mereka yang suka bersukan dengan permainan golf, sebarang lawatan ke Jakarta tidak lengkap kalau tidak ke lapangan golf.

Jakarta mempunyai banyak lapangan golf yang terbaik di rantau Asia. Walaupun harga bayarannya sedikit tinggi, sebelum Covid-19 ramai warga Malaysia sering ke sana.

Tetapi tidak sekarang. Syarat kuarantin waktu pulang ke Malaysia menjadi batu penghalang.

Ahad lalu, saya diundang untuk bermain bersama grup yang menjadi hos kepada projek yang saya terlibat di Indonesia.

Jadi, saya sebetulnya menjadi tamu utama dalam dua ‘flights’ yang merangkumi lapan pemain di lapangan golf yang agak popular, tidak jauh dari lapangan terbang lama Jakarta, Halim Perdanasukma.

Saya pernah bermain golf di lapangan ini. Sebuah lapangan yang agak baru di miliki dan dibangunkan oleh lebih 100 pemegang saham utama yang ramainya terdiri dari bekas ketua-ketua militer yang berpangkat.

Mereka menggunakan ‘business model’ yang serupa seperti pembangunan lapangan golf di Augusta, Georgia di Amerika Syarikat, yang terkenal dengan pertandingan US Masters.

Pemegang sahamnya agak terhad dan bayaran untuk menjadi ahli kelab agak tinggi menjadikan kelab ini agak eksklusif. Apa lagi dengan ada nama Royale di depannya.

Hos saya, Pak Surya, juga seorang pemegang saham di situ, bekas ketua militer yang menceburi bidang perniagaan dan kemudiannya terjun ke arena politik.

Sekarang beliau mengetuai atau dalam bahasa di sini, menjadi ‘kepala’ partinya sendiri. Partinya ramai dianggotai oleh bekas ketua militer juga.

Semenjak saya mengenali beliau pada 2010, partinya telah membesar dan kemudian menjadi rakan atau ‘coalition partner’ kepada parti kerajaan yang berikutnya atau apa yang disebut sebagai ‘pemerintah’ sehingga sekarang.

Pak Surya memperkenal saya sebagai teman dari Malaysia kepada teman-temannya yang hadir.

“Ini Pak Rosli, our ‘toll road expert’…dan ‘financial consultant’…” kata beliau. Saya bersalaman dengan mereka semua.

Antara mereka, ada dua temannya yang saya sudah kenal lama, seperti Pak Yanes dan Pak Franki.

Pak Effendi agak baru. Tetapi yang lain seperti Pak Toni, Pak Guntur, dan Pak Bambang, saya belum pernah ketemu. Inilah pertama kali, lantas banyak sekali soalannya.

Dalam kalangan teman rapat, mereka membahasakan Pak Surya dengan nama Abang. Jadi saya juga memanggilnya demikian sejak mengenalinya.

Lucu

Antara mereka yang paling lucu ialah Pak Guntur. Beliau lagaknya yang paling gembira dapat bertemu saya, orang Malaysia.

Katanya, “…kita serumpun, Pak Rosli. Saya udah sering ke Ka El…dan saya juga bisa cakap seperti orang Malaysia.’

“Awak duduk di mane?” Pak Guntur cuba bercakap ala-Malaysia dengan saya. Dalam ketawa saya cuba menjawab.

Tapi Pak Yanes lebih cepat dan cekap. “Duduk di kerusi…” katanya, sambil ketawa terbahak-bahak dan diikuti yang lain, Abang juga.

“Awak tu apa?” Tanya Pak Toni kehairanan. Dia belum pernah ke Malaysia rupanya. Katanya, banyak ke Hong Kong dan Tiongkok.

“Awak itu sama seperti kamu, engkau, atau lu,” jawab Pak Franki seperti seorang guru mengajar muridnya.

Pak Franki antara yang paling muda dalam grup ini, agak flamboyan dengan rambut panjang diikat gaya ‘pony tail.’ Dia memiliki beberapa hotel 4 dan 5 bintang di sekitar Jakarta.

“Awak tak faham, Pak Cik Toni. Itu la cakap Malaysiye…namenye…” tegas Pak Guntur pada Pak Toni.

“…awak ni, bunyinya sangat gatal…” sambung Pak Effendi dan disambut hilai ketawa dari mereka semua.

Kasus

“Gimana Malaysia sekarang, Pak Rosli..? Masih bermasalah?” Tanya Pak Bambang, yang sedari tadi banyak ketawa. Beliau bekas ketua tentera laut yang baru ‘pensiun’.

Sebelum saya sempat jawab, Abang yang berjambang penuh dan tampak serius itu, terus memotong.

“Kasus lagi di Malaysia, Pak. Itu ketua

komisyen korupsi, gaya KPK di sini, tersangka bermain saham..”

“Ya, ketuanya es pe ar em tu, Pak,” jawab saya pendek.

“…terlalu banyak yang tersangka di sana, Pak…Seperti Indonesia, 10 atau 12 tahun yang lalu, terlalu banyak kasus…” kata Pak Yanes, yang juga sering ke Singapore dan Malaysia. Setahu saya, dia punyai banyak perniagaan di dua negara berkenaan.

‘Ya, saya masih ingat kes Bank Century dan e-Ka Te Pe, Pak,” kata saya, menyelit kisah kes korupsi silam yang berlaku di Indonesia 10 tahun yang lalu.

“Ya, benar…” jelas Abang. “Waktu itu Pak Rosli di sinikan..? Baru selesai juga kasusnya Pak…yang salah, semua udah masuk ke dalam…” sambung Abang.

“Kasus di jaman Presiden yang dulu…yang selesaikan, presiden sekarang. Ramai yang udah masuk dan masih di ‘dalam’ sampai sekarang…” tambah Pak Franki tegas.

“Gayanya Malaysia seperti kita sepuluh tahun yang lalu…” ulang Pak Yanes lagi, mencelah.

“….banyak kes, tapi sampai sekarang belum selesai dan belum ada yang masuk, ya Pak Rosli?” Pak Yanes seperti tahu dengan apa yang berlaku dan mencari kepastian dari saya.

“…proses rayuan, Pak,’ jawab saya pendek.

“Sekarang berapa hari ‘quarantine’ di Malaysia, Pak?’ Pak Effendi bertanya seperti mahu mengubah topik perbualan. Atau mungkin dia tahu, yang saya kurang tahu?

“Sepuluh hari, Pak,” jawab saya.

“Wah..lama sekali,” tegas Pak Toni. “Kok masih ada lockdown?” Dia bertanya kembali.

“…sudah berakhir October duluan, Pak,” jawab saya lagi.

“Malaysia itu, lockdownnya paling lama…” jelas Abang, sebelum dia menyambung lagi. “…nah, kalian harus tau, kita di sini lebih pragmatis.”

Abang mahu menambah kenyataannya, tetapi serentak itu, nama-nama kami dipanggil melalui corong pembesar suara untuk turun dan memulai permainan.

Kami semua bergegas bangun untuk turun ke “buggy” yang telah diatur dan disediakan.

Sambil berjalan turun, Pak Guntur mengatur lagi.

“Ini ‘flights’ listnya”.

“Flight 1, Abang, Pak Yanes, Pak Rosli dan Pak Franki. Start di Hole 1. Yang lain second flight, bersama saya,” jelas beliau.

Sambil menghampiri saya dia berkata, “Kite bersembang lagi nanti lepas main, Pak Rosli.”

“Ya, Pak,” jawab saya ringkas sambil senyum.

Waktu saya duduk di ‘buggy’ menunggu giliran untuk masuk ke Hole 1 bersama Pak Franki, Pak Guntur datang lagi, lagaknya seperti membisik pada kami berdua.

‘Tadi Abang bilang, besok Pak Presiden akan kasi tahu nama ibu kota baru Indonesia di Kalimantan Timur.. ‘

“Gue udah tahu namanya,” bilang Pak Franki sinis, sambil memegang kotak cerutunya.

Lantas Pak Guntur memandang saya dan menyambung.

“Nusantara tu dekat dengan Sabah, pak cik. Katenye, mereke sudah bersediye, tapi awak tau tak, duit pun dah tak ade. Pan-Borneo tak tau siap bile. Nak buat ape, boleh jadi gile, dan politik awak nak ke mane, Malaysiye?”

Pak Guntur ketawa dan berlalu.

Saya beralih pandangan pada Pak Franki sambil ketawa dan mendengar keluhannya. “Pak Guntur itu, lucu orangnya..bercanda terus.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.