`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 19, 2022

‘Punah harapan’, ibu bapa sedih anak-anak kempunan rasai kemeriahan Thaipusam

 

Selvam, 38, bersama isteri dan dua anak mereka berkata, beliau memahami usaha kerajaan adalah untuk kebaikan bersama memandangkan kanak-kanak juga berisiko dijangkiti Covid-19.

GOMBAK: Ibu bapa meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila tidak dibenarkan membawa anak berusia bawah 18 tahun memasuki kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak, iaitu lokasi yang sering menjadi tumpuan utama ketika sambutan Thaipusam.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Kavitha, 38, berkata, harapan untuk beribadat bersama keluarga di kuil itu punah apabila semua anaknya yang berusia 8 hingga 13 tahun tidak dibenarkan masuk ke kuil.

“Kami sudah datang satu keluarga, mahu sambut bersama tetapi anak-anak kami tak boleh masuk. Kami sedih dan sakit hati jugalah, sudahlah anak-anak teruja banyak kali tanya bila boleh masuk kuil.

“Tahun lepas kami tak dapat sambut juga, punah harapan kami nak sembahyang bersama di kuil ini,” katanya ketika ditemui FMT di luar kawasan kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak, semalam.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, beliau sekeluarga hanya mampu meraikan perayaan tersebut di luar kawasan kuil sahaja.

Pekerja khidmat pelanggan, Priya, 39, (dari kiri) bersama dua anaknya yang sepatutnya melaksanakan upacara bernazar tahun ini.

Pekerja khidmat pelanggan, Priya, 39, yang datang bersama dua anaknya turut merasai kekecewaan sama, malah tidak dapat melaksanakan nazar untuk anaknya susulan terpaksa akur dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Sepatutnya tahun ini saya buat nazar untuk anak, memang sudah tahu SOP tetapi kami cuba juga datang tanya kalau boleh masuk. Malangnya, memang tak boleh,” katanya yang pasrah hanya mampu melaksanakan upacara sembahyang bersama anaknya di kuil berdekatan.

Bagaimanapun seorang bapa, Selvam, 38, yang juga datang ke situ bersama isteri dan dua anak mereka memahami usaha kerajaan itu adalah untuk kebaikan bersama memandangkan kanak-kanak juga berisiko dijangkiti.

Seorang ibu bersama anaknya terpaksa berpatah balik selepas kanak-kanak itu tidak dibenarkan memasuki kuil Sri Subramaniar Swamy, di Batu Caves, Gombak.

“Kita faham apa kerajaan cuba buat, kita ikut sahaja SOP. Kita kena fikir juga dalam itu mungkin ada risiko, anak kecil kalau kena jangkitan nanti ibu bapa juga susah,” katanya.

Hasil tinjauan FMT mendapati ramai ibu bapa tetap membawa anak-anak mereka untuk menyaksikan sambutan Thaipusam dari luar kawasan kuil.

Sementara itu, FMT juga sempat mendapatkan reaksi beberapa penganut Hindu yang melaksanakan upacara sembahyang.

Ibu bapa tetap membawa anak-anak mereka untuk merasai suasana Thaipusam walaupun sekadar memerhatikan dari luar kawasan kuil.

“Nak dibandingkan dengan tahun sebelum kita kena Covid-19, memang ketika itu lebih meriah. Hari ini keluarga saya pun tiada bersama sebab mereka ada anak kecil. Saya harap tahun depan boleh sambut dengan keluarga di sini (kuil),” kata Gunalan Mahalingam, 28.

Seorang lagi penganut, Revathi Subramaniam, 25, turut mendoakan sambutan yang lebih meriah pada tahun depan.

Kavitha, 38, (dua dari kanan) bersama suami, ibu dan tiga anaknya, kecewa kerana tidak dibenarkan memasuki kuil untuk sambutan Thaipusam kali ini.

“Saya berdoa keadaan ini tidak akan kekal selama-lamanya dan tahun hadapan sambutan akan kembali seperti biasa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.