
PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai lemas selepas terjatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang.
Lelaki itu dikatakan meninggalkan kereta dan barangan peribadinya, dalam kejadian di Kilometer 3.4 arah pulau, jambatan itu malam tadi.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Abd Razak Mohamed, berkata kejadian berlaku kira-kira 10.40 malam, membabitkan mangsa berusia 48 tahun.
Beliau berkata, pihaknya segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) sejurus menerima laporan dari Balai Polis Perai, Seberang Perai.
“Bot KILAT 4 diatur gerak ke lokasi kejadian tengah malam tadi bagi usaha Carilamat bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Marin Batu Uban.
“Pangkalan Hadapan Carilamat ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini (tengah hari) usaha pencarian masih diteruskan,” katanya menurut laporan Kosmo.
Sementara itu, Razak berkata, pihaknya menemui sebuah kereta dan beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa di atas jambatan tersebut.
Menurutnya, mangsa dipercayai dari Butterworth.
Razak menyeru orang awam agar melaporkan sebarang penemuan, kejadian kecemasan atau kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 2626146. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.