`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 7, 2022

MN – Siapa laki siapa bini?

 

Sejak awal saya berpendapat istilah “perkahwinan” tidak sesuai untuk menggambarkan atau “describe” hubungan Umno-PAS ketika menubuhkan Muafakat Nasional pada 2019.

Namun pemimpin kedua-dua parti gemar mengenai elemen “perkahwinan” walaupun ketika menepis pertanyaan media apabila Umno dan PAS mula mula berjinak-jinak dahulu.

“Ada orang kata pada ambo (dialek Kelantan untuk “saya”) eh, Umno dengan PAS nak menikah dah ke? Saya kata mu peduli apa kita nak nikah? Tapi nak menikah apanya umur Umno dah 72 (tahun) PAS dekat 70 tahun,” begitu kata kata Annuar Musa pada Disember 2018. Masa itu beliau Setiausaha Agung Umno.

Pada Februari 2019 berkata lagi Annuar (yang masih memegang jawatan Setiausaha Agung Umno). Kali ini begini : “Umno dan PAS adik beradik, sama sama anak jantan nak kahwin bagaimana?”

Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang ketika itu ada disisi Annuar, mencelah sambil berkata: “Kita adik beradik memang tak boleh nikah tetapi yang penting kita bersatu”.

“Bersatu” (bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ye) ada unsur seksual. Tetapi dalam konteks ini saya yakin ulama besar seperti Hadi tidak bermaksud lucah. “Bersatu” yang beliau maksudkan pastinya “united” – bersatu padu.

Hakikatnya elemen “perkahwinan” digunakan oleh Hadi, Annuar dan orang PAS serta Umno. Dan apabila termeterainya kerjasama Umno-PAS pada 5 Mac 2019, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengumumkan: “Mula-mula hantar cincin di Sungai Kandis, bertunang di Seri Setia, sekarang ni dah kenduri kahwin, ni dah sanding dah ni.”

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang ada di sebelah Mohamad ketika itu tersenyum lebar.

(Sungai Kandis yang Mohamad maksudkan ialah pilihan raya kecil yang diadakan Ogos 2018 yang menyaksikan bermulanya kerjasama Umno dengan PAS selepas PRU14 pada Mei tahun yang sama. PAS memberi laluan kepada Umno di Sungai Kandis tetapi calon Umno tewas kepada Pakatan Harapan.

Begitu juga Seri Setia. Ia merujuk pilihan raya kecil yang diadakan sebulan kemudian. Kali ini Umno memberi laluan kepada PAS. Namun, calon PAS tewas juga kepada Pakatan Harapan).

Benar Tok Mat berjenaka tetapi analogi “perkahwinan” disambut dengan gembira oleh kedua-dua parti sekali gus merestui, lantas “mengaku” Umno dan PAS sudah “berkahwin”.

Namun yang tidak dihuraikan – siapa suami siapa isteri? Persoalan ini pernah saya ajukan pada satu artikel yang saya tulis pada Mac 2019. Saya ulangi pertanyaan ini pada penulisan ini kerana ia soalan penting. Sebab?

Mengikut amalan pasangan “moden”, dalam perkahwinan suami dan isteri sama penting – sama sama memikul tanggungjawab berkeluarga. Keputusan dibuat dan dipersetujui bersama. Meskipun begitu, pada waktu tertentu membabitkan isu tertentu, si suami diberi hak membuat keputusan muktamad. Itu pun setelah berbincang dengan si isteri .

Namun menurut “pegangan lazim atau konservatif “ yang saya kira menjadi pegangan orang PAS (mungkin juga orang Umno zaman ini), si suami adalah ketua keluarga.

Suami tahu segalanya yang baik. He knows best. Kata-kata suami adalah undang undang dan peraturan.

Mengikut pegangan ini, si isteri mesti sentiasa setia dan sokong si suami. Pun begitu si isteri mesti berada satu tapak di belakang.

Jika ini pegangannya, itulah sebabnya saya nyatakan amat penting Umno dan PAS memberitahu siapa suami dan siapa isteri supaya tahu peranan masing masing.

Oleh kerana tidak diperjelaskan, masalah timbul dalam rumah tangga PAS – Umno. PAS berlagak bagai suami. Dan oleh kerana lelaki Islam boleh beristeri dua, malah lebih daripada itu, PAS dilihat mahu berpoligami (ada kata sudah poligami pun) dengan munculnya Bersatu. Nampak gaya Bersatu seakan tidak keberatan menjadi isteri kedua. Isteri muda gamaknya.

Umno (jika benar ia dianggap isteri) tidak setuju suaminya kahwin dua. Isteri mana rela dimadu betul tak? Lalu memberontak. Timbul masalah rumah tangga.

Akan tetapi beberapa hari lalu (lebih tepat 4 Jan 2022 ) orang kuat Umno Johor Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata PAS lupa siapa suami, siapa isteri. Umno lah suami, kata beliau.

Kalau begitu keadaanya (dengan mengambil kira PAS berlagak suami) adakah bermakna suatu perkahwinan sesama jantina atau “same sex marriage” sudah berlaku? Nauzubillah min zalik. Tak mungkin kerana kedua-duanya orang Islam yang cukup anti LGBT. Betul tak?

(Dalam kalangan komuniti LGBT yang melangsungkan perkahwinan sesama jantina ada watak suami dan watak isteri. Sekadar bercakap).

Jika Umno sang suami, adakah bermakna Umno sudah beristeri dua (dengan pasangan bukan Melayu yang belum masuk Islam) sebelum berkahwin dengan PAS? Kedua-dua “partner” masih bersama Umno.

Rumit dan sulit masalah ini. Yang kita saksikan sekarang ialah keretakan rumah tangga. Kita dengar ada pihak cuba memujuk tetapi tetap mahu beristeri satu lagi. Tentunya, pihak satu lagi berkeras hati.

Kita tidak tahu sama ada talak cerai sudah jatuh. Kita tahu hanya suami yang boleh melafazkan itu. Namun, siapa si suami itu?

Maaf jika anda beranggapan saya merepek. Namun “karut marut” ini timbul kerana analogi perkahwinan digunakan untuk menggambarkan penubuhan MN.

Oleh kerana elemen perkahwinan diterima pakai dan perkahwinan yang dimaksudkan pula sedang bermasalah, saya akhiri penulisan ini dengan nasihat P Ramlee yang moleknya diambil peduli Umno dan PAS semasa hendak kahwin dahulu.

Antara kata P Ramlee menerusi lagunya “Kisah Rumah Tangga” ialah “kalau memilih isteri alah abang, biar betul betul. Jangan tersalah pilih alah abang, kena queen control.”

Dan kata P Ramlee lagi “Oh kadang pula terdapat suami jahat, isteri budiman. Isterinya cukup sabar, perangai suami ya Allah, macam setan.”

Sesungguhnya Allahyarham P Ramlee seorang “genius”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.