`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 27, 2022

Penarik kereta bergaduh, polis tahan 5 individu

Video tular menunjukkan satu pergaduhan tercetus antara sekumpulan individu hingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan di kedua-dua arah.

PETALING JAYA: Polis menahan lima daripada kira-kira 20 orang individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan susulan kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, kemalangan jam 2 petang itu membabitkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua kenderaan lain.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan membabitkan kumpulan penarik kereta itu berpunca akibat perselisihan faham mengenai urusan menarik kenderaan dalam kemalangan itu.

“Anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan itu tetapi gagal sebelum mendapatkan bantuan anggota polis cawangan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB).

“Ketika anggota MPV dan URB tiba di lokasi kejadian, semua individu berkenaan sudah melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Soffian, lima lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 50 itu sudah ditahan sekitar Georgetown semalam dan senjata yang digunakan dalam pergaduhan turut dirampas.

“Polis merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu iaitu topi keledar dan pengunci motosikal. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam rakaman video tular itu, satu pergaduhan tercetus antara sekumpulan individu terbabit hingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan di kedua-dua arah.

Kejadian berlaku di laluan bertentangan kemalangan dan menghala ke pusat bandar raya. - FMT 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.